![]() KEMUNCULAN Bunkface menyebabkan kekecohan berlaku di Hot FM Mini Jam yang pertama. |
Penonton Hot FM Mini Jam bagaikan dirasuk tatkala menyaksikan tiga anggota kumpulan itu beraksi di pentas
FENOMENA Bunkface melanda Hot FM Mini Jam yang berlangsung di AEON Jaya Jusco, Bukit Tinggi, Klang, Sabtu lalu hingga menimbulkan kekecohan di kalangan penonton yang bagaikan dirasuk tatkala menyaksikan tiga anggota kumpulan itu Sam, Paan dan Youk mendendangkan lagu popular mereka.
Akibat dipengaruhi ketaksuban, timbul pergaduhan antara dua kumpulan yang entah berpunca dari apa. Perbalahan itu tidak berakhir ketika Bunkface sedang membuat persembahan tetapi ia berlarutan sehingga konsert Mini Jam yang pertama untuk tahun ini tamat. Akibat perbalahan itu, ada antara penonton yang tercedera disebabkan sikap kurang sabar mereka sendiri.
Walaupun anggota Rela ditempatkan di sekitar kawasan berlangsungnya konsert, namun selepas ini Hot FM mungkin perlu memperbanyakkan lagi anggota keselamatan bagi menjamin keselamatan penonton lain yang hadir dengan tujuan untuk berhibur.
Kehadiran kumpulan Bunkface di akhir konsert itu sememangnya dinantikan peminat grup yang sedang meningkat naik itu. Kehangatan jelajah mini jam yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ketiga stesen radio milik Media Prima itu semakin dirasakan apabila Bunkface muncul di pentas.
Biarpun terpaksa berpanas di tengah terik mentari, lebih 3,000 penonton yang mengunjung tapak letak kereta Jaya Jusco ternyata tidak mahu berganjak untuk menyaksikan kumpulan itu beraksi. Kehadiran Bunkface mencuri tumpuan dan menjadikan ruang letak kereta yang sebelum ini sesak menjadi bertambah sesak.
![]() |
| PENYAMPAI Hot FM sempat bergambar bersama peminat. |
Empat buah lagu dendangan mereka seperti Revolusi, Situasi dan Silly Lilly cukup untuk membuatkan penonton menjadi bertambah liar seakan mengikut rentak lagu mereka yang rancak.
Selain Bunkface, Hot FM Mini Jam yang juga kesinambungan daripada Hot FM Big Jam yang berlangsung di Johor Bahru, 1 Mac lalu turut diserikan dengan persembahan daripada The Fabulous Cats, Nubhan, Dayang Nurfaizah, 6ixth Sense, Alyah serta Jinbara. Bukan saja kemunculan Bunkface dinantikan, kehadiran Jinbara juga bikin kecoh di kalangan orang Klang.
Petikan gitar dan ketukan dram kumpulan itu juga menjadi pemanas kepada konsert yang berlangsung hampir dua jam itu. Bukan saja Bunkface mendendangkan empat buah lagu, Jinbara juga menghiburkan peminatnya dengan empat buah lagu popular mereka iaitu Patri, Kasihnya Laila dan Farhana.
Kumpulan Jinbara ternyata memiliki kelebihan tersendiri apabila pemain gitarnya Cepot juga berkebolehan menyanyi. Pada petang itu, Cepot mengembalikan ingatan peminat kepada lagunya bersama kumpulan yang pernah dianggotai satu ketika dulu, Tropika yang dikenali menerusi lagu Cinta Pantai Merdeka.
![]() |
| ALYAH juga memukau dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Karma. |
Walaupun kumpulan Tropika satu ketika dulu mungkin boleh dikategori sebagai kumpulan ala suam kuku, namun agak mengejutkan Jinbara pada petang itu apabila peminat turut sama mendendangkan lagu berkenaan, sekali gus menunjukkan Tropika juga sebenarnya mempunyai pengikutnya sendiri.
Sementara itu, keadaan kesihatan yang kurang baik tidak menghalang vokalis 6ixth Sense, Adi membuat persembahan demi tidak menghampakan peminatnya. Menerusi lagu popular mereka, Tanpa dan Tak Bisa Memilihmu, 6ixth Sense berjaya membuatkan penonton terhibur. Sebagai penghargaan untuk peminat mereka, 6ixth Sense turut mendendangkan sebuah lagi lagu secara duet bersama Nubhan, Cinta Yang Sempurna.
The Fabulous Cats mendendangkan dua buah lagu Rimas dan Bawaku Terbang, Nubhan juga menghiburkan penonton dengan dua buah lagu Fall Four You dan Seadanya Aku. Begitu juga Dayang yang menghiburkan penonton dengan lagu Luka dan Survivor, diikuti Alyah dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Karma.
Hot FM Mini Jam akan meneruskan penjelajahan mereka ke beberapa destinasi lagi iaitu Kuantan pada Oktober dan Kedah yang menjadi upacara penutup pada November nanti.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: