BAGI para peminat Raja Pop yang bersuara lunak, Jamal Abdillah jangan melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan yang menggegarkan akan berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 13 Mei ini.
Jamal akan beraksi di Majlis Minum Petang Pesona De’ Wajah Harmoni dengan mendendangkan rangkaian lagu-lagu popularnya.
Penyanyi yang terkenal dengan kekuatan dan kemantapan vokalnya itu boleh membuai perasaan para penonton dengan alunan suaranya itu.
Program eksklusif ini dianjurkan bertujuan untuk mencari personaliti Pesona De’ Wajah Harmoni sebagai duta produk kecantikan De’ Wajah dan penghias muka hadapan majalah Harmoni terbitan Utusan Karya Sdn Bhd (UKSB). Di samping itu, juara bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM 10,000, barangan kemas, pakej percutian serta hamper.
Seramai 12 pemenang bulanan telah dipilih oleh juri berdasarkan wajah dan personaliti yang menarik, latar belakang akademik dan penampilan serta gaya hidup yang aktif.
Finalis yang terpilih adalah Nadiyah Adnan, 28, Nawar Anisah Abdul Salam, 27, Nur Aida Md. Zainuddin, 28, Rohaya Yahya, 25, Jamilah Mohd. Jali, 35, Noraziah Mohd. Amin, 24, Nor Jumaaty Mahdazar, 32, Wan Noraishah Kasim, 24, Noorita Yusof, 28, Rushdina Ismail, 26, Anisafina Maidin, 31 dan Hayati Ishak, 27.
Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman memberitahu, penganjuran pertandingan itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada kaum wanita yang berjaya dalam kehidupan.
“Kita mahu menonjolkan wanita-wanita yang benar-benar berjaya ini ke hadapan. Kita tahu ramai yang berkebolehan dan hebat-hebat belaka. Bagaimanapun, kita hanya memilih mereka yang layak dan menepati kriteria iaitu wajah dan personaliti yang menarik, imej yang baik dan berjaya dalam kerjaya,”ujar beliau sewaktu ditemui di majlis sidang akhbar pesona De‘Wajah Harmoni 2008/ 2009 di di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir menyerikan majlis tersebut adalah personaliti penghias kulit muka hadapan majalah Harmoni keluaran 15 April, Datin Norjuma Habib Mohamed, Pengarang Majalah Harmoni, Nor Asmah Zakaria, Pengarah Urusan De’ Wajah, Junaidah Kitting dan Pengurus Kanan Operasi & Pembangunan Perniagaan UKSB, Zurzaliza Bajuri.
Penaja utama majlis itu adalah De‘Wajah. Manakala penaja bersama terdiri daripada Udiamond, LangkawiCrystal, Utusan Travel & Tours Sdn. Bhd., Istana Budaya dan Noor Arfa Batik.
Sempena sambutan Hari Ibu, program ini turut mengadakan majlis Ibu Ratu Hatiku. Satu penganugerahan khas Tokoh Ibu akan disampaikan kepada seorang tokoh wanita sebagai tanda pengiktirafan di atas sumbangan dan semangat serta kegigihannya yang wajar dijadikan contoh teladan bagi semua kaum wanita, khasnya kaum ibu di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: