SELAKU dua bintang berprofil paling tinggi, Brad Pitt dan Angelina Jolie bukan asing kepada khabar angin.
Namun, baru-baru ini, khabar angin yang tersebar mengenai hubungan mereka menjangkau batasan, termasuk dakwaan kononnya mereka bergaduh kerana cemburu.
Terdapat juga laporan yang mendakwa pasangan paling hangat Hollywood itu mengadakan rundingan sulit dengan peguam bagi membincangkan siapa yang akan memperoleh hak penjagaan terhadap anak sekiranya rumah tangga mereka runtuh.
Menurut beberapa laporan, hubungan cinta yang terjalin empat tahun antara Pitt dan Angelina berdepan dengan krisis berikutan sengketa yang bermula Februari lalu apabila Angelina dilapor menangkap Brad memujuk pengasuh anak mereka di kediaman pasangan itu.
| |
Bagaimanapun, perbualan mengenai sengketa pasangan itu bertentangan dengan laporan yang masih belum dapat disahkan, yang mula tersebar minggu lalu, kononnya aktres berusia 33 tahun itu, yang dinobatkan oleh majalah Vanity Fair baru-baru ini sebagai wanita paling cantik di dunia, hamil lagi, sekali gus menambah bilangan anak mereka kepada tujuh.
| |
"Ya, Angie hamil lagi," kata seorang anggota keluarga mereka kepada majalah Amerika Syarikat, Star.
"Mereka berusaha mendapatkan seorang lagi cahaya mata sejak beberapa bulan lalu. Namun, Angelina begitu terkejut apabila mengetahuinya. Pitt dan Angelina sering bergaduh sejak kebelakangan. Tetapi itu tidak menghalang Angelina hamil," kata sumber itu.
Angelina yang mempunyai tiga anak hasil hidup bersama Pitt - anak kembar berusia sembilan bulan, Vivienne dan Knox, seorang anak perempuan, Shiloh yang berusia dua tahun, dan juga tiga anak angkat, Maddox, tujuh, Pax, lima dan Zahara, empat - dilapor mendedahkan khabar gembira itu kepada Pitt sekembalinya aktor itu dari lawatan solo untuk mengawasi projek pembinaan semulanya di New Orleans.
"Pitt terkejut. Dia kaku pada mulanya. Dia kemudian mendukung Angelina masuk ke rumah. Dia ketawa dan menangis serentak sambil mengucup aktres itu. Saat yang sungguh beremosi," kata sumber berkenaan.
Awal bulan ini, Angelina dilapor berdepan dengan masalah ketika penggambaran filem terbarunya, Salt.
'Dia pengsan ketika penggambaran, mengadu sukar bernafas dan pening," kata sumber di lokasi penggambaran.
Ada yang berkata, ia berpunca daripada kurang selera makanan akibat bergaduh dengan Pitt. Tetapi, tidak mustahil kejadian itu boleh berlaku pada wanita yang berada di peringkat awal kehamilan.
Buat ma3sa ini keluarga itu itu menyewa sebuah rumah besar di Long Island sementara Angelina menjalani penggambaran filem perisikan dengan memegang watak ejen CIA, Evelyn Salt.
Bagaimanapun, kediaman utama pasangan itu ialah di Chateau Miraval berharga RM265 juta yang terletak di selatan Perancis. Kerja mengubah suainya secara besar-besaran dilakukan dan baru-baru ini, Pitt dilapor mengunjungi rumah itu untuk melihat perkembangannya. Keluarga itu menetap di Perancis ketika Angelina melahirkan anak kembar mereka Julai lalu di Hospital Yayasan Lenval, Nice.
Kini, timbul tanda tanya sama ada Chateau Miraval akan menjadi rumah keluarga itu untuk mengalu-alukan kedatangan anggota baru.
"Brad mahukan anak itu dilahirkan di Amerika Syarikat. Dia mendesak Angelina melahirkan bayi itu di New Orleans. Dia terlalu sukakan kawasan itu. Angelina tidak menolak dan pada masa sama, tidak pula mengiakannya," kata sumber yang rapat dengan keluarga itu.
Dari segi kerja, Pitt mempunyai beberapa projek perfileman menantinya, termasuk filem Steven Soderbergh, Moneyball. Angelina pula mengesahkan mahu berehat selepas penggambaran Salt.
"Saya tidak lagi bercita-cita tinggi seperti sebelum ini. Kini, keluarga menjadi keutamaan saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: