Monday, May 11, 2009

MoU laksana kursus muzik remaja


SETIAUSAHA Agung Majlis Muzik Malaysia, A Gopalkrishnan (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan, Wasitah Mohd Yusof sambil diperhatikan oleh A Rahman (kiri) dan Fathul Razi (kanan) selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman berhubung pelaksanaan Program Rakan Muda Muzik Remaja Rakan Seni Budaya, baru-baru ini.

Majlis Muzik Malaysia bantu bimbing anak muda ke arah kebaikan

KERJASAMA Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda (BPRM) dan Majlis Muzik Malaysia (MMM) melaksanakan Program Kursus Muzik Remaja Rakan Seni Budaya satu usaha membantu remaja ke arah kebaikan.

Program usaha sama ini diadakan bagi mengajar asas muzik dalam bidang vokal, gitar dan dram kepada remaja di bawah sasaran umur Rakan Muda iaitu antara 15 hingga 25 tahun. Sehubungan itu satu memorandum persefahaman ditandatangani bagi mengukuhkan ikatan kerjasama kedua-dua pihak.

Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan berkata, walaupun industri muzik agak suram, MMM mengambil kesempatan untuk bersama dengan BPRM untuk menurunkan kemahiran muzik dalam bentuk mengadakan Program Kursus Muzik Remaja Rakan Seni Budaya kepada golongan remaja.

“Pihak kami terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk remaja kita yang makin lama semakin terdedah kepada unsur negatif dalam masyarakat. Kami ingin memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bentuk modal insan untuk mengisi kekosongan waktu mereka.

“Sebenarnya ramai anak kita yang berminat dengan bidang muzik tetapi mereka tidak ada tempat untuk merujuk. Mujurlah Kementerian Belia dan Sukan bersetuju dengan pendekatan yang dibawakan dan kami amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pihak kerajaan bagi melaksanakan program sebegini,” katanya.



Melalui program ini, asas muzik dalam bidang vokal, gitar dan dram akan diperturunkan kepada golongan remaja. Selain itu, nilai seperti komitmen dan disiplin juga ditekankan kepada remaja yang mengikuti program kerana kedua-dua nilai ini diperlukan untuk belajar bermain muzik.

Daripada pendedahan yang diberikan ini, remaja boleh menilai sendiri hala tuju mereka dalam bidang muzik.

Menurut Mustapha, penyertaan program ini akan diberikan keutamaan kepada remaja yang berdaftar sebagai peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARP) di mana anugerah ini menyediakan peluang kepada peserta untuk mencapai tahap gangsa, perak dan emas.

“Peserta ARP perlu memilih satu jenis kemahiran atau hobi bagi melayakkan peserta ini dianugerahkan mana-mana tahap anugerah yang disertai dan melalui program ini peserta ARP dapat mempelajari bidang muzik dan mungkin suatu hari nanti sebagai kerjaya mereka.

“Untuk menjayakan program ini, MMM bersama dengan BPRM akan mengendalikan 150 orang guru muzik yang terdiri daripada pemuzik, penyanyi dan guru muzik yang akan mengajar lebih kurang 1,350 Rakan Muda di seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Fathul Razi Bakri berkata, program Rakan Muda hari ini lebih memberi tumpuan kepada program pembangunan sosial bagi melahirkan generasi pewaris dan modal insan.

“Kita mengutamakan sesuatu yang sempurna, bertanggungjawab, aktif, berkeyakinan dan berupaya mengawal diri serta menghapuskan amalan negatif seperti lepak dan sebagainya.

“Matlamat asal wujudnya program Rakan Muda masih berada di landasan yang sama dengan pengisian program yang lebih menyeluruh dan fokus kepada keperluan semasa anak-anak muda masa kini.

“Sejajar dengan keperluan semasa di mana golongan remaja lebih terdedah kepada cabaran globalisasi dan arus pembangunan negara yang pesat, Program Kursus Muzik Remaja Rakan Seni Budaya antara kerjasama Kementerian melalui BPRM dengan MMM dirancang sebagai memperbanyakkan pilihan dan peluang kepada remaja mengikuti aktiviti yang dilaksanakan Rakan Muda,” katanya.

Remaja yang berminat untuk mengikuti program ini boleh menghubungi Jabatan Belia Dan Sukan Negeri berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut atau layari laman web kbs di www.kbs.gov.my atau di Portal Remaja Rakan Muda di www.2-u.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: