![]() Faralyna Idris |
SEBAGAI seorang gadis yang sangat sukakan kanak-kanak, bakat baru dalam lakonan, Faralyna Idris menyimpan impian untuk membuka taman didikan kanak-kanak atau tadika apabila tamat pengajiannya nanti.
Sebelum mampu berbuat demikian, wanita muda berusia 18 tahun ini terlebih dulu harus menamatkan pengajian yang ditunda seketika, berikutan pembabitannya dalam siri Kisah Kaisara 3.
"Sepatutnya, Julai nanti saya sudah memulakan pengajian di sebuah kolej di Selangor. Mengikut perancangan, saya ingin mengikuti program Pendidikan Awal Kanak-kanak. Bagaimanapun, apabila siri Kisah Kaisara 3 terpaksa ditunda penggambarannya, saya mengambil keputusan untuk turut menunda pengajian.
"Bagaimanapun, keluarga saya yang sememangnya mempunyai kecenderungan dalam perniagaan, mungkin meminta saya mengambil kursus pengurusan perniagaan. Mereka memang menggalakkan saya menceburkan diri dalam bidang itu. Jadi, saya kena tengoklah dulu apabila masanya sampai nanti," ujar Faralyna yang baru saja menamatkan penggambaran telefilem berjudul Siti Tivi.
Menurut gadis berasal dari Perak ini, memang menjadi cita-citanya untuk membuka pusat didikan kanak-kanak. Namun, pengajian yang diminatinya itu bukan bermakna dia hanya mampu menceburkan diri dalam bidang berkenaan semata-mata. Malah, dia juga berpeluang menjadi pakar psikologi kanak-kanak, penulis serta banyak lagi bidang yang membabitkan pembangunan minda golongan kecil terbabit.
"Membuka tadika pun satu perniagaan juga kan? Tetapi, saya sebenarnya tidak kisah sekiranya keluarga tetap mahu melihat saya membuka perniagaan sendiri satu hari nanti. Tentunya saya akan mengikut cadangan mereka sekiranya ia benar-benar sesuai dan jelas memberikan kebaikan kepada saya," katanya.
Kata Faralyna, sebagai anak, dia juga perlulah bertolak ansur terutama kepada bapanya yang mengizinkan dia untuk terbabit dalam lakonan dan peragaan, walaupun pada dasarnya lelaki itu tidak berapa setuju dengan minat anak perempuannya.
"Papa tidak berapa berkenan apabila saya menunjukkan minat untuk berlakon. Pada masa yang sama, dia juga tidak menghalang. Jadi, saya haruslah bertolak ansur dan mendengar nasihatnya juga apabila tiba ke bab masa depan," katanya.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik ini mengaku, pada awalnya dia bukanlah beriya-iya untuk muncul sebagai pelakon. Pembabitan awalnya adalah dalam dunia pengiklanan apabila Faralyna mula beraksi di depan kamera sejak berusia 15 tahun.
Atas galakan ibu pelakon Diana Danielle, Norsiah Ramli, yang sering memaklumkan kepadanya apabila ada saja uji bakat atau pemilihan pelakon diadakan, maka Faralyna melangkah ke sesi uji bakat Kisah Kaisara untuk tidak mengecewakan wanita berkenaan. Sejak itu, semuanya menjadi sejarah.
Selepas muncul dalam Kisah Kaisara II bersama Sari Yanti, Wan Sharmila dan Elliza AF, dia membintangi pula Sofea Zara. Selepas itu, gadis manis ini disambar pula KRU Studios untuk menjayakan siri Bionik musim kedua bersama-sama Kamal Adli dan Fizo Omar. Baru-baru ini, Faralyna diberikan peranan utama dalam telefilem Siti Tivi, arahan pengarah yang beberapa kali memenangi anugerah dari Singapura, M Nazrin Khairunan.
Telefilem terbitan dan tulisan Nizam Zakaria (Anak Aku Artis, Ponti Anak Remaja) itu bakal menemui penonton sempena sambutan Hari Ibu di saluran Astro Ria, jam 10 malam, 22 Mei ini. Selain dirinya, turut membintangi telefilem terbabit ialah Dian P Ramlee, Kuswadinata, Heryanto, Tam, Ashmie dan Hairul Azreen.
Siti Tivi, katanya, sebuah cerita sindiran kepada dunia hiburan atau lebih tepat, dunia perfileman negara ini. Ia berkisar kepada watak Zizi, bekas pelakon wanita yang berhenti berlakon selepas berkahwin dan bergelar produser. Dikenali sebagai Ratu Pakej, dia memastikan produknya dihasilkan dengan berjimat-cermat. Justeru, dia menggunakan khidmat anak sendiri sebagai pelakon dan penulis skrip.
"Sebagai seorang anak pula, Siti lakonan saya, mengikut saja kata ibunya (Dian P Ramlee) walaupun dia sebenarnya hanya berminat dalam penulisan skrip," cerita Faralyna.
Katanya lagi, dia cukup seronok terbabit dalam projek berkenaan berikutan suasana kekeluargaan yang dirasakan, serta cara bekerja yang bagus ditunjukkan semua pihak.
"Bekerja dengan Abang Nazrin amat menyeronokkan. Walaupun bergelar pengarah, dia tidak pernah memaksa apabila pelakonnya belum bersedia. Dia sentiasa mewujudkan suasana yang tenang, sebelum sesuatu babak dirakam. Dengan sendiri, pelakon tidak akan berasa tertekan di lokasi," kata pelakon ini yang mengaku akan terus berlakon, walaupun sesudah mempunyai karier lebih stabil suatu masa nanti.
INFO: Faralyna Idris
Tarikh Lahir: 5 Januari 1991
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia dari Sekolah Sri Inai Kuala Lumpur
Profesion: Pelakon, Peragawati
Siri/Telefilem: Kisah Kaisara 2, Sofea Zara, Bionik, Siti Tivi
Iklan: CIMB, Carina, Nestle
Pelakon pujaan: Nasha Aziz, Erra Fazira, Aaron Aziz.

hi kak faralyna..saya ni laa pelajar junior dari sri inai..ingat lagi x masa akak puji baju raya saya?tima kasih la..sorry sbb xsempat ckp masa tu..yelah kan..kecik lgi..masa tu ngn kakak didi kan??xtau la nama dia..ok laa bye!!!saya terus meyokong kakak..go!!go!!
ReplyDelete