|
HAMPIR semua anggota keluarga penyanyi jelita kelahiran Bumi Kenyalang, Camelia di Kuching, Sarawak menyayangi kucing dan menganggapnya sebagai haiwan peliharaan kesayangan mereka sejak dulu. |
Malah, kata Camelia, 34, atau nama sebenarnya, Dayang Nur Camelia Abang Khalid, setakat ini keluarganya mempunyai enam ekor kucing yang dipelihara sejak kecil.
"Adik saya yang paling menyayangi kucing dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga kami. Selain kucing, dia juga mempunyai beberapa ekor arnab yang dipelihara di kediaman keluarga di sana. Setiap kali pulang ke kampung halaman, saya tidak melepaskan peluang bermesra dan bermanja dengan kucingnya itu.
"Secara peribadi, saya juga menyayangi kucing kerana dia haiwan manja, suka dibelai dan bijak. Saya juga suka memeluk tubuh kucing yang gebu dan apabila memeluknya, perasaan sayang terus tercurah kepadanya," katanya.
Justeru, kata Camelia yang juga pengacara, model iklan, ikon fesyen dan duta produk Inner Shine serta Ara Hill ini, dia juga tidak berfikir panjang apabila diundang untuk sama-sama menyemarakkan majlis pelancaran produk makanan kucing, Fancy Feast, keluaran Purina PetCare (Malaysia) Sdn Bhd (Purina) berkenaan.
Ia dihadiri ramai selebriti terkenal bersama kucing masing-masing. Antaranya Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus, Aishah Sinclair, Atilia, Yasmin Hani, Sharizan, hos 3R, Rafidah Abdullah dan Celina Khor. Tidak ketinggalan, Kartini Hot FM, selaku pengacara majlis. Hadir sama, Pengurus Perniagaan Dalam Negara Purina, Tim Wilson.
Bagaimanapun kata Camelia, buat masa ini dia belum merancang untuk memelihara kucing di kediamannya di Kuala Lumpur kerana keadaan tidak mengizinkan.
"Namun, saya bersedia mempertimbangkan jika ada pihak berminat menawarkan saya menjadi duta atau jurucakap produk makanan kucing pada masa depan.
"Sebelum menjayakan majlis ini, Purina membawa kucing bernama Kitty ke rumah untuk diperkenalkan kepada saya dan selepas dia tinggal bersama beberapa hari, barulah Kitty manja dan rapat dengan saya," katanya.
Bagi Sazzy, dia sekeluarga memang pencinta haiwan sejak dulu. Malah, dia dan adik beradiknya mempunyai kucing kesayangan masing-masing sejak kecil.
"Saya juga masih memelihara dua ekor kucing selepas berkahwin dengan Nazril iaitu Cinta (betina) dan Coolio (jantan).
"Coolio adalah kucing jenis Maine Coon yang baru berusia setahun. Manakala Cinta pula separuh Persian dan kucing biasa. Sebenarnya, saya sudah memelihara Cinta terlebih dulu, sebelum Coolio datang dalam hidup kami berdua.
"Semuanya bermula apabila rakan suami saya yang mempunyai kedai haiwan peliharaan bertanya sama ada kami berminat membeli Coolio yang dibeli di luar negara kerana kedainya dalam proses ubah suai ketika itu. Apabila melihat Coolio yang comel, hati saya terus terbuka untuk memeliharanya," katanya.
Sekalipun jadualnya dan suami padat, Sazzy berkata, mereka tidak ada masalah menjaga dua kucing berkenaan kerana mempunyai pembantu rumah yang menjaga, memberinya makan dan membersihkan daripada najis apabila mereka keluar bekerja.
"Apabila pembantu rumah pulang bercuti ke Indonesia, suamilah yang bertanggungjawab membersihkan kesan najis Coolio dan Cinta kerana saya akan mengemas dan membersihkan rumah pula," katanya. "Saya dan suami juga akan terus memelihara Coolio dan Cinta selepas mempunyai anak sendiri nanti. Kami tidak menganggapnya sebagai beban kerana kehadiran Coolio dan Cinta menceriakan lagi hidup kami.
"Sebenarnya, perbelanjaan yang kami keluarkan untuk rawatan perubatan, makanan dan pasir buat kedua-dua kucing kami ini tidak banyak, kira-kira RM200 sebulan. Lebih bermakna, tahun ini Purina menaja produk Fancy Feast selama enam bulan buat kedua-dua kucing kesayangan kami ini," katanya.
Pengacara Yasmin Hani pula mengakui pada peringkat awal dia tidak merancang memelihara kucing di apartmen kediaman yang dihuni bersama abang dan adiknya.
Namun, hatinya terbuka memelihara kucing kerana simpati dengan kucing jalanan yang ditemuinya di perhentian bas berhampiran kediamannya baru-baru ini lalu menamakannya Magic.
"Saya melihat kucing jalanan yang cacat di bahagian kakinya itu sangat comel dan istimewa. Saya membawa Magic bertemu doktor veterinar untuk mendapatkan rawatan perubatan terlebih dulu sebelum memutuskan untuk memeliharanya.
"Selepas itu, abang saya, Andre Richardson pula membawa pulang seekor lagi kucing jalanan yang ditemui di bahagian pejabat sekuriti lama berhampiran kediaman kami.
"Melihat keadaan kucing yang diberi nama Smudge yang sakit, tidak terurus serta kaki berulat, kami terus membawanya berjumpa doktor dan sepakat untuk sama-sama memeliharanya. Kini, Magic dan Smudge berubah menjadi kucing sihat dan comel serta menjadi sebahagian daripada hidup saya, abang dan adik yang sama-sama bergilir menjaganya sampai sekarang," katanya.
Sementara itu, Atilia atau nama sebenarnya, Raja Putri Atilia Raja Haron berkata, dua ekor kucing kesayangan, Smeagol, 5 tahun dan Precious, 4 tahun adalah segala-gala dalam hidupnya sekarang.
"Selepas menjalani hidup solo, kasih sayang saya kini tercurah pada Smeagol dan Precious. Apabila berhadapan tekanan atau kembali ke rumah selepas penat bekerja, saya akan menghabiskan masa dengan kucing kesayangan saya itu.
"Saya gembira dan segala kesedihan juga hilang apabila bercakap dengan kedua-dua kucing kesayangan saya kerana mereka seolah-olah memahami bahasa yang digunakan," katanya.
Kata Atilia, ibunya yang juga penyanyi veteran, Salamiah Hassan juga mempunyai lima ekor kucing di rumahnya.
"Saya dan ibu mempunyai hobi yang sama-sama iaitu sama-sama menyayangi dan pencinta kucing. Ibulah yang banyak mendedahkan saya kepada haiwan peliharaan sejak kecil. Bagi saya, Smeagol dan Precious menjadi teman di kala sunyi dan pada masa sama menjadi sahabat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: