Tuesday, May 12, 2009

Tuah Anna





Menjadi dewasa, kata Anna Kournikova, bukan saja membolehkan seseorang semakin matang, malah mampu menganalisis sesuatu dengan lebih wajar.

Justeru, tidak hairanlah Anna yang ada pada hari ini jauh lebih mesra berbanding peringkat awal kemunculannya di persada tenis antarabangsa dulu.

Kini, Anna bersedia ditemu bual dalam suasana mesra, terbuka dan berpijak di bumi nyata.

"Ketika berusia 16 atau 17 tahun, anda tidak berfikir panjang dan bimbang apa-apa.


"Malah, dalam banyak keadaan anda tidak berfikir pun," katanya.


Berusia 27 tahun, Anna melakar nama pada 1998 apabila menumbangkan nama besar dalam tenis ketika itu.

Antaranya, Lindsay Davenport, Martina Hingis dan Steffi Graf.

Dia mara ke pusingan keempat dalam kejohanan Terbuka AS dan Terbuka Perancis serta menempatkan dirinya dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia.

Maka, terbukalah pintu kemewahan untuknya hasil tawaran penajaan pelbagai syarikat terkemuka.

Masalahnya, dalam kegemilangan itu Anna sebenarnya tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan.

Lahir di Moscow pada 1981, Anna memanfaatkan kelebihan fizikalnya untuk tujuan komersil.

Pada satu ketika, pendapatan Anna hasil aktiviti di luar gelanggang mencecah sehingga RM178 juta walaupun usianya belum 18 tahun.

Tidak hairanlah apabila ketika itu cubaan wartawan mendekatinya menjadi sangat sukar.

Menemubualnya dalam tempoh 10 minit pun dianggap satu tuah bagi media. Itu pun Anna melayan kebanyakan pertanyaan itu dengan jawapan "Ya" atau "Tidak" saja.

Itu belum lagi kerenah pengawal peribadi dan pengiringnya hampir di setiap masa.

Dibelenggu masalah kecederaan, pencapaian terbaik Anna adalah pada kedudukan kesembilan ranking dunia pada 1999.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan tekanan terlalu kuat, keadaan itu akhirnya menjahanamkannya.

Pada 2003, dia hanya terbabit dalam kejohanan peringkat bawahan.

Pada Mei 2003, Anna dimalukan pemain senegaranya yang baru berusia 16 tahun, Maria Sharapova.

Seminggu kemudian - di Charlottesville, Virginia - dia tunduk kepada pemain Brazil yang berada di kedudukan bawah 300 pemain terbaik dunia.

Ia adalah noktah persaingan Anna di gelanggang tenis.

"Tentulah, kini saya adalah Anna yang lain," katanya.

Menurutnya, apabila masa beredar, manusia juga akan berubah sama ada keadaan itu digemari atau tidak.

Malah, katanya, adalah menyedihkan jika dia gagal mengubah dirinya seiring dengan masa.

Dia juga tidak menyesali 'kegagalan' masa silamnya.

"Saya mendapat banyak wang," katanya.

Malah, dia tidak menolak kemungkinan kembali turun ke gelanggang pada masa depan.

Kini, Anna banyak menghabiskan masa di gym setiap hari bagi meningkatkan kecergasannya selain mengasah kemahiran di gelanggang bersama rakan beberapa kali seminggu.

"Siapa tahu, saya kembali mencabar pemain lain.

"Usia saya masih muda walaupun diakui secara fizikal saya mungkin belum cukup bersedia," katanya.

Pada masa sama, Anna kini menjadi jurucakap syarikat kasut jenama K-Swiss.

Dia juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku.

Jika diperlukan, Anna sedia menyumbang tenaga dalam mana-mana kempen kebajikan di sekitar kediamannya di Palm Beach, Florida.

Paparazzi juga masih tidak jemu mengekori untuk mendapatkan imej terbaru Anna - satu indikator bahawa orang ramai masih berminat mengetahui perkembangan dirinya.

Ditemani penyanyi Enrique Iglesias, kehidupan Anna adalah menggembirakan.

"Saya tidak berkahwin, tidak hamil, tidak melakukan pembedahan plastik membesarkan buah dada, tiada Botox - apa lagi yang saya harapkan?" katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: