|
|
NAMANYA menjadi sebutan dalam industri seni tanah air disebabkan bakat besarnya. Dia juga berjaya mengalihkan pendengaran masyarakat masa kini yang begitu mengagungkan karya dari Indonesia kepada menghargai pemuzik tempatan.
Pemilik nama Muhammad Aizat Amdan atau lebih mesra dengan panggilan Aizat ini dilihat berjaya mengangkat karya muzik yang dijiwai sejak kecil lagi dan apa yang boleh dibanggakan, usahanya berhasil.
Anak muda ini mengatur langkah awal semasa menuntut di Akademi Fantasia musim kelima dan kurang setahun keluar dari program realiti popular itu, Aizat melakar sejarah peribadi apabila muziknya diterima masyarakat.
Satu demi satu lagunya seperti Hanya Kau Yang Mampu, Lagu Kita dan Fikirlah meniti di setiap bibir peminat dan umpama seorang ahli silap mata, Aizat berjaya memukau mereka dengan kebolehan yang ada.
Lebih membanggakan jejaka berusia 20 tahun ini apabila dipilih untuk mewakili Malaysia menyertai pertandingan International Pop Music Festival Discovery 2009 yang ke-18 yang berlangsung pada 8 Mei hingga 10 Mei ini di Varna, Bulgaria.
Pertandingan itu pernah menyaksikan rakan seperjuangannya yang juga juara AF5, Mila menggondol dua anugerah tahun lalu.
Bagi Aizat, ini merupakan satu penghormatan buat bintang baru seperti dirinya dan menjanjikan sesuatu kejayaan pada pertandingan yang turut mengumpulkan penyanyi dan komposer berbakat dari 40 negara di seluruh dunia.
Pada pertandingan itu, Aizat mempertaruhkan dua buah lagu iaitu Lagu Kita untuk kategori Lagu Terbaik dan Hanya Kau Yang Mampu bagi kategori Persembahan Terbaik.
“Aizat akan membuat sesuatu yang lain dalam setiap persembahan dan mahu menonjolkan diri Aizat yang sebenar.
“Maksudnya, apa yang orang lihat di sini, begitulah yang akan Aizat persembahkan di sana. Diharapkan dengan persembahan jujur itu dapat menambat hati juri terbabit,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini.
Pelajar International College of Music (ICOM) ini juga begitu yakin untuk mendapatkan ‘markah lebih’ memandangkan dia bakal membawakan lagu ciptaannya sendiri berbanding daripada komposer lain.
Malah tegasnya, dia tidak akan melakukan sebarang susunan muzik yang baru untuk kedua-dua lagu yang dipertandingkan.
Aizat yang tidak menyangka akan menyertai pertandingan itu juga memberitahu, dia turut membuat sedikit kajian tentang kemampuan setiap peserta yang bertanding.
“Walaupun ada orang kata, pertandingan itu tidak relevan lagi untuk memasuki pasaran antarabangsa tetapi bagi Aizat, ini adalah satu pengalaman berharga.
“Mesti ada latihan yang bersungguh-sungguh walaupun lagu yang dipertandingkan itu sering Aizat nyanyikan,” katanya yang menjelaskan bahawa setiap lagu perlu berkarisma dan sedap tidak kira bahasa apa dinyanyikan.
Jejaka itu turut akan mempromosikan negara dengan mengagihkan kira-kira 30 baju batik sumbangan Kraftangan Malaysia ketika membuat persembahan di sana.
Aizat juga merancang untuk membawa cakera padat rakan-rakan artis seperjuangan yang lain misalnya seperti Meet Uncle Hussain bagi memperkenalkan muzik tanah air kepada mereka.
Dalam pada itu, Aizat turut menyangkal beberapa pendapat yang mengatakan dirinya ‘kekwat’ (berlagak) selepas berjaya menguruskan badan dan meraih kejayaan.
Katanya, “Kejayaan sekarang hanya meningkat 1.2 peratus sahaja. Tiada apa yang istimewa dan boleh dibanggakan. “Kesimpulannya, apa yang Aizat peroleh sekarang adalah permulaan buat kerjaya seni.”
Aizat juga menafikan dia tidak melayan peminat seperti yang digembar gemburkan. Ini kerana, kata Aizat ada peminat yang mengekorinya sehingga ke tandas dan ingin merakam semua tindak tanduknya.
Perkara seperti itu bukan sahaja memalukan malah dia bimbang ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas rakaman video yang boleh menjejaskan karier seninya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: