|
KUMPULAN nasyid yang menggelarkan diri mereka Inteam ternyata memang intim. Walaupun lebih setahun menyepi dan anggotanya membawa haluan sendiri, kini mereka kembali dengan Allahu Rabbi yang diterbitkan Inteam Records Sdn Bhd. |
Lebih istimewa, Allahu Rabbi menggabungkan semula bekas ahli Inteam yang lama, Hisyam Ahmad dan Suhaimi Saad untuk kembali ke pangkuan teman-teman, Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid dan Abdul Rahim Osman menjayakan album ini.
Bagi Hisyam dan Suhaimi, kehadiran album ini dilihat sebagai satu peluang untuk mereka mengubat rindu peminat Inteam yang sudah lama mengharapkan mereka kembali ke pangkuan kumpulan itu. Suhaimi menyumbangkan suara untuk lima lagu manakala Hisyam empat lagu.
Namun, kerjasama mereka hanya untuk album ini kerana masing-masing mempunyai komitmen lain. Pada masa ini, Inteam yang mula menambat hati peminat nasyid menerusi lagu Impian Kasih, Kasih Kekasih dan Rabiatul Adawiah, hanya tinggal bertiga kerana Suhaimi bergerak solo manakala Hisyam bekerja di tempat lain.
Mengulas kerjasama terjalin antara mereka, Mohd Syahril berkata, kemunculan album ini membuktikan persengketaan yang kononnya berlaku di dalam kumpulan ini sama sekali tidak berasas.
"Sebelum ini, ramai beranggapan di antara kami terdapat persengketaan yang tidak dapat diuraikan. Namun album ini adalah bukti kami masih bersahabat baik dan boleh bekerjasama antara satu sama lain.
"Salah faham dalam kumpulan memang berlaku dan itu adalah resam kehidupan, tetapi kami melihatnya dari sudut positif," katanya.
Album Allahu Rabbi bukan saja membawa banyak pengertian kepada mereka malah ia hadiah istimewa untuk peminat yang selama ini mengharapkan nostalgia kegemilangan Inteam kembali mewarnai industri muzik nasyid.
Ia sepatutnya dapat disiapkan awal, tetapi disebabkan sesuatu hal yang tidak dapat dielakkan, ia hanya dapat disiapkan awal tahun dan baru saja menjengah pasaran.
Kata Hazamin, mereka mengambil masa untuk mengeluarkan album ini kerana ingin menampilkan kelainan ebrbanding album sebelumnya selain memastikan lagu kali ini lebih berkualiti.
"Album ini kami banyakkan lagu-lagu berteraskan ketuhanan dan ia cukup unik apabila kami ketengahkan melodi pelbagai bersesuaian peredaran muzik semasa.
"Allahu Rabbi dipilih sebagai tajuk album kerana ia lagu pertama pada album ini dan mempunyai beberapa ciri yang cukup istimewa. Lagu ini berkisar ketauhidan kepada Allah dan dinyanyikan dalam tiga bahasa iaitu Urdu, Inggeris dan Melayu.
"Selain itu, kami turut berduet dengan Asri Rabbani melalui lagu Kasih Sayang dari album pertama Rabbani. Dengan kelainan yang ditampilkan dalam album ini, kami berharap peminat menyukai lagu-lagu yang dipilih," katanya.
Hazamin mengakui konsep yang dibawa kali ini lebih kepada muzik global dan memuatkan 10 lagu, Allahu Rabbi, Hamzah Asadullah, Dia Muhammad, Kemuliaan Al-Quran, Asma' Allah, Kasih Sayang, Kepastian dan Hanya Takdir.
Bagi memastikan album ini mendapat sambutan, mereka turun padang memperkenalkan album ini serta menggunakan teknologi Internet untuk promosi.
"Kami akan membuat persembahan sama ada di sekolah, institut pengajian tinggi, pusat membeli-belah dan sebagainya untuk mempromosikan album ini. Terbaru, kami ke KL Sentral dan sambutannya sangat memberangsangkan apabila hampir 100 unit dijual.
"Kami juga mempunyai gerai (booth) sendiri undi ketika satu pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 hingga 26 April lalu.
"Peminat juga boleh mendapatkan album kami melalui pembelian secara internet di laman web kami, www.inteam.com.my.," kata Hazamin.
Sementara itu, Inteam Records kian berkembang maju apabila mendapat kelulusan menerbitkan semula bacaan ayat-ayat Al-Quran Qori terkenal Mesir dan menjadi satu-satunya syarikat di Malaysia mendapat keistimewaan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: