Friday, May 8, 2009

Nyanyi sekadar hobi


KESUNGGUHAN sewaktu menyampaikan lagu Setia Ku Korbankan nyanyian asal Fauziah Latif dengan penuh penghayatan memberi tuah kepada Noorazimah Mohamed Noor atau Azimah untuk muncul juara pertandingan Metro Idol yang diadakan di gerai Harian Metro sempena Jom Heboh, di Lumut, Perak, pada 26 dan 27 April lalu.

Lebih menarik apabila gadis berusia 22 tahun dan berasal dari Tronoh, Perak itu turut membawa barang perhiasan rumah dan kelopak bunga di atas pentas Harian Metro bagi mewarnai persembahannya dan menewaskan 15 peserta lain.

Ditemui sebaik diumumkan pemenang kata Azimah, dia tidak sangka juri memilihnya sebagai juara memandangkan saingan daripada peserta lain tidak kurang hebatnya.

"Mungkin kelebihan saya selain penyampaian adalah 'prop' yang disediakan dan penampilan saya pada hari ini. Sebenarnya, saya sudah datang ke gerai Harian Metro seawal jam 10 pagi.

"Sebaik mengetahui ada pertandingan Metro Idol, saya pulang ke rumah dan bersiap-siap. Tidak sangka pula usaha saya ini memberikan ganjaran lumayan," katanya.

Bagaimanapun jelas Azimah kemenangan diperoleh tidak bermakna dia mahu menjadi artis rakaman kerana memasuki pertandingan nyanyian hanya sekadar hobi.

"Ini bukanlah kemenangan pertama. Sebelum ini sudah banyak pertandingan nyanyian saya masuk dan menang. Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan selalunya saya menjadikan pertandingan nyanyian sebagai sumber pendapatan.

"Saya tidak mahu bergelar artis rakaman kerana rasanya hendak menjalani hidup sebagai penyanyi tidak mudah dan saya tidak bersedia untuk itu," katanya.

Sementara itu Norliyana Shamsudin (Fieona) menang tempat kedua dengan persembahan bersahaja sewaktu mendendangkan lagu Rindu yang dipopularkan Hetty Koes Endang.

Menetap di Puchong, Selangor, peserta muda berusia 17 tahun ini pernah beberapa kali menyertai Metro Idol, namun baru kali ini bertuah menang tempat kedua.



"Tujuan sebenar saya menyertai pertandingan ini adalah untuk menimba pengalaman. Saya masih muda dan dengan menyertai Metro Idol bolehlah mengasah bakat yang ada.



"Menjadi penyanyi memang menjadi cita-cita saya dan untuk menjadikan ia kenyataan saya harus berusaha dari sekarang," katanya.

Tempat ketiga dimenangi Nor Safirin Mohamad, 38 yang menyanyikan lagu Bukti, nyanyian asal Fiq. Safirin yang bertugas sebagai anggota tentera di KD Pelanduk, juga pernah menyertai pertandingan Metro Idol sewaktu Jom Heboh di Ipoh pada 2007.

"Waktu itu saya tidak menang. Hari ini pun saya masuk pertandingan Metro Idol untuk suka-suka dan tidak sangka langsung akan menang.

"Sudah lebih 20 tahun saya menyanyi dan selalu masuk pertandingan malah pernah juga ditawarkan menghasilkan album. Sayangnya waktu itu saya mengalami masalah buah pinggang menyebabkan saya terpaksa melupakan keinginan itu," katanya yang dilahirkan dan dibesarkan di Lumut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: