
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan kesemua empat kes yang diterima melalui Bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) kelmarin bebas daripada serangan influenza A (H1N1).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataan memberitahu, CPRC telah menerima empat pemberitahuan kes yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh bagi tujuan siasatan dan pemerhatian kelmarin.
"Kesemua empat kes telah disahkan negatif terhadap influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan. Sehingga kini, tiada kes influenza A (H1N1) dikesan di negara kita," katanya.
Beliau memberitahu, sehingga pukul 2 petang kelmarin sebanyak 29 negara telah melaporkan secara rasmi kes influenza A (H1N1).
Ia melibatkan penambahan empat buah negara baru iaitu Argentina (1 kes), Australia (1 kes), Jepun (3 kes) dan Panama (2 kes).
"Jumlah kematian adalah 48 orang, meningkat sebanyak dua kematian iaitu masing-masing satu dari Kanada dan Mexico berbanding 46 kematian dalam laporan sebelum ini," jelasnya.
Sementara itu, di Melaka, tujuh lagi pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini dimasukkan ke wad pengasingan di Blok C3 Hospital Melaka akibat jangkitan bakteria meningitis.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, enam daripada mereka dimasukkan ke wad berkenaan kelmarin manakala seorang lagi petang semalam menjadikan jumlah keseluruhannya 18 orang ditempatkan di situ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: