Monday, May 11, 2009

Impian raja sehari

Bagaimanakah Orked Bridal House, merealisasi kehendak pelanggan?





KOLEKSI busana pengantin yang dihasilkan dalam pelbagai corak, rekaan dan fabrik.


MELANGKAH ke alam perkahwinan bukan sesuatu yang mudah. Hakikatnya banyak urusan dan persiapan yang perlu dilaksanakan.

Tanpa perancangan yang teliti perkahwinan idaman mungkin tidak tercapai malah pengantin bakal berhadapan dengan bermacam-macam masalah.

Disebabkan itu, perunding perkahwinan mahupun pemilik butik pengantin kerap menasihati supaya bakal pengantin jangan mengambil sikap sambil lewa.

Seharusnya, duduk berbincang kedua-dua pihak mengenai pemilihan pakaian, tema pelamin, dekorasi hantaran, solekan dan sebagainya.

Ini kerana merancang perkahwinan bukan suatu perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.


BAKAL raja sehari berpeluang merasai pengalaman bersanding di singgahsana yang mewah.



VAN Orked Bridal House yang menempatkan barangan untuk menyiapkan majlis perkahwinan.



BAKAL pengantin wanita sentiasa disarankan supaya memilih busana yang cocok dengan susuk tubuh dan warna kulit.


Justeru bagi anda yang bakal melangsungkan perkahwinan tetapi bingung mencari butik untuk menempah bermacam-macam barang, jangan bimbang.

Orked Bridal House dapat meringankan beban tersebut. Ia merupakan syurga perkahwinan yang menawarkan pelbagai khidmat yang memenuhi kehendak pengantin.

"Orked Bridal House, sentiasa berusaha merealisasikan impian pelanggan. Kami bersedia memberikan pandangan agar majlis perkahwinan berjalan dengan lancar.

"Namun saranan saya sebelum mendapatkan khidmat perunding perkahwinan pelanggan seharusnya mempunyai idea dan tema yang diingini," jelas pengasas Orked Bridal House, Azmy Osman, 34.


SELEKSI gaun kembang yang boleh digayakan ketika acara memotong kek.



ANTARA koleksi foto yang dirakamkan oleh jurugambar Orked Bridal House berlatarkan suasana yang indah.



KHIDMAT solekan dan dandanan juga ditawarkan kepada pelanggan.





Langkah ini perlu bagi memudahkan pihak perunding menghidupkan kehendak pelanggan.

"Terdapat dua kategori sikap pengantin. Pertama mereka yang tidak mengetahui langsung apa yang diingini. Tapi, hanya tahu memberi komen itu dan ini.

"Segelintir pula berlagak seperti mengetahui segala-galanya dan cerewet sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk ahli keluarga sendiri," ujar Azmy ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemilihan busana pengantin

Mengulas lanjut, Azmy, menyarankan dalam aspek perkahwinan pemilihan busana pengantin harus diberi penekanan.

Pengantin wanita jangan terlampau obses dengan rekaan fesyen moden. Paling penting fikirkan rekaan dan potongan pakaian mengikut kesesuaian bentuk badan, lokasi majlis, dan warna kulit.

Selain itu elak menempah pakaian yang mahal hingga melebihi bajet yang diperuntukkan.

"Ingat, kos tempahan yang mahal bukan jalan selamat menyerlahkan aura seri pengantin. Memadai busana yang ringkas dan fabrik yang sesuai agar tampak cocok dengan tubuh badan," tutur Azmy yang menjelaskan pakaian pengantin butiknya terdiri daripada variasi potongan kebaya, kurung moden dan gaun.

Dekorasi pelamin

Orked Bridal House turut bekerjasama dengan pereka perkahwinan Indonesia bagi membantu dari segi dekorasi pelamin dan suasana perkahwinan yang dihajati.

Daya kreativiti mereka tidak terhad pada rekaan pelamin di rumah. Bahkan mampu menukar suasana dewan atau taman yang kosong menjadi singgahsana raja sehari yang menawan.

"Biasanya pelanggan kami menggemari pelamin berkonsepkan air terjun yang menampilkan elemen air di tepi pelamin.

"Menurut kepercayaan feng shui apabila terdapat aliran air maka kehidupan seseorang itu memperoleh kebahagiaan," tambahnya yang cenderung memilih hiasan dan jambangan bunga segar berbanding bunga plastik.

Fotografi dan video

Sebelum membuka butik pengantin, Azmy yang pernah bekerjasama dengan perancang perkahwinan terkenal, Pak Abu, terlebih dahulu menimba pengalaman dalam bidang dokumentari.

"Pengalaman lebih 10 tahun dalam pembikinan dokumentari televisyen memberi kelebihan pada Orked Bridal House. Kami mampu membuat pengantin tersenyum manis tatkala menyaksikan dokumentari perkahwinan mereka yang dihasilkan oleh kami.

"Dokumentari itu akan bermula dari saat mempelai dilahirkan hinggalah detik pernikahan. Secara ringkasnya, kami mencipta sebuah rancangan realiti TV khas buat tatapan pengantin sekeluarga," ujar Azmy yang juga menawarkan khidmat solekan, melukis inai dan pemilihan lokasi.

Kesimpulannya, Orked Bridal House hadir dalam bentuk kemahiran dan kepakaran, di samping harga yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: