Persembahan hebat Shila apabila berada di pentas mampu membuatkan hati Fauziah Sarman tersentuh
KASIH ibu membawa ke syurga. Gambaran murni itu sudah cukup memberi pengertian besar betapa berkatnya cinta insan itu. Malah 9 Mei lalu, sambutan terhadap si ratu hati kesayangan kita diraikan secara besar-besaran.
Apa juga gelaran yang diberikan sama ada, mak, mama, bonda, ibu, mummy, dia tetap menjadi insan yang memberi impak terbesar di dalam hidup kita.
Menyemarakkan sambutan Sabtu lalu, Hip mengundang penyanyi remaja, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 19, berkongsi sedikit cebisan memori bahagia bersama si ibu tercinta, Fauziah Sarman, 41.
Tak ketinggalan turut serta ialah adik bongsunya, Syada atau Nursyuhada Amir Amzah, 11, yang turut berminat bergelar artis. Peserta Idola Kecil TV9 itu juga tidak kekok memberikan pose di sisi kakak dan ibunya.
Bagi si ibu yang mesra disapa Kak Zie, Hari Ibu bukan sekadar disambut pada bulan ini, namun ia diraikan sepanjang masa tanpa mempunyai had tertentu.
| SHILA bersama ibu Fauziah dan adiknya Syada. |
"Bagi saya apabila anak kita membuat kebaikan atau mencipta kejayaan membanggakan, ia sudah memadai. Malah, saat meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak itu sudah menyeronokkan. Kalau Shila mempamerkan persembahan hebat setiap kali di pentas atau ruang pertunjukan itu sudah mampu membuatkan saya tersentuh hati.
"Paling indah ialah kenangan melahirkan dia dan adik-adiknya yang lain kerana perasaan takjub itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata," katanya yang berkahwin dengan penyanyi dan usahawan berjaya, ND Lala pada usia 21 tahun.
Setia menjadi peneman Shila ke mana-mana, Kak Zie sambil berseloroh memberitahu yang dia tidak mungkin akan menambah bilangan anak lagi dan cukup hanya empat saja anak kesayangan di sisi.
Katanya, dia hanya menanti Shila berkahwin untuk menghadiahkan dirinya beberapa orang cucu. Namun, untuk itu, dia perlu menanti hampir lima kali raya Aidilfitri untuk melihat apa yang diingininya tercapai.
| GAYA Shila selepas 10 tahun berjuang sebagai anak seni. |
"Cukuplah bilangan anak yang ada sekarang ini. Kehadiran mereka sudah berbaloi. Apa yang saya banggakan melihat kesabaran Shila selama ini berbayar. Sudah 10 tahun dia berada di dalam industri sejak di usia kanak-kanak.
"One In A Million musim kedua menjadi nadi lonjakan kerjayanya apabila bergelar naib juara. Malahan, tuah dan rezeki semakin menyebelahinya hingga tak menang tangan dan tak cukup rehat dibuatnya.
"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dengan rahmat-Nya di samping bantuan pengurusan 8Unit dan syarikat Monkey Bone yang terus membuka ruang dan pintu untuknya menyerlahkan bakat yang ada," kata Fauziah yang mempunyai empat orang anak di usia 29 tahun.
Mengenai Syada pula, menurut Kak Zie, pada satu peringkat dia terpaksa berkorban demi kakaknya terutama apabila membabitkan undangan membuat persembahan di luar Kuala Lumpur.
"Syada tak pernah berasa hati dan dia faham dengan situasi yang ada kala kakaknya perlu diberi lebih keutamaan. Selalunya, saya akan menemani Shila ke mana-mana ketika membuat persembahan kerana bapanya mahu Shila sentiasa ditemani.
"Kalau pihak pengurusan atau promoter persembahan hanya menyediakan bajet untuk Shila saja, suami saya sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan saya ikut serta. Lagipun, Shila masih di bawah umur dan di bawah tanggung jawab kami ibu bapanya.
"Syada sudah faham situasi ini dan selalunya jika dia diundang membuat persembahan dalam jarak jauh, dia memang terpaksa menolak kerana ketika itu saya perlu menemani Shila. Lainlah, kalau persembahan berdekatan, ada kalanya bapanya sanggup meminta bantuan pembantu peribadinya mengiringi Syada," katanya lagi.
Sementara itu, bagi Shila, jika tahun lalu dia berkesempatan membawa ibunya ke sebuah restoran popular untuk menjamu selera untuk meraikan Hari Ibu tetapi tahun ini dia terikat dengan komitmen kerja dan tidak dapat meraikannya.
Shila harus memenuhi jadual promosi Hannah Montana School Tour di 15 sekolah di seluruh Malaysia. Kata Shila, sebolehnya dia tidak gemar merancang sesuatu kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi.
"Shila pun selalu dengan mak dan itu sudah menjadi bukti betapa erat hubungan kami. Kami juga selalu melakukan aktiviti membeli belah bersama. Biasalah itu antara rutin kegemaran golongan macam kami ini.
"Tak dinafikan soal material atau memberi hadiah berbentuk fizikal, mak memang sangat cerewet kerana cita rasanya memang tinggi. Shila pun sama macam bapa, hanya memberi wang dan selebihnya dia sendiri yang menentukan apa yang ingin dibeli," kata Shila yang pernah memenangi Anugerah Emas dalam nyanyian Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) April tahun lalu.
Kali ini, Shila sempat membelikan sebuah kad ucapan Hari Ibu bersaiz gergasi dengan sekuntum mawar merah sebagai tanda kasih kepada emaknya. Paling menyentuh perasaan, kad itu mempunyai coretan bermakna Shila, Syada dan dua orang adiknya lagi iaitu Amir Shafiq, 17, dan Amir Syahir, 14.
Tambah Shila lagi, selain bapa, ibunya yang menjadi pembakar semangat kepadanya dalam meneruskan perjuangan sebagai anak seni. Bagi Shila dan adik-adiknya, ibu bukan sekadar ibu saja, tetapi juga tempat untuk bermanja, mengadu masalah dan mendapatkan nasihat.
Benarlah syurga itu di telapak kaki ibu. Tiada hadiah yang dapat membalas jasa dan pengorbanan ibu, tetapi melakukan sesuatu sebagai tanda ingatan dan menyayangi mereka sudah cukup menggembirakan hati ibu.
INFO: Shila Hamzah
(Wanita) menerusi lagu Memori Tercipta pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) yang berlangsung baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: