Tuesday, May 12, 2009

Alexa yakin mampu bersaing



Kumpulan Alexa

DENGAN latar muzik berbeza, lima jejaka dari Indonesia ini bergabung membentuk sebuah kumpulan yang diberi nama Alexa. Pengalaman serta pengetahuan muzik berbeza menyebabkan Alexa berasa yakin mereka mampu bersaing dengan kumpulan muzik sedia ada dari tanah kelahiran mereka.

Gabungan pelbagai genre dari pop, metal, dance, jazz hingga alternatif kerana asal usul setiap anggotanya yang sebelum ini memulakan langkah dari band berbeza maka lahirlah sebuah album berkonsepkan power pop. Alexa menekankan lagu yang mudah diterima (easy listening) namun dibungkus dengan karakter yang kuat ujar anggota kumpulan ini tatkala kunjungan sulung mereka ke sini baru-baru ini.

Satrio si pemain gitar kumpulan itu pernah menitip pengalaman bersama kumpulan Maliq & D’Essentials, pemain dramnya, Jar sebelum ini pernah bersama kumpulan Steppforward dan Perfecet Minors. Sementara Aqi pula selaku vokal utama pernah bergelar anggota Tiket. Rizki selaku gitar pula menimba pengalaman bersama kumpulan Adityla dan JMono pula dari Park Drive.

Penubuhan Alexa yang berasal dari bahasa Yunani membawa maksud pembela lelaki ini, bukan kerana tidak wujud lagi persefahaman bersama band terdahulu, sebaliknya Satrio, Jar, Aqi, Rizki dan JMono mahu berkongsi pengetahuan muzik yang berbeza dengan pencinta muzik.

“Kami sedar Alexa masih terlalu kecil seperti bayi yang baru dilahirkan, namun tujuan kami membentuk kumpulan ini adalah supaya muzik kami dapat dinikmati.

“Cuma apa yang membezakan kami dengan band di Indonesia adalah kepada perbezaan pengetahuan muzik kelima-lima kami yang digabungkan sehingga terbentuknya album berkonsepkan power pop. Power itu muziknya keras tetapi dengan adanya elemen pop, lagu yang terkandung di dalam album kami masih mudah didengar,” kata mereka.

Sebagaimana tradisi artis Indonesia yang sering menjadikan Malaysia sebagai sasaran bagi mempromosikan hasil karya mereka sama ada muzik atau lakonan, Alexa juga nyata tidak mahu ketinggalan memasukkan Malaysia di dalam senarai jelajah promosi mereka.

Sedar dengan kehadiran band Indonesia lain yang memiliki nama dan pengikut nan kukuh, Alexa tidak mengharapkan lebih daripada peminat mereka di sini. Mereka hanya meletakkan harapan yang tidak begitu tinggi, cukup sekadar lagu yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri itu didengari seterusnya wujud satu ruang kecil untuk Alexa bertapak.

Sekali pun hadir dari latar muzik berbeza, Alexa yang terbentuk pada September 2007 berkata mereka tidak pernah berdepan masalah mencari keserasian dalam berkarya. Gabungan lima idea berbeza itulah membantu melahirkan karya yang segar.

“Kami tidak menghadapi masalah untuk mencari lagu yang bersesuaian untuk Alexa sekalipun perbezaan kecenderungan muzik sebelum ini. Sebaliknya ketika menghasilkan karya, kami mencapai kesepakatan dan persamaan yang wujud antara kami itulah menggabungkan kelima-lima kami,” kata mereka lagi.

Kumpulan ini yang kini sibuk mempromosikan single pertama berjudul Jangan Pernah Pergi juga berkata, mereka adalah pembela wanita melalui lagu yang dihasilkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: