|
GAMAT dan meriah, begitulah gambarannya apabila gerai Harian Metro di Karnival Jomheboh TV3 di Lumut, Perak pada 26 dan 27 April lalu menjadi tumpuan pengunjung untuk menyertai pelbagai acara disediakan di samping menyaksikan konsert mini yang disertai penyanyi popular. |
Lebih menarik, buat pertama kali, Harian Metro (HM) membawakan bintang yang kian meningkat naik namanya di persada seni tanah air, Muhammad Aizat Amdan (Aizat), 21, menghiburkan pengunjung.
Selain itu, pertama kali juga penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada rancangan realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Nur Azilah Saeron (Zila), 22, tampil menyanyi bersama tunang tersayang, juga anggota kumpulan lawak Cham, Muhammad Nizamudin Ahmad (Along), 26.
Juara My Starz Lg, Noritzuana Syed Shafudin (Wana), 23, dan Amylea Azizan, 22, yang baru saja menamatkan persaingan dalam One In A Million musim ketiga (OIAM3) turut teruja apabila dapat menghiburkan lebih 30,000 pengunjung gerai HM sepanjang dua hari karnival berlangsung.
Walaupun penat kerana turut terikat dengan persembahan konsert ulang tahun TV9 dan Karnival Jomheboh, Aizat tetap seronok diberi peluang menghiburkan pembaca setia akhbar nombor satu ini.
Ketika ditemui sebaik mengadakan persembahan, jelas penyanyi yang hangat dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu, dia berasa puas apabila sesekali dapat beraksi di pentas HM.
“Pada saya, saiz pentas bukanlah ukuran. Dapat beraksi di pentas HM menjadikan saya seronok kerana dapat berinteraksi dengan peminat secara langsung.
“Kalau beraksi di atas pentas besar seperti konsert TV9 dan Karnival Jomheboh, biasanya komunikasi antara penonton hanya sehala. Tetapi tidak di pentas HM kerana pengunjung boleh berjumpa, bergambar dan meminta tandatangan daripada artis kesayangan mereka,” katanya.
Walaupun agak penat kerana terikat dengan beberapa persembahan di tapak karnival tetapi jelas Aizat, dia tetap puas kerana dapat menghiburkan peminat yang datang dari seluruh daerah di Perak.
“Tidak mengapalah kalau saya penat sedikit asalkan hati peminat puas. Lagipun saya masih muda dan inilah masanya untuk bekerja keras. Saya menggunakan peluang yang ada mendekatkan diri dengan peminat,” katanya yang mendendangkan lagu Fikirlah dan Lagu Kita pada dua hari persembahan itu.
Pertama kali Zila dan tunang tersayang, Along tampil berduet di gerai HM, ternyata mendapat maklum balas positif daripada pengunjung dan peminat setia pasangan ini.
Zila sendiri berasa senang apabila dapat menyanyi di samping Along kerana berasakan persembahan menjadi lebih menarik dan hidup.
“Biasanya apabila menyanyi sendiri, persembahan saya lebih tertumpu pada nyanyian, bagaimanapun apabila Along ada bersama saya, unsur lawak itu ada. Sedikit sebanyak pengunjung akan ketawa menyaksikan gelagat kami,” katanya.
Bagi Along pula, dia senang sekiranya dapat mengadakan persembahan bersama Zila, apatah lagi sekiranya itu yang peminat mahukan.
“Saya sendiri bukanlah seorang penyanyi yang hebat, tetapi setakat untuk menghiburkan pengunjung HM bolehlah. Takat ini kami memang ada merancang untuk menghasilkan lagu duet dan merakamkan semula lagu Jika Kau Kekasih dalam album kompilasi dihasilkan Ajai,” katanya.
Waktu sama sebagai penghibur jelas Along, peluang menyanyi di gerai HM dijadikan titik permulaan untuk mengembangkan bakat dalam cabang seni lain.
“Sekarang ini kalau kita lihat begitu ramai artis baru muncul. Begitu juga dengan pelawak. Kerana itu saya mahu menjadi artis serba boleh agar pada masa hadapan, saya mempunyai kelebihan yang boleh ditawarkan kepada peminat di luar sana,” katanya yang turut menyanyikan lagu Aspalela secara solo.
Wana pula berasa berbesar hati apabila HM menjemputnya untuk bersama-sama penyanyi popular lain menghiburkan pengunjung yang datang sempena Karnival Jomheboh.
“Selepas menjuarai rancangan My Starz Lg, saya banyak menjayakan rancangan terbitan TV3 sementara di gerai HM, ini kali pertama saya membuat persembahan terbuka.
“Ia saya gunakan untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sebelum ini banyak mengundi sepanjang terbabit dalam rancangan realiti itu.
“Lagipun menyaksikan pengunjung sanggup datang dari jauh dan berpanas semata-mata hendak memberikan sokongan membuatkan saya berasa sangat terharu,” katanya.
Selain itu, jelas Wana, dengan mengadakan persembahan di gerai HM, ia memberi peluang kepadanya meneruskan aktiviti nyanyian di samping mengasah bakat agar peminat tidak lupa dengannya.
“Saya kini sudah mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Warner Music selama setahun dan dalam tempoh menanti album siap, jemputan daripada HM ini saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan diri terutama dalam berkomunikasi dengan peminat,” katanya yang mendendangkan lagu Semuanya Ada Di Sini.
Amylea membuat kemunculan kali pertama di pentas HM sebaik saja menamatkan persaingan dalam OIAM3, dua minggu lalu. Peluang itu digunakan penyanyi yang muncul dengan album, Selepas 3 untuk membiasakan diri kembali pada pentas terbuka.
“Selama lima bulan dikuarantin di bilik hotel membuatkan saya terasa sedikit kekok apabila berhadapan dengan peminat yang begitu ramai. Bagaimanapun, pengunjung yang hadir di gerai Harian Metro begitu sporting dan saya senang dapat menghiburkan mereka,” katanya.
Di samping itu, jelas Amylea, selepas keluar dari OIAM3, dia merancang untuk merangka sendiri kerjaya seni dan terus mempromosikan Selepas 3, malah dia turut mengambil kesempatan menjual albumnya dengan harga istimewa di gerai HM.
Turut menghangatkan gerai HM, bekas anggota kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Norzaini Mohd, 45 atau Awang dan pendatang baru berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Lenaber Haidir atau Lina.
Pengunjung juga diperdengarkan Awang, single terbarunya yang dicipta khas untuk penduduk Gaza, Palestin yang menderita akibat serangan Zionis. Katanya, lagu itu baru saja dihasilkan dan akan dimuatkan dalam album terbarunya nanti.
“Lagu itu sepatutnya didendangkan saya bersama tiga lagi artis lama iaitu anggota kumpulan Kool, Zack, Nash dan penyanyi utama BPR, Joey. Hasil jualan itu juga, saya rancang untuk disalurkan dalam dana khas,” katanya.
Sementara itu, Lina yang kini bernaung di bawah pengurusan komposer, Julfekar, menjadikan pentas di gerai HM sebagai tempat untuk mengasah bakat sementara menanti albumnya dihasilkan.
Terdahulu, gerai HM mengadakan pertandingan Mini Gadis Metro dan Metro Idol, yang dimenangi Nurul Diana Salman, 18, dari Sitiawan, Perak dan Noorazimah Mohamed Nor, 22, dari Tronoh, Perak.
Kedua-dua pertandingan diadili Pengarang Hiburan HM, Adam Salleh dan Eksekutif Penjenamaan HM, Zurani Abdullah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: