|
| KEBELAKANGAN ini peminat sering menyaksikan penampilan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bersama dua lagi adik-beradiknya, Siti (Saida) Nursaida dan Siti (Saerah) Nursairah. |
Kali pertama mereka bertiga dilihat tampil menyanyi sewaktu menjayakan rancangan Teratak Siri Nurhaliza yang disiarkan Aidilfitri lalu. Kemudian Saida dan Saerah hadir menyaksikan Siti menjadi tetamu rancangan Jangan Tidur Lagi yang diacarakan Adlin Aman Ramli.
Sebagai saudara paling rapat kedua-duanya sempat memberikan komen mengenai penyanyi yang baru pulang daripada menunaikan umrah di Makkah itu.
Terbaru, sewaktu konsert sempena Karnival Jom Heboh di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, 27 April lalu Siti sekali lagi tampil menyanyi bersama kakak dan adiknya.
Penampilan itu membuatkan ada pihak (media dan peminat) beranggapan Siti terpaksa menggunakan pengaruhnya bagi mengetengahkan bakat dimiliki Saida dan Saerah.
Tidak kurang ada juga yang membuat andaian kemungkinan mereka mahu dikenali sebagai 'trio', kerana mahu menghasilkan album khas.
Ketika ditemui di belakang pentas, Siti tidak menafikan perkara itu dan berkata memang syarikat rakamannya Siti Nurhaliza Production (SNP) ada bercadang untuk menghasilkan album khas, tetapi bukan menampilkan duet antara mereka bertiga semata-mata.
"Pembabitan saya mungkin dalam satu atau dua lagu menyanyi bersama Saida dan Saerah, selebihnya mereka akan menyanyi berdua dan solo. Pada saya apa salahnya jika saya bersama-sama mereka menjayakan album khas itu.
"Lagipun kalau ada orang hendak kata, Saida dan Saerah menumpang populariti saya semata-mata tidak benar kerana sejak menyertai Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Saida sudah mempunyai peminat sendiri sementara Saerah pula sudah mempunyai single Main Wayang dan ia turut diminati apabila disiarkan di radio.
"Persembahan malam ini permintaan daripada pihak TV3 sendiri dan kami berbesar hati mahu menjayakannya sambil dapat menghiburkan orang di Perak," katanya.
Sementara itu Saerah sendiri menjelaskan, peluang untuk menyanyi bertiga bersama kakaknya di konsert besar seperti Karnival Jom Heboh, adalah impiannya yang sudah menjadi kenyataan.
"Pada saya orang tidak sepatutnya mempertikaikan mengenai usaha dilakukan kami. Apa salahnya sekiranya Siti menyanyi bersama saya dan Saida.
"Rasanya bekerja dengan adik-beradik lebih menyeronokkan dan peminat sendiri dapat melihat bagaimana gandingan kami di atas pentas.
"Saya juga tidak rasa ada penonton yang mahu membanding-bandingkan antara kami kerana Siti, Saida dan saya sendiri masing-masing mempunyai kelebihan," katanya.
Pada malam konsert, mereka mempersembahkan lagu Pada Cintanya bertiga dan kemudian diteruskan dengan persembahan solo Siti, Cinta Ini dan Di Taman Teman. Sementara Saerah dan Saida berduet menyanyikan lagu Buaya Darat.
Menarik apabila Konsert sempena Karnival Jom Heboh itu menampilkan corak persembahan berbeza apabila buat pertama kalinya Misha Omar digandingkan bersama kumpulan Jinbara menyanyikan lagu Mendung Tidak Bererti Hujan.
Sebelum itu pemenang empat kategori di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) itu turut mendendangkan lagu popularnya Cinta Adam dan Hawa dan Sampai Di Sini.
Sementara Aizat pula digandingkan bersama kumpulan Meet Uncle Hussein menyanyikan lagu Pari-Pari Di Bawah Angin dan Untukmu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: