
![]() |
| KERJAYA seni Nabil semakin utuh selepas memenangi banyak anugerah dalam industri hiburan tempatan. |
![]() |
| NAMANYA semakin meledak dek adegan 'terpeluk' kekasihnya, Irma pada satu majlis baru-baru ini. |
SUDAH namanya pasangan merpati dua sejoli, pelawak terkenal Nabil dan pelakon jelita Irma Hasmie dilihat semakin intim sejak hubungan mereka diketahui satu Malaysia.
Namun, keindahan cinta mereka bukan disenangi semua pihak. Ini kerana ada pihak yang mengatakan mereka mulai rimas melihat pasangan ini umpama belangkas.
Ke mana saja pergi berdua, walaupun pada acara yang memerlukan kehadiran hanya salah seorang daripada mereka.
Sama juga halnya pada majlis pelancaran sambutan Hari Ibu dan Bapa 2009 di Restoran Seri Melayu baru-baru ini apabila kelibat Irma turut kelihatan.
Bukan mahu menghalang cinta mereka yang sedang mekar tetapi keintiman mereka jika disalah tafsir oleh sesetengah orang hanya akan mengundang padah.
Mengerti dengan persoalan yang diajukan, Irma mahu pun Nabil hanya tersenyum seraya Nabil berkata: "Walaupun kami kekasih, kami masih tahu batas-batas yang harus dijaga, saya dan dia bukannya berkepit 24 jam sehari.
"Macam hari ini pun, sudah dua minggu kami tidak jumpa, kebetulan saya tidak ada kenderaan untuk ke majlis ini kerana motor dan kereta saya masih di bengkel akibat kemalangan. Saya minta pertolongan Irma, itu sahaja.
"Kami berdua sibuk kerana jadual padat, cuma macam inilah kami berjumpa, jadi saya tidak tahu macam mana orang boleh kata kami sentiasa bersama."
Jelas Nabil lagi, tanggapan itu berlaku mungkin kerana kekerapan wajah mereka berdua hadir pada majlis yang sama secara serentak.
"Ada majlis yang memerlukan kami berdua hadir bersama. Walaupun tarikh dan waktu antara majlis berbeza-beza, bila ia kerap keluar di akhbar orang kata kami sentiasa berkepit.
"Kalau tidak di akhbar pun, di televisyen tarikh rakamannya mungkin sudah lama tetapi bila ia keluar waktunya lebih kurang sama sahaja. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, saya sedar siapa saya, lepas ini saya akan lebih berhati-hati," ujar Nabil.
Begitu juga dengan Irma, dia juga sedar tanpa ikatan sah yang belum terjalin antara mereka, banyak mata memandang dan mulut akan berkata jika mereka tersalah langkah.
Meskipun tidak menyangka ada orang yang mulai rimas dengan kelakuannya dan Nabil, Irma tetap reda dengan asam garam dunia seni.
"Saya dan Nabil juga manusia biasa, mungkin kerana kami artis orang memandang setiap perlakukan kami. Tetapi kami bukannya selalunya bersama, kami sama-sama sibuk.
"Cuma bila ada kesempatan kami akan bertemu, bila saya menemani dia ke mana-mana majlis, nanti orang cakap saya sombong pula asyik duduk dalam kereta sementara tunggu majlis habis.
"Bila saya ikut sekali, orang kata kami macam belangkas. Pada saya mulut orang memang tidak boleh nak tutup. Apa pun saya sedar dan berterima kasih kerana menegur kami. Sebagai manusia kadang-kala saya terlupa begitu juga dengan Nabil," ulas Irma lagi.
Ditanya mungkinkah, mereka berdua akan mempercepatkan tarikh ke jinjang pelamin dek publisiti yang diberi, Irma dan Nabil saling berpandangan dan hanya ketawa.
"Sekarang ini kami tengah sibuk untuk memantapkan kerjaya masing-masing terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya. Saya pun sudah membawa Irma berjumpa keluarga dan mereka tidak membantah.
"Kalau jadi saya tidak akan senyap sebaliknya akan umumkan berita gembira kami bersama peminat," tutur Nabil jujur sambil menjeling manja kepada Irma.
Sebelum ini, Nabil juga ada memberitahu pihak media hubungan cinta mereka akan diakhiri dengan sebuah ikatan yang sah kira-kira dua tahun daripada sekarang. Namun jelasnya, itu hanya sekadar perancangan dirinya sahaja.
"Seperti yang saya cakap sebelum ini, dua tahun tempoh untuk kami bersedia. Tetapi itu hanya perancangan yang hanya akan terjadi dengan izin Allah.
"Sekarang ini memanglah kami bercinta, entah-entah esok lusa tiba-tiba Irma tidak mahukan saya atau saya tidak mahukan Irma macam mana? Sedangkan orang yang berkahwin juga bercerai-berai, inikan pula kami yang baru menjadi kekasih. Cuma doakan yang terbaik buat kami," balasnya jujur.
Kasih sayang orang tua
Dalam majlis yang sama, Nabil diberi kepercayaan buat pertama kalinya untuk menjayakan persembahan untuk sambutan Hari Ibu di Restoran Seri Melayu bersama penyanyi Ramlah Ram.

![]() |
| GANDINGAN adik dan kakak, Nabil dan Ramlah Ram menceriakan sambutan Hari Ibu dan Bapa. |
Walaupun mereka berdua popular di dua ruang waktu yang berbeza, itu bukannya halangan untuk mereka memberi persembahan yang hebat.
Kata Nabil, dia turut akan menyanyi beberapa buah lagu duet bersama Ramlah dan dalam masa yang sama menjadi pengacara majlis.
"Hari itu, saya akan membuat semua ibu bapa yang hadir bergelak-ketawa dan berhibur bersama saya dan kak Ramlah. Istimewanya pada hari persembahan, saya akan turut membawa ibu saya sekali," terangnya.
Ramlah pula memberitahu, persembahan peribadi seperti Hari Ibu Bapa inilah yang ditunggu-tunggu kerana ia berbeza dengan persembahan pentas yang lain.
"Macam persembahan Hari Ibu dan Bapa kali ini, saya lebih mesra dan dekat dengan peminat kerana boleh turun dari meja ke meja, kira ala mini konsert bersama Nabil.
"Macam saya dengan Nabil, walaupun ini persembahan bersama kami buat kali pertama tetapi saya sudah mengenalinya kerana persembahan terdahulu.
"Keserasian sudah wujud antara kami, cuma dia terlalu suka mengusik dan membuat semua orang ketawa sehingga sakit perut saya dibuatnya kerana ketawa terlalu banyak," ujar penyanyi yang popular dengan lagu Ketentuan ini.



ada gambar tak untuk majlis hari ibu dan bapa, bleh bg tak.. sy x semoat ambil byk
ReplyDelete