| BUAT julung kalinya lebih 7,000 pengunjung membanjiri tempat letak kereta AEON Jaya Jusco, Bukit Tinggi, Klang bagi menyaksikan Konsert Hot FM Mini Jam, baru-baru ini. |
Seramai tujuh artis dan selebriti radio Hot FM tampil menghiburkan penonton pelbagai lapisan masyarakat. Disamping konsert utama, pelbagai acara dan aktiviti dijalankan seawal jam 10 pagi. Program yang dianjurkan stesen radio yang terkenal dengan tagline, Lebih Hangat Daripada Biasa itu dengan kerjasama TM Streamyx buat tahun ketiga menampilkan barisan artis popular tahan air.
Ia juga kesinambungan daripada Konsert Hot FM Big Jam yang berlangsung di Johor Bahru Mac lalu. Di samping persembahan artis, pengunjung juga dapat menyaksikan celoteh penyampai radio Hot FM antaranya Leya, Faizal Ismail, Kieran, AG dan Tini.
Biarpun keadaan cuaca terik sepanjang hari, namun pengunjung tidak berganjak dari lokasi karnival. Tepat jam 4 petang, pentas utama Hot FM Mini Jam digegarkan dengan persembahan pembukaan oleh pancaragam KLG serta Floor Fever. Diikuti penampilan The Fabulous Cats yang menyampaikan lagu Bawaku Terbang dan Papa Jahat.
Nubhan mengambil alih pentas dengan single terbaru, Seadanya Aku. Dayang Nurfaizah kembali dengan single terbaru, Luka selain mengajak pengunjung berdansa bersama menerusi lagu Survivor.
Terus memanaskan pentas petang itu adalah kumpulan, Sixth Sense dengan tiga lagu hits mereka iaitu Tanpa, Tak Bisa Memilihmu dan Cinta yang Sempurna. Penyanyi yang semakin meningkat naik, Alyah turut menyampaikan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang juga turut menghiburkan pengunjung.
Kumpulan rock, Jinbara terus menyemarakkan suasana petang itu dengan persembahan memukau menerusi lagu Farhana, Patri dan Kasihnya Laila.
Bunkface, band muda yang berasal dari Klang, membuatkan pengunjung kawasan letak kereta itu seolah-olah histeria apabila mereka muncul di atas pentas bagi menutup tirai Hot FM Mini Jam 2009. Situasi, Silly Lily dan Revolusi menjadi halwa yang disajikan mereka kepada yang hadir khusus peminat mereka.
Terdahulu, siaran langsung Hot FM Korner turut diadakan dari tapak konsert dengan diterajui penyampai stesen itu. Siaran berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
Pengurus Program Hot FM, Anida Mohd Tahrim berkata pihaknya berbangga melihat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pendengar dan penduduk di sekitar Klang. Malah besar kemungkinan program berkenaan akan diadakan di lokasi sama pada masa akan datang.
| |
"Kami bersyukur kerana segala perancangan yang dilaksanakan berjalan lancar. Dengan sambutan pengunjung yang cukup hebat walaupun ketika cuaca tidak menentu. Ini kali pertama konsert diadakan di Klang. Malah kami sendiri tidak menyangka mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
| |
"Konsert ini akan dijalankan pada setiap bulan membabitkan lokasi berbeza. Kami juga cuba memikirkan perubahan menerusi setiap konsert dengan menampilkan konsep yang berbeza untuk setiap lokasi," katanya.
Program sama dijangka berlangsung di Kuantan, Pahang pada Oktober diikuti di Kedah pada November ini.
Selain itu beberapa acara dirancang dalam usaha stesen radio itu menghargai sokongan pendengar. Pelbagai aktiviti turut dijalankan dari masa ke semasa. Jika tiada aral pihaknya juga dijangka mengadakan Karnival Futsal membabitkan penyampai dan peminat bertuah stesen radio itu di sekitar Sabah dan Sarawak pada Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: