Friday, May 1, 2009

Soseh Soseh: Tonton teater macam di kedai kopi


SEJAK kebelakangan ini, industri teater kian mendapat perhatian masyarakat. Dek kerana itu, tidak menghairankan apabila pementasan teater mampu menarik perhatian ramai dari pelbagai golongan umur untuk menontonnya.

Bercakap pasal teater ini, ada rakan SS yang tidak pernah pergi melayan teater sebelum ini, akhirnya tertarik untuk menonton satu pementasan teater yang sedang rancak dipentaskan di Istana Budaya.

Disebabkan tidak pernah pergi ke Istana Budaya, rakan SS ini terlalu teruja untuk ke sana sehinggakan sanggup membelanjakan ratusan ringgit semata-mata untuk membawa ahli keluarganya yang ramai untuk bersama-sama menonton.

Maklumlah, ketika itu pun gaji baru masuk jadi tidak berkiralah sangat. Bagaimanapun, rakan SS ini hanya mampu membeli tiket yang berharga RM30 sahaja kerana nak beli tiket yang berharga RM100 tidak mampu, lainlah jika dia seorang sahaja yang pergi menontonnya.

Kata rakan SS ini, dia begitu tidak puas hati sepanjang pementasan berlangsung. Bukan kerana jalan cerita atau pelakon yang terlibat dengan pementasan teater itu membosankan, namun dengan sesetengah penonton yang suka membuat bising ketika berlangsungnya teater itu.

Menurut rakan SS ini, dia berasa hairan dan tertanya-tanya bagaimana mereka ini boleh ketawa terbahak-bahak sedangkan ketika itu adalah babak serius dan boleh mengalirkan air mata. Bukan sahaja ketawa sampai tidak ingat dunia malah sudah menjadi kedai kopi pulak di situ.

Tambahnya, bukannya tiada pengawal yang menjaga di situ, malah terdapat banyak pengawal yang menjaga keharmonian sepanjang pementasan berlangsung.

Namun, apa yang menyedihkan mereka buat tidak tahu dengan sikap penonton yang tidak menghormati sepanjang berlangsungnya pementasan.

Akhirnya, rakan SS dan ahli keluarganya balik dengan rasa marah kerana bukan sahaja tidak memahami jalan cerita malah sikap sesetengah penonton yang tidak memikirkan perasaan orang lain yang datang untuk menghayati teater itu.

Bagi SS, tidak kiralah apa sekalipun harga tiket, namun kepuasan penonton perlu diambil kira. Walaupun orang kata apalah sangat harga RM30, namun ia amat bermakna bagi sesetengah orang. Lagipun, bukan semua mampu nak beli tiket yang mahal dan duduk di bahagian bawah dekat dengan pentas.



Oleh itu, SS rasa sesiapa yang datang untuk membuat bising, lebih baik jangan pergi menonton teater. Mentaliti penonton seperti ini perlu diubah kerana buat malu orang luar sahaja melihat gelagat mereka yang tidak tahu menghormati majlis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: