Monday, May 11, 2009

Mawi tak gusar populariti pudar


MAWI bersama poster album terbarunya.

Berusaha cari peluang untuk mantapkan perniagaan MW Entertainment

JUALAN album sulung Mawi, The Best Of Mawi World pernah mencatat rekod jualan sebanyak 81,200 unit dalam tempoh seminggu sehingga disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records.

Rekod itu belum pernah dicapai artis tempatan kecuali Mawi. Bagaimanapun, itu kisah empat tahun lalu ketika Mawi dipuja kesan popularitinya menerusi program Akademi Fantasia (AF3).

Empat tahun berlalu, kesan yang dirasakan daripada fenomena ‘Tsumawi’ itu kian pudar. Nampaknya Mawi turut mengalami nasib seperti penyanyi tempatan lain apabila album terbarunya Allah Habeebi tidak mampu mengulangi sejarah yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Dua bulan berada di pasaran iaitu sejak 28 Disember 2008 sehingga Februari lalu, album itu hanya terjual kira-kira 15,000 unit saja.

Kegawatan ekonomi dan muat turun lagu menerusi internet dengan mudah dikatakan penyanyi yang baru saja menerima Anugerah Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu punca penjualan albumnya perlahan. Tetapi ada juga yang mendakwa, penjualan albumnya yang perlahan turut dipengaruhi popularitinya yang kian merudum.

BERSAMA barisan komposer hebat yang merealisasikan album Allah Abeebi.

Perkara itu memang tidak dinafikan penyanyi sensasi ini ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya baru-baru ini, tetapi kata Mawi naik atau turun populariti bukan benda utama yang difikirkannya.

“Saya tidak pernah memikirkan soal naik atau turunnya populariti saya. Yang saya tahu, saya buat kerja seikhlas hati. Lagipun masih ramai lagi yang menyokong saya dalam industri ini.

“Saya mengaku jualan album terbaru ini perlahan berbanding dulu. Untuk ulang kembali rekod jualan yang pernah diraih sebelum ini memang susah dengan keadaan kegawatan ekonomi sekarang serta zaman muat turun. Bagaimanapun saya bersyukur kerana setelah sekian lama menanti akhirnya album ini dapat juga dilancarkan,” katanya yang kini bernaung di bawah Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) selepas penutupan Maestro Talent.

Kata penyanyi itu, ketika penutupan Maestro Talent, dia tidak bimbang mengenai statusnya serta nasib album Allah Habeebi kerana sudah dimaklumkan lebih awal mengenai pengambilalihannya oleh AESB.

Menyentuh mengenai buah tangan terbarunya, anak muda berusia 28 tahun ini berpuas hati dengan hasilnya memandangkan kos melebihi RM100,000 dikeluarkan untuk penghasilan album ini. Selain itu, ia turut ditangani komposer tempatan terkenal tanah air seperti Farihin Abdul Fatah, M Nasir, Edry KRU, Bad Hisham, Ku Sham dan ramai lagi. Malah, Mawi turut tidak ketinggalan menunjukkan kebolehan menulis lirik untuk lagu Hijab.

Pada majlis pelancaran album terbarunya itu, Mawi sempat mendendangkan beberapa buah lagu daripada album terbarunya diiringi pemuzik terkenal tanah air seperti Man Kidal, Along Exists, Yasin Sulaiman, Farihin, Ramli Rebana, Salleh dan juga Faiz.

Belum fikir tukar konsep

SEJAK menjejakkan kaki ke dalam dunia seni suara, Mawi nampaknya lebih selesa memperjuangkan album berkonsepkan ketuhanan dan lagu berunsur dakwah kerana asal usulnya sebelum ini yang pernah bergelar ustaz di sebuah sekolah agama.

Namun bagi sesetengah penyanyi, mereka cuba mencari kelainan dalam setiap album terbaru mereka supaya peminat dapat melihat versatiliti seorang penyanyi. Berlainan pula dengan Mawi, setakat ini katanya dia masih selesa dan serasi dengan irama serta konsep yang diperjuangkan.

“Bukan tidak mahu tukar konsep, setakat ini saya sudah mencuba konsep pop dan nasyid. Saya belum pernah terfikir lagi untuk mencuba lagu yang lain daripada konsep ketuhanan,” katanya yang menyangkal undangan persembahan semakin berkurangan.

Katanya, dia masih lagi menerima undangan tetapi kuantitinya tidak sebanyak dulu seperti tiga kali dalam satu hari. Walaupun mengaku popularitinya kian menurun tetapi dia masih lagi menerima undangan syarikat korporat dan sebagainya.

Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kerjaya nyanyian tidak begitu memberangsangkan, Mawi berkata dia kini sedang merangka pelbagai rancangan untuk syarikatnya MW Entertainment. Salah satu daripadanya adalah dengan menerbitkan sendiri program berunsurkan travelogue Langkah Mawi musim kedua yang sebelum ini diterbitkan oleh Astro.

Penggambaran Langkah Mawi bagi musim kedua akan bermula Mei ini, antara lokasi yang bakal dijelajahi ialah Australia, Hong Kong dan juga Itali. Selain itu beberapa lagi perancangan yang sedang dirangkanya adalah untuk menghasilkan drama, telefilem dan Mawi juga akan berjinak-jinak menulis skrip.

Ditanya apakah dia akan mengambil isterinya berlakon di bawah syarikatnya, Mawi berkata setakat ini dia tidak berani berkata apa-apa mengenai perancangan menghasilkan drama kerana semuanya masih lagi dalam perbincangan.

“Dulu fikiran saya kelam kabut dan saya pula masih baru dalam dunia seni. Jadi saya tak nampak apa yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan. Sekarang ini sudah hampir empat tahun saya dalam industri dan sedikit sebanyak sudah tahu selok belok dunia hiburan, barulah nampak apa yang boleh saya lakukan lagi.

“Setakat ini memang MW Entertainment ada macam-macam perancangan tetapi belum boleh didedahkan lagi. Kalau saya terbitkan drama nanti, saya akan cuba ambil pelakon lain, bukan isteri saya. Nanti orang kata kami syok sendiri pula,” katanya menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: