Monday, May 11, 2009

Kereta terbang dirempuh trak


TRAK tentera yang terbabas merempuh kereta Perodua Myvi dan kedai runcit di simpang empat Gunung, Bachok semalam.


BACHOK - Terkejut tengok kereta terbang.

Itulah perasaan seorang guru apabila melihat kereta miliknya seakan-akan 'terbang' selepas dirempuh sebuah trak tentera di simpang empat Gunung dekat sini semalam.

Tee Bee Yong, 29, berkata, dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, trak yang hilang kawalan itu juga merempuh sebuah kedai runcit di situ.

Akibat kejadian itu kereta Perodua Myvi miliknya remuk teruk manakala sebahagian kedai runcit itu pula ranap.

Malah sebuah motosikal milik seorang pelanggan di kedai runcit tersebut turut rosak.

Cerita Bee Yong yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, dekat Pasir Puteh berkata, ketika kejadian dia sedang makan nasi di dalam kedai milik ibunya, Chujah Pit Som, 57.

Sejurus selepas itu, dia terkejut dengan bunyi dentuman kuat di luar kedai, menyebabkan dia bersama ibunya keluar melihat apa yang berlaku.

"Di luar kedai saya mendapati kereta saya macam terbang dalam keadaan mengiring selepas dilanggar trak tentera. Mujur tiada kehilangan nyawa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Dalam pada itu, pemilik kedai runcit yang dilanggar oleh trak tersebut, Lua Ah Beng, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang mengambil barang untuk pelanggannya sebelum mendengar dentuman kuat.

Dia kemudian berlari keluar dan mendapati kedainya hampir ranap akibat dilanggar sebuah trak tentera yang dinaiki tiga anggota.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: