Wednesday, May 13, 2009

Jawab, jangan tak jawab! Gosip cinta jejas imej Kamal


KAMAL akui hubungannya dengan Intan tidak lebih daripada kawan biasa.

Hubungan dengan kekasih dingin gara-gara dakwaan rapat dengan Intan Ladyana

KEAKRABAN yang terjalin antara bekas juara pertandingan pencarian Lelaki Maskulin 2008, Kamal Adli dan pelakon yang semakin meningkat naik Intan Ladyana nyata sudah disalah anggap. Berpunca dari lakonan bersama mereka dalam sebuah drama berjudul Bio-Nik terbitan KRU Studios, akhirnya dua pelakon tadi dikatakan sebagai pasangan yang sedang enak memadu cinta.

Lebih mengejutkan apabila Kamal dikatakan menjadi punca keretakan hubungan Intan dengan bekas kekasihnya Kevin Zahri. Sebagai tuan punya badan yang dituduh, pastinya dakwaan itu sedikit sebanyak mengguris perasaan Kamal. Bukan saja imejnya sudah tercalar tetapi disebabkan tuduhan itu, hubungannya dengan seorang gadis yang dikenalinya sejak empat tahun lalu kini mulai goyah.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama aksi Bio-Nik yang mengetengahkannya sebagai pelakon utama petang kelmarin, Kamal tanpa berselindung menjelaskan dia begitu kecewa apabila ramai yang mengatakan dia dan Intan adalah pasangan kekasih walhal hakikat tidak benar sama sekali.

Menurut Kamal, antara dia dan Intan hanyalah kawan biasa serta tidak lebih daripada itu. Dengan wajah agak sugul, Kamal mengharapkan semoga semua gosip yang tersebar haruslah dihentikan kerana dia tidak mahu cerita seperti itu terus-terusan melukakan hati kekasih yang amat disayanginya itu.

Hip: Sejauh mana kebenaran cerita yang mengatakan antara Kamal dan Intan sebenarnya sedang bercinta?



Kamal: Itulah yang menghairankan saya kerana secara tiba-tiba cerita seperti ini tiba-tiba tersebar. Saya dan Intan tidak pernah bercinta. Tapi saya mengakui hubungan kami memang rapat. Bayangkan kami terbabit dalam penggambaran filem ini selama empat bulan dan dalam tempoh itu, saya berjumpa dengan orang yang sama di lokasi. Bukan dengan Intan saja tetapi saya juga rapat dengan semua orang. Jadi apabila saya terbaca di artikel yang mengaitkan saya dengan Intan memang saya terkejut. Saya tahu cerita ini tersebar oleh mulut orang yang tidak bertanggungjawab.

Hip: Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan Kamal menjadi punca keretakan hubungan Intan dan Kevin?

Kamal:
Cerita itu juga mengejutkan saya kerana sepanjang pengetahuan saya, tak pernah pula kami berbincang hal peribadi apabila berjumpa. Saya pun tak suka nak ambil tahu hal peribadinya. Jadi mana mungkin orang boleh meletakkan kesalahan itu kepada saya.

Hip: Bila cerita itu timbul, Kamal tak berbincang hal itu dengan Intan?

Kamal: Macam mana hendak bincang, sejak penggambaran drama itu tamat bulan Februari lalu, saya memang tak pernah jumpa dengan dia. Lagipun saya malas hendak besarkan perkara ini sebab saya tahu benda itu tidak benar. Biasalah, kehidupan artis memang sering terdedah dengan gosip. Cuma saya rasa terkilan apabila disebabkan mulut orang yang menyebarkan fitnah itu, hubungan saya dengan teman wanita yang terjalin selama empat tahun menjadi berantakan. Terus terang, situasi antara kami sekarang tidak begitu baik disebabkan gosip itu. Kami sedang bermasalah sekarang. Tak tahulah nak buat macam mana.

Hip: Kamal tak terangkan situasi yang berlaku?

Kamal:
Saya sudah terangkan tapi nampaknya keadaan masih seperti itu juga. Hubungan kami jadi dingin. Saya masih menghubungi dia menerusi telefon cuma keadaan tidak semesra dulu lagi. Kadang-kadang saya terfikir juga mungkin disebabkan saya menyertai bidang ini, maka saya terpaksa berdepan dengan hal seperti ini. Mungkin ada kebenarannya kerana sejak kebelakangan ini, ada saja suara-suara sumbang yang akan menghubungi kekasih saya dan membuat cerita yang bukan-bukan pasal saya. Akibatnya kekasih saya itu sering mencurigai saya. Benda-benda seperti inilah yang membuatkan saya rasa tertekan. Tapi saya tak salahkan mana-mana pihak kerana saya tahu itulah harga yang perlu saya bayar sebagai seorang artis.

Hip: Jadi sekarang bagaimana hubungan Kamal dengan kekasih Kamal itu?

Kamal:
Saya masih sayangkan dia seperti dulu. Empat tahun saya kenal dia takkanlah saya nak biarkan hubungan ini berakhir begitu saja. Cuma saya tak tahu nak buat macam mana. Saya tak mahu seksa hidup dia apabila keadaan seperti ini berlanjutan. Saya harap akan menemui jalan penyelesaiannya tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: