|
|
Pertandingan Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera bertambah hangat kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi 12 finalis untuk membuat persediaan akhir.
Yang pasti kesemua mereka bukan sahaja akan diuji dari segi kemampuan berkomunikasi dan menjawab soalan sebaliknya pemarkahan juga melibatkan personaliti.
Ini kerana pemenang yang bertuah turut berpeluang menjadi penghias papan iklan produk keluaran Jamu Mak Dara yang merupakan penaja utama acara berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. Syed Muhammad Gadafi Syed Ali, pemenang pertandingan akan mengikat kontrak sebagai model produk keluaran syarikatnya.
"Kami mahu lebih ramai bakat-bakat baru dapat dilahirkan menerusi ruangan Kacak Bergaya yang mana Pancaindera menjadi platformnya," katanya pada majlis minum petang dan sesi ramah mesra peserta dan penaja di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur pada 28 April lalu.
Sebagai penaja utama, Jamu Mak Dara turut menyumbangkan wang tunai kepada pemenang iaitu sebanyak RM3,000 (tempat pertama), RM2,000 (kedua), RM1,000 (ketiga).
Sembilan pemenang saguhati pula akan menerima wang tunai RM200 seorang.
Sementara itu AirAsia.Com yang merupakan penaja bersama program tersebut turut menyokong usaha mencungkil bakat-bakat baru melalui ruangan Kacak Bergaya Pancaindera.
Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Edd Razhe menjelaskan, Mingguan Malaysia adalah akhbar pertama yang diberi penajaan tiket penerbangan bagi acara sedemikian.
Kata Edd, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk menyokong industri hiburan tempatan.
"Bagi pihak AirAsia, kami melihat bidang hiburan juga boleh dijadikan bisnes dalam meningkatkan keupayaan syarikat dan tentu sekali pihak kami menyokong usaha seperti ini," katanya.
AirAsia menyediakan empat tiket penerbangan untuk pemenang melibatkan destinasi seperti Perth, Australia bagi pemenang pertama, Bangkok (kedua), Phuket (ketiga) dan hadiah pilihan juri iaitu Anugerah Khas Virgo yang merupakan tiket ke Jakarta.
Kesemua tiket berkenaan adalah untuk seorang pergi dan balik bernilai RM10,000.
Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain pula berkata, pertandingan ini dapat memberi peluang kepada bakat baru untuk berjaya dalam dunia yang mereka minati.
Ini juga sebagai salah satu sumbangan sisipan Pancaindera dalam Mingguan Malaysia memperkenalkan wajah baru lelaki ke dunia seni.
Menurutnya, sebagai satu wadah berteraskan hiburan, Pancaindera juga ingin memainkan peranan untuk menambahkan lagi seri induatri hiburan dengan memperkenalkan bakat-bakat baru. Kacak Bergaya sebenarnya sudah melahirkan banyak nama besar dalam industri ini sejak diperkenalkan pada tahun 1996.
"Kami hanya membuka jalan untuk dilalui dan anda harus ingat bahawa setiap titik dan selekoh dalam bidang seni adalah pengalaman dan ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk menambah nilai kepada kerjaya seni," tegasnya.
Antara nama-nama tersebut ialah model Norazlan Nordin, Fahmy, Jeffrey Chen, Ahmad Yani dan Mazin Ameen Shiraj manakala pelakon pula terdiri daripada Iqram Dinzly, Fizo Omar, Faizal Yusop, Danny (X-Factor), Zul Huzaimy dan deejay radio Suria FM, Tuah Zulkarnain.
Sementara itu model Aleeza Kasim yang juga pemilik Vouge At Work akan menyumbangkan kemahirannya mengajar 12 peserta mengikuti latihan peragaan dan grooming.
Ia bagi membolehkan para peserta menjadi lebih yakin sebelum melangkah pada acara final itu nanti memandangkan tidak semua mereka mempunyai asas menjadi seorang model.
"Pengalaman saya sebagai seorang model akan saya curahkan kepada 12 peserta. Saya mahu mereka menjadi bintang yang terbaik," katanya.
Dua belas finalis yang layak ialah Mohd. Termizi Roslan, Wan Mohd Amin Derahman, Mohd. Khairi Mansor, Mohammad Nadzree Kusairi Shariff dan Nur Iz Hirzi Izhar.
Turut layak Mohd. Halim Mohd. Shah, Syed Khairul Syed Abdullah, Mazlan Mokhtar, Hairul Azreen Idris, Mohd. Nazmi Che Nordin, Megat Muhammad Hafifi Megat Mohd. Yusof dan Mohd. Norhalis Shafiq Shamsuri.
Acara berkenaan turut mendapat tajaan dari Gedung Al-Habshee, Dzull D'classique, Hing Yiap Group, E-Go Hair & Beauty Saloon dan D'Kasih Butik.
Tiket masih dijual
Untuk menyaksikan acara ini, pihak penganjur menyediakan kira-kira 100 tempat duduk sambil menikmati minum petang di Saloma Bistro.
Bayaran sebanyak RM40 seorang dikenakan. Selain melihat bakat 12 finalis, tetamu turut dihiburkan dengan keletah Linda Onn sebagai pengacara di samping artis yang akan membuat persembahan iaitu Bob (AF), Noryn Aziz, finalis MY Starz LG, Wanna dan Nashrin.
Juri yang akan mengadili acara ini pula ialah personaliti TV3 iaitu Nurul Syuhada, Presiden Persatuan Pereka Bumiputera, Mahani Awang, pereka fesyen Radzuan Radzwill, Edd Razhe dan pelakon Nanu Baharuddin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: