|
| USIA bukan halangan buat penyanyi, Ghazali Othman, 52, untuk bergerak aktif dunia seni. Ghazali yang lebih popular dengan gelaran Razo V-Shape meminati bidang sejak zaman kanak-kanak lagi. |
Pada usia 18 tahun, dia sudah aktif memenuhi undangan menyanyi. Malah memori indah yang masih diingat sehingga hari ini apabila berpeluang menjayakan persembahan di samping penyanyi terkenal, Allahyarham Datin Rafeah Buang.
Mungkin bagi peminat muzik nama V-Shape pasti mengingatkan kita mengenai kemunculan artis berkumpulan yang dianggotai Qem (Kamal Ngani), Fira Mokhtar (Fira), Rohidayati Arshad (Eyda) dan Razo sendiri. Kumpulan berkenaan disifatkan mempunyai perbezaan tersendiri apabila setiap anggotanya mampu menyanyi secara solo dan berkumpulan dengan baik.
Lebih unik mengenai kumpulan itu apabila dianggotai menggandingkan dua anggota lelaki dan dua wanita. Di samping itu, mereka boleh menyampaikan pelbagai rentak lagu daripada tradisional hingga ke moden selain menguasai nyanyian pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Hindi, Kantonis, Mandarin, Arab dan Sepanyol.
Album terbitan V-Shape Production diedarkan Metro Music menampilkan 10 lagu antaranya Prasangka, Joyah, Seloka Aidilfitri, Cinta Tinggal Memori. Komposer terbabit adalah Bell dan Sabri Mohd Salleh.
Menurut Razo setiap anggota V-Shape sentiasa menggalakkan ahlinya tampil secara solo sama ada menerusi persembahan atau menerbitkan album studio. Mungkin ramai menyangka kumpulan itu sudah dibubarkan sebenarnya tidak, malah mereka masih bersama cuma jarang tampil pada majlis terbuka.
Razo pernah bertugas sebagai jurutari kumpulan Senario, Bulan Kesenian Tentera dan artis Pusat Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Bahkan kini menjalankan perniagaan sendiri.
Malah bapa kepada tujuh anak itu turut berbakat mencipta lagu merancang menerbitkan album solo tidak lama lagi. Sebagai permulaan dia mempertaruhkan dua lagu, Maria dan Jom Balik Kampung.
"Lirik dan lagu Maria yang berentak samba agak istimewa kerana ia dihasilkan saya sendiri dan ditujukan kepada anak perempuan yang juga bernama Maria. Malah Maria juga mewarisi bakat nyanyian apabila sudah mula menunjukkan minat dalam bidang seni. Sementara lagu Jom Balik Kampung pula sudah disiarkan di beberapa stesen radio tempatan berentak pop.
"Jika tiada aral album solo dijangka menyusul pertengahan tahun ini dan akan diedarkan oleh syarikat saya sendiri iaitu Goldies Enterprise," kata Razo yang pernah memenangi Persembahan Individu Terbaik menerusi drama tari sempena Pertandingan Festival Mustika Malaysia ke-10 pada 1982.
Katanya, biar apapun tanggapan masyarakat terhadap pembabitannya dalam bidang seni, dia tetap menganggap ia sebagai satu cabaran yang harus dilalui setiap insan seni. Justeru, bukan mudah untuk seseorang individu diterima dan melakarkan nama dalam dunia seni.
"Memang minat saya dalam bidang seni sejak kanak-kanak lagi. Pembabitan dalam bidang seni juga satu kepuasan buat saya. Teguran atau apa saja yang orang cakap yang mana elok saya terima, yang mana tidak elok saya tapis.
"Apa yang lebih penting setiap kali menjayakan persembahan saya pastikan penonton terhibur dan gembira. Malah penampilan ketika berada di atas pentas sentiasa menjadi keutamaan pada saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: