Monday, May 11, 2009

Ibu tunggal maut ditimpa pokok kekabu


pokok kekabu yang tumbang dan meragut nyawa Asmayuzam dalam kejadian di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut kelmarin.



ASMAYUZAM


BESUT - Seorang ibu tunggal maut selepas tersilap langkah semasa cuba mengelak dihempap sebatang pokok kekabu yang tumbang di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut di sini kelmarin.

Ketika kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa Tengku Asmayuzam Tuan Daud, 36, berlari ke satu arah untuk menyelamatkan diri tanpa menyedari pokok itu tumbang ke arah sama.

Dahan pokok itu terkena bahagian tengkuk Asmayuzam mengakibatkan dia cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Besut semasa mendapatkan rawatan.

Kakak mangsa, Tuan Kamariah, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang menyapu sampah di kawasan rumahnya manakala adiknya berada berhampirannya.

Dia berkata, sampah yang dikumpul kemudian dibakar di bahagian pangkal pokok kekabu yang sudah mati tidak jauh dari rumahnya.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi pokok itu patah dan mahu tumbang. Saya bergegas menyelamatkan diri kerana takut dihempap pokok.

"Adik saya juga cuba lari, malangnya selepas beberapa langkah, pokok itu tumbang betul-betul ke arahnya dan salah satu dahan terkena bahagian tengkuk adik saya," ceritanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Akibat hentakan kuat, gigi mangsa tercabut dan ditemui di atas tanah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: