MEREKA masih muda belia. Masih banyak lagi perkara yang perlu diterokai dan dipelajari. Bagi mereka sekali menjejakkan kaki sebagai anak seni, maka perjuangan mereka tidak pernah bertepi.
Adat sebagai anak seni. Tidak semuanya indah seperti yang disangka. Di sebalik meniti populariti, mereka masih lagi berhati-hati bimbang sesuatu yang buruk berlaku jika tersalah langkah.
Walaupun masih belum jauh perjalanan kumpulan 6ixth Sense dalam dunia seni, mereka tetap yakin dapat mencuri hati peminat dengan lagu-lagu yang mereka perjuangkan itu.
6ixth Sense yang dianggotai oleh Adi, Athan, Gjie, Ayoy dan Wan optimis bahawasanya mereka juga mampu bersaing dengan kumpulan-kumpulan yang ada di dalam industri ini.
Lagu Hari Ini Dan Semalam dan Tak Bisa Memilihmu sememangnya telah menaikkan lagi nama kumpulan ini di mata umum.
Pernah satu ketika Adi selaku vokalis dikecam hebat kerana dikatakan tidak mampu menyanyi secara live ketika membuat beberapa buah persembahan sedikit masa dahulu.
Walaupun itu cerita lama, Adi tidak kisah jika orang melabelkannya sebegitu. Akui Adi, banyak perkara yang orang tidak ketahui termasuklah punca sebenar mengapa perkara tersebut berlaku.
Enggan mengungkit kisah lama, Adi kini yakin 6ixth Sense mampu bangkit menutup mulut orang yang mengkritik mereka sebelum ini dengan mempertaruhkan lagu-lagu yang mesra telinga.
Lagu Tanpa Dendangan mereka bukanlah satu lagu yang baru. Namun apabila lagu tersebut diambil dan dijadikan lagu tema sebuah drama televisyen ia sedikit sebanyak menaikkan semula nama mereka.
Bagi Adi, kesan lagu tersebut benar-benar membuatkan mereka teruja. Masakan tidak, lagu Tanpa menjadi antara lagu paling popular yang paling kerap dimuat turun dari Internet.
“Teknologi semakin canggih. Siapa yang dapat mengusai teknologi mereka juga yang untung. Kalau nak jual album memang agak sukar sekarang,” akui Adi yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.
Sukar tembusi pasaran seberang. Mungkin ada yang meramalkan 6ixth Sense bakal masuk ke pasaran Indonesia dengan mudah memandangkan Adi ‘diimport’ dari negara tersebut.
Meskipun strategi tersebut telahpun dilaksanakan, tapi ia langsung tidak memberikan gambaran seperti yang diharapkan oleh peminat sebelum ini.
Jelas Athan masih banyak lagi kerenah birokrasi yang perlu mereka patuhi termasuklah urusan promosi.
“Kami memerlukan hampir RM100 000 untuk melaksanakan promosi di sana terutamanya televisyen. Itu bukan satu jumlah kecil. Mana nak cari duit sebanyak itu.
“6ixth Sense sendiri pernah masuk ke sana dan kami akui memang ada stesen-stesen radio yang mainkan lagu kami. Penerimaan orang Indonesia pada kumpulan kami juga nampaknya positif,” jelas Athan yang bertindak sebagai pemain gitar.
Selepas popular dengan lagu Tanpa, taruhan terbaru mereka sudah pasti kepada lagu Khatimah Cinta yang sudahpun dimainkan di kebanyakan radio tempatan.
Gjie tidak menolak kemungkinan untuk cuba membawa kembali lagu tersebut ke Indonesia sebagai promosi untuk mereka ke sana.
“Khatimah Cinta bermakna penutup cinta. Mungkin ada yang pelik dengan judul yang kami berikan tetapi semua itu ada makna buat kami.
“Khatimah Cinta merupakan kesinambungan daripada lagu Hikayat Cinta 1 dan Hikayat Cinta 2 yang dipetik daripada album terdahulu. Kami cuba untuk membuat kesinambungan daripada lagu terdahulu,” kata Gjie.
Paling istimewa tentang kumpulan ini sudah pasti pada kelebihan setiap anggota mencipta lagu mereka sendiri. Antara sedar dan tidak sudah banyak lagu-lagu ciptaan mereka menyengat dan mendapat sambutan ramai.
Jelas Ayoy bukan mereka tidak mahu menggunakan komposer lain untuk membuat lagu tetapi mereka tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada pada diri setiap anggota begitu sahaja.
Bila di tebak dengan adakah mereka tidak mempercayai komposer yang ada, kata Ayoy tidak ada salahnya jika lagu yang diberikan benar-benar berkualiti dan menepati cita rasa mereka.
Sejak akhir-akhir ini, ‘serangan’ kumpulan muzik yang menggelarkan mereka indipendent sudah mengusai hampir keseluruhan atmosfera kumpulan-kumpulan muzik yang ada.
Kehadiran mereka sedikit sebanyak telah menenggelamkan kumpulan yang ada. Hakikat ini sememangnya tidak dinafikan oleh setiap ahli kumpulan 6ixth Sense.
Mereka yakin setiap kumpulan mempunyai khalayak peminat tersendiri. Maka tidak timbul isu siapa yang lebih atau siapa yang kurang jauh sekali untuk berhasad dengki.
Selaku pemain drum, Wan melihat gelombang pemuzik indie ini bukan satu ancaman kepada 6ixth Sense dan mereka melihatnya sebagai satu persaingan yang sihat.
“Kami tak kisah sangat sebenarnya. Yang penting kita dapat lihat kumpulan-kumpulan muzik mendominasi industri muzik tempatan,” luah Wan yang dalam proses menerbitkan album terbaru mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: