
KUALA LUMPUR - Demi membesarkan kelima-lima orang anaknya, Selamah Hussin, 69, tidak pernah kenal erti penat dan jemu mengambil tempahan menjahit sehingga larut malam setiap hari.
Bersuamikan seorang anggota polis berpangkat biasa dan mempunyai kelulusan setakat tingkatan tiga, Selamah yang juga suri rumah faham bahawa dia perlu bekerja keras bagi membantu suaminya untuk melengkapkan keperluan anak-anak.
"Arwah suami saya dulu polis, gaji pun tak tinggi... jadi saya kena cari jalan bantu dia untuk beli keperluan anak-anak yang masih kecil.
"Sekolah saya juga tak tinggi, jadi kenalah kami suami isteri kerja keras untuk pastikan anak-anak jadi orang berguna," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Cheras di sini semalam.
Kini Selamah yang merupakan ibu tunggal setelah kematian suami enam tahun lalu sudah mampu menarik nafas lega kerana semua anak-anaknya berjaya dalam hidup dan menjawat jawatan tinggi seperti doktor, jurutera, guru, pengarah kanan dan pengarah sebuah syarikat swasta.
"Usaha saya dan arwah suami berbaloi, tapi kini masa mereka pula terhad dengan saya. Nasib baik tinggal berdekatan, kalau tak... tak tahulah," katanya berseloroh.
Terdahulu, majlis sambutan Hari Ibu menyaksikan Selamah dianugerahkan sebagai Tokoh Ibu Mithali dan menerima sejambak bunga, sijil penghargaan dan wang tunai RM300.
Selain beliau, empat lagi tokoh yang terpilih ialah Rauhaniah Mohamed (Tokoh Ibu), Patomi Mat Dol (Ibu Idaman), Umi Kalsom Alang Ishak (Ibu Contoh) dan Sabehah Salleh (Ibu Bestari).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: