Wednesday, May 20, 2009

2 ditembak mati



PETALING JAYA: Selepas 11 hari diburu, dua penjenayah yang disyaki terbabit dalam kes samun dan bunuh di Puncak Alam, dekat Shah Alam, ditembak mati sepasukan polis di Damansara Kim, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua suspek baru menculik seorang lelaki warga Myanmar di kawasan berhampiran bagi tujuan peras ugut.

Namun, ketika cuba membawa mangsa untuk mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM), penjenayah terbabit terserempak sepasukan polis yang kebetulan meronda di kawasan itu.

Berikutan itu, kedua-dua lelaki cuba melarikan diri dengan menggunakan sebuah Honda Civic yang dipercayai dicuri di Subang Jaya dan pada masa sama menjadikan mangsa sebagai tebusan.


Bagaimanapun, mereka hanya mampu memecut sejauh 1.5 kilometer sebelum dikepung polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, berkata sebaik dikepung seorang daripada suspek keluar dari kereta dengan bersenjatakan parang dan terus menyerang polis.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Menyedari rakannya ditembak, seorang lagi suspek bersenjatakan pistol melarikan diri ke arah bangunan berhampiran namun terserempak dengan anggota polis.

“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum dia ditembak mati,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Menurutnya, polis turut menemui seorang warga Myanmar dalam kereta suspek dipercayai diculik bagi tujuan peras ugut oleh kedua-dua penjenayah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas menculik, menyamun dan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Puncak Alam, 10 Mei lalu.

“Kita yakin kerana seorang daripada suspek kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika mereka cuba mengeluarkan wang bersama-sama mangsa di sebuah mesin ATM.

“Kedua-dua suspek juga didapati baru dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: