![]() |
Nasib Detektif Lim hanya akan diketahui selepas perbicaraan
SEHARI sebelum meraikan sambutan ulang tahun ke-10 drama bersiri Gerak Khas yang diadakan di Padang Semarak, Angkasapuri malam Jumaat lalu, penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam menerima satu berita yang amat tidak disangka-sangka.
Bayangkan, kegembiraan kerana berjaya mencatat sejarah tersendiri dalam industri hiburan tiba-tiba terusik dengan panggilan telefon yang menyampaikan khabar bahawa salah seorang pelakon drama berkenaan didakwa terbabit dalam jenayah mencuri.
Pelakon yang dimaksudkan adalah Farid Amirul Hisham Wu Abdullah yang memegang watak sebagai Detektif Lim. Menerusi laporan akhbar yang dikeluarkan serentak pada hari yang sama sambutan itu diadakan, Farid didakwa mencuri sebuah buku bertajuk The Sistine Secrets berharga RM89.90 dan Decoding The Heavens berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore, Mid Valley, kira-kira jam 7.15 malam, 27 Mac lalu.
Pastinya, berita yang tersiar itu bertentangan dengan objektif drama terbabit yang menentang jenayah. Dan apabila ini berlaku sudah tentu ia mencalarkan imej polis di mata masyarakat. Apakah Farid bakal menerima hukuman akibat perbuatan salah lakunya itu?
Pun begitu, sewaktu diminta mengulas reaksinya terhadap dakwaan itu, Yusof berkata dia perlu berlaku adil kepada pelakon terbabit dan enggan membuat sebarang keputusan memandangkan perkara itu masih di dalam peringkat perbicaraan.
Hip: Bagaimana penerimaan Datuk apabila mendapat tahu mengenai perkara itu?
Datuk Yusof: Saya dapat tahu perkara itupun apabila Farid sendiri menelefon saya menyampaikan berita itu. Itupun selepas dia hadir ke mahkamah. Sewaktu mendapat perkhabaran itu, saya memang terkejut. Pun begitu bagi saya, manusia tidak semuanya sempurna dan dalam hal ini, Farid juga seperti insan lain yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Hip: Jika begitu, apakah ini bermakna Farid akan direhatkan atau disingkir dari drama berkenaan memandangkan perbuatannya itu jelas mencalarkan imej drama yang dibintanginya?
Datuk Yusof: Bagi saya tiada istilah dibuang atau disingkirkan. Dalam hal ini, Farid masih belum dijatuhkan sebarang hukuman dan kesnya masih lagi dibicarakan. Jadi saya tidak berhak untuk menghukum Farid. Bagaimanapun, apapun keputusan yang dibuat, biarlah selepas keputusan diumumkan iaitu pada 18 Jun nanti. Saya hanya akan menilainya pada hari itu.
Hip: Walaupun belum dijatuhkan hukuman namun dakwaan itu sedikit sebanyak mencalarkan imej PDRM. Komen sikit?
Datuk Yusof: Ya kita faham dan akur perkara itu. Lagipun pihak PDRM sendiri ada berpesan kepada saya dan pelakon lain yang membintangi drama ini supaya dapat menjaga imej mereka dan PDRM sendiri bersesuaian dengan drama yang mereka lakonkan. Mungkin kalau masalah berkaitan hal peribadi seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini mereka tak ambil kisah sangat, tapi kalau ia membabitkan salah laku jenayah sudah pasti perkara itu mereka ambil perhatian memandangkan mereka tidak mahu imej polis terus buruk di mata masyarakat. Dalam hal Farid, seperti yang saya nyatakan tadi, jika mahkamah mendapati dia bersalah, biarlah keputusan di buat selepas itu hasil perbincangan dengan pihak PDRM sendiri.
Hip: Dalam drama ini, imej polis sering digambarkan sebagai lemah, malang dan ada ketika mereka mampu menyelesaikan sesuatu kes dengan mudah. Apakah ini realiti sebenar?
Datuk Yusof: Memang apa yang kami paparkan dalam drama ini adalah realiti. Bukan kami sengaja hendak paparkan kelemahan anggota polis tapi kita kena realistik. Polis juga manusia biasa dan mereka bukannya mempunyai kuasa luar biasa ketika menyelesaikan sesuatu kes. Kalau kita asyik hendak paparkan polis selalu menang, nampak sangat tak logik.
Hip: Ada orang kata Gerak Khas dapat bertahan selama sepuluh tahun semuanya kerana hubungan baik Skop Productions dengan PDRM. Komen sikit?
Datuk Yusof: Saya tahu ramai yang beranggapan sedemikian tetapi pada hakikatnya tidak. Untuk menghasilkan drama seperti ini, saya sendiri perlu melalui prosedur yang ditetapkan iaitu menulis skrip, hantar ke Bukit Aman untuk dinilai, kemudian selepas lulus barulah penggambaran di buat. Selepas itu, salinan drama dihantar sekali lagi ke Bukit Aman untuk dinilai dan apabila lampu hijau diberikan, barulah ditayangkan di kaca TV. Itupun selepas diluluskan pihak LPF. Terus terang, bukan mudah untuk menghasilkan drama bercorak kepolisan. Rumit sebenarnya. Cuma saya tak nafikan memang antara kami mempunyai hubungan baik, itupun disebabkan kami sudah lama bekerjasama. Lagipun sebelum ini ada juga produksi yang menghasilkan drama bercorak kepolisan tetapi tidak mampu bertahan lama. Ada di antara mereka yang saya tahu langsung tidak mendapat kelulusan PDRM dan main tayang saja. Perkara seperti inilah yang membuatkan pihak PDRM tidak percaya dengan mereka dan usaha mereka untuk menerbitkan drama seperti ini tidak dapat diteruskan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: