|
SIAPA sangka perkenalan secara suka-suka melalui telefon, akhirnya memberi sinar baru kepada kehidupan pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar dalam melayari kehidupan berumah tangga bersama isteri tercinta, Datin Hasimah Delan. |
Namun, itulah kuasa Allah SWT dalam merencanakan kehidupan Adam dan Hawa di muka bumi ini. Malah, bagi tuan empunya badan, Aziz, sama sekali tidak terlintas di permikirannya akan berkahwin lagi selepas 26 tahun menduda.
Apatah lagi, perbezaan usia yang jauh beza di antara mereka, memungkinkan kehidupan bahagia hanyalah satu omongan kosong.
Bagaimanapun, apalah sangat usia itu dikatakan sebagai benteng kerana semuanya itu bergantung kepada kekuasaan-Nya. Seperti kata pepatah lama kalau sudah jodoh, tak akan ke mana.
Bercerita mengenai detik perkenalan, kata Aziz, perhubungan bahagia ini bermula melalui satu majlis anjuran Karyawan.
"Ketika itu, Karyawan sedang bersiap sedia untuk mengadakan satu majlis di Palace of Golden Horses.
"Untuk menjayakan program, nombor telefon saya tertera di kaca televisyen bagi sesiapa yang berminat untuk membeli meja pada majlis itu.
"Dari situlah, dia mendapat nombor telefon dan terus menghubungi saya," katanya.
Aziz dan Hasimah ditemui ketika menjadi tetamu untuk program bual bicara, Sehati Sejiwa yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 jam 3.05 petang dari Studio IBC, Angkasapuri baru-baru ini.
Program yang disiarkan setiap Rabu menampilkan pengacara, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau Scha membawa penonton mengupas kehidupan sisi rumah tangga selebriti popular tanah air.
Perkenalan yang dimulai dari corong telefon, akhirnya membawa kepada pertemuan dua hati ini melalui satu pementasan RTM di Taman Nirwana.
"Kami tidak pernah berjumpa sebelum itu dan interaksi kami hanya melalui telefon dan pesanan mesej.
"Bagaimanapun, ketika di majlis itu, dia datang bersama anak-anaknya dan memperkenalkan dirinya serta ingin bergambar dengan saya.
"Waktu itulah, baru saya dapat melihat wajah sebenar wanita yang sentiasa menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan diri dan mengambil berat akan kesihatan diri saya selama ini," katanya.
Bagi Hasimah pula, dirinya tidak pernah bermaksud untuk 'menggedik' kerana apa yang berlaku pada dasarnya adalah perkenalan yang dimulai antara peminat dengan pelakon kesayangan.
"Saya begitu meminati hasil lakonan suami kerana bagi saya, dia begitu comel berbanding pelakon lain dan karakter yang kelakar begitu menarik perhatian saya.
"Selama empat tahun, saya menjadi penonton setia semua cerita yang dilakonkannya dan dari situ, saya menyimpan hasrat untuk bertemu dengannya. Itu pun pada awal, hanya antara peminat dan pelakon kesayangan.
"Jadi, apabila ternampak nombor telefon suami di kaca televisyen untuk satu program, terus saya tidak melepaskan peluang itu untuk menghubunginya dan menyatakan yang saya begitu meminati lakonannya.
"Secara jujur, saya tidak pernah menyangka perkenalan itu akhirnya membawa kami ke alam perkahwinan," katanya.
Perkenalan yang terjalin antara peminat dan pelakon kesayangan, akhirnya melakarkan satu kenangan manis buat mereka. Menyentuh bagaimana Aziz tertarik dengan Hasimah, katanya, perhubungan yang terjalin selama setahun membuatkan dirinya dapat melihat siapa sebenarnya Hasimah.
"Saya tertarik dengannya kerana melihat kesungguhan dia yang tidak jemu menghubungi saya, menanyakan khabar dan dari situ saya dapat melihat keikhlasan yang ada dalam dirinya," katanya.
Hasrat untuk berkahwin lagi di saat anak-anak sudah mengenali erti dunia, pasti menyingkap persoalan penerimaan terhadap kemunculan orang baru di dalam keluarga.
Tambahan pula, bakal isteri yang akan dikahwini umurnya lebih muda daripada anak sendiri.
Berdasarkan realiti itu, Aziz berkata, selepas perhubungan cinta itu menjangkau masa setahun, barulah dirinya dan Hasimah memberitahu keluarga masing-masing.
"Alhamdulillah, apabila diberitahu mengenai hasrat kami untuk berkahwin, anak-anak tiada bantahan walaupun anak saya umurnya lebih tua daripada Hasimah.
"Apabila tiada masalah dari kedua-dua belah pihak, saya pun apa lagi cepat-cepat masuk meminang. Almaklumlah, kalau lambat nanti takut orang lain kebas pulak," seloroh Aziz.
Percintaan yang terjalin sehingga ke alam perkahwinan itu, akhirnya terus mekar kerana wujudnya toleransi, jujur, ikhlas, saling mempercayai dan memahami. Itu antara rahsia kebahagiaan Aziz dan Hasimah yang dikongsi bersama penonton Sehati Sejiwa.
"Saya bersyukur kerana sehingga saat ini, kami tidak pernah bergaduh dan bermasam muka antara satu sama lain.
"Sekiranya ada masalah, kami akan berbincang dengan baik dan menguraikan perkara itu satu persatu," kata Aziz.
Mengenai perkembangan terkini, Aziz berkata, dia sedang menulis skrip untuk satu program 13 episod berjudul Jalan Ampas. Menurutnya, cerita itu akan menyingkap kehidupan pelakon zaman Jalan Ampas, cara mereka bekerja dan bagaimana mampu menghasilkan satu filem yang berkualiti.
Selain itu, Aziz juga sedang menulis buku yang diberi judul 'Tan Sri P Ramlee Lagenda' dan dijangka akan dikeluarkan dalam tahun ini.
"Melalui buku ini, saya menceritakan karakter P Ramlee berdasarkan apa yang saya lihat, apa yang dia buat dan sebagainya dari kaca mata saya sendiri," katanya.
Selain itu, kata Aziz, buku yang menceritakan perihal dirinya sebagai seorang anak seni sudah siap ditulis dan ketika ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang menyusunnya dan diberi judul Memoir Aziz Sattar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: