Tuesday, May 12, 2009

Astro pantau kualiti produk


ANTARA artis yang menjayakan Astro Megadrama.

Unit Drama nilai, agih program ikut kesesuaian empat saluran Melayu

ASTRO Megadrama diibaratkan sebuah gudang menghimpun pelbagai genre drama terpilih untuk diagihkan-agihkan kepada empat saluran Melayu bagi tontonan penonton.

Bagaimanapun drama berkualiti ini menjadi tanggungjawab Unit Drama yang ditubuhkan Astro untuk menilai dan diagihkan mengikut kesesuaian kepada saluran Melayu.

Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar berkata, bahagian Unit Drama akan memastikan drama yang diterima daripada pembekal menepati konsep setiap saluran Melayu di Astro.

“Biasanya pembekal drama sudah sedia maklum piawaian drama yang dihasilkan untuk disiarkan di saluran mana. Ini sebenarnya akan menjadi mudah untuk kita menentukan drama yang bersesuaian dengan konsep drama saluran kita.

“Namun sekiranya drama yang diterima itu tidak menepati konsep yang diperlukan Oasis, Prima atau Ria, drama ini akan terus dihantar kepada Unit Drama untuk dianalisis kembali.


“Di Astro Oasis kita memerlukan sebanyak 30 peratus saja drama, selain 20 peratus dokumentari, 30 peratus bual bicara dan 20 peratus hiburan dan lain-lain,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Pengurus Saluran Prima, Nizam Sani berkata, Prima memerlukan sebanyak 70 peratus drama berbanding saluran lain.

“Prima adalah saluran keluarga dan kita mempunyai lebih besar skop tontonan penonton, daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan pertengahan. Jika diperhatikan drama yang disiarkan di Prima seolah-olah lebih sesuai disiarkan di Oasis.

“Biasanya drama keagamaan yang disiarkan di Prima ditentukan mengikut keseluruhan jalan cerita, watak dan beberapa aspek lain. Prima biasanya akan menyiarkan drama yang menceritakan bermula dari yang buruk berubah kepada kebaikan, tetapi di Oasis biasanya bermula dari yang baik dan diimbas peristiwa buruk masa silam,” katanya yang akan menyiarkan satu atau dua telefilem yang berkualiti setiap minggu.

Sementara itu, pelancaran beberapa drama dari Astro Megadrama bermula Mei dihimpun daripada drama yang berkualiti dan memberi pengajaran buat penonton.

Menerusi Astro Ria, drama bersiri Gadis Cuci akan menemui penonton bermula 21 Mei ini setiap Khamis jam 9 malam. Ia akan diterajui empat pelakon utamanya iaitu Anne Ngasri, Darling Ngasri, Fara Fauzana dan Tengku Tiara.

Selain itu menerusi Astro Oasis, drama yang menerapkan elemen pengajaran iaitu Dua Marhalah pula akan disiarkan bermula 25 Mei setiap Isnin jam 10 malam.

Drama yang dilakonkan Zizie Ezette, Datuk Mustapha Maarof, Datin Rosnani Jamil, Fauzi Nawawi Faizal Yusof, Lisdawati, Maizurah Hamzah dan ramai lagi bakal disiarkan sebanyak 13 episod.

Ia mengungkap peristiwa dan perjalanan taubat seorang wanita yang sangat melankolik bernama Kamsiah. Dia dikhianati oleh orang kepercayaan ayahnya sendiri dan dijual ke lantai kabaret. Perjalanan taubatnya sering kali mendapat dugaan sehinggalah dia menemui jalan kebenaran.

Selain itu telefilem lain yang akan disiarkan menerusi Astro Ria iaitu Kepompong pada 15 Mei jam 10 malam dan Murabi pada 17 Mei 10 malam akan disiarkan menerusi Astro Prima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: