Friday, May 1, 2009

Hollywood: Smallville lebih aksi


SIRI drama superhero popular Smallville kembali untuk musim keenam. Padat pelbagai aksi siri kali ini mengimbau mitologi Superman apabila muncul dengan watak klasiknya dicampur dengan adegan dan pengembaraan kepada siri aksi yang menyeronokkan.

Dibarisi pelakon hebat Tom Welling, Kristin Kreuk, Michael Rosenbaum, Erica Durance, Allison Mack, John Glover dan Annette O'Toole, siri ini disiarkan di TV3 setiap Ahad jam 10.30 malam mulai 3 Mei ini.

Dalam episod akhir musim lalu, Brainiac (James Marsters) melepaskan virus komputer berbahaya, manakala Zod, dari planet Krypton yang bertanggungjawab di atas kemusnahan planet itu mengambil alih badan Lex menjadikan Lex mempunyai keistimewaan seperti Clark.

Apabila Lex mendedahkan kepada Lana Lang mengenai kuasa barunya, mereka menjadi rapat.

Clark mula menyedari satu-satunya jalan menghentikan Zod adalah membunuh Lex dengan menggunakan senjata Kristal yang ditinggalkan oleh Jor-El, bapa kandungnya.

Namun menyedari dia tidak boleh membunuh kawannya, Clark menikam Brainiac dengan senjata tersebut dengan tidak sengaja menyebabkan terbukanya portal kepada Zod.

Dugaan Clark untuk musim baru lebih mencabar. Dia perlu berusaha melepaskan diri dari Phantom Zone. Selepas dipenjarakan dalam jail Krypton yang dicipta oleh Jor-El, Clark mendapati dirinya tidak mempunyai kuasa dan dikelilingi penjenayah yang ingin menuntut bela selepas dipenjarakan oleh ayahnya Jor-El.

Bekas pembantu Jor-El seorang wanita bernama Raya (Pascale Hutton) datang ke Phantom Zone menolong Clark melarikan diri, malangnya, penjenayah yang lain juga terlepas. Penjaga setia rahsia identiti Clark adalah ibu bapa angkatnya Jonathan dan Martha.

Namun musim lepas Jonathan meninggal dunia kerana sakit jantung selepas mendapat tahu yang Lionel juga mengetahui rahsia Clark.

Bagaimanapun Clark yang berasa bertanggungjawab atas kematian ayahnya menghadapi kesukaran menyesuaikan diri terhadap kehilangan ayahnya itu.



Martha pula mengambil alih tempat Jonathan di Senat dan mengupah Lois sebagai ketua kakitangan.



Lana yang merasa dikhianati oleh Clark pada musim lepas kini beralih kepada Lex untuk mendapatkan ketenangan. Melihatkan sikap Lex yang terbuka, Lana berjanji untuk berada disisinya. Hubungan mereka menjadi lebih serius menyebabkan hubungan Lana dan Clark semakin renggang.

Sementara Lex bercinta dengan Lana, dia masih didorong oleh cita-citanya dan meneruskan niat jahatnya. Walaupun dia berjanji untuk tidak berbohong kepada Lana.

Persahabatan Clark dan Lex musnah dan kini mereka bermusuhan memaksa Clark berusaha keras untuk melindungi rahsianya. Walaupun berhadapan dengan kenyataan yang Lex merampas Lana darinya, Clark juga nampak bahaya yang dibawa oleh Lex dan berjanji untuk menghentikannya.

Apa yang lebih menarik episod musim ini turut memperkenalkan beberapa watak baru seperti Oliver Queen yang juga dikenali sebagai Green Arrow (Justin Hartley) di Metropolis. Walaupun tidak mempunyai kuasa luar biasa, Oliver dianugerahkan dengan kebolehan memanah yang melayakkannya menyertai pasukan Olimpik Amerika.

Namun Oliver menolak dan menggunakan kemahirannya untuk bekerja sebagai 'Pemanah Zamrud', mencuri hasil dari kegiatan haram golongan kaya dan memberinya kepada golongan miskin. Oliver datang dari Star City ke Metropolis untuk memulihkannya dari virus merbahaya yang disebarkan oleh Brainiac.

Ketika di Bandar, dia bertemu dan tergoda dengan Lois, menyebabkan timbulnya kesangsian dan sedikit cemburu kepada Clark. Apabila Oliver mengetahui kebolehan Clark, dia mengajak Clark menyertainya dalam satu projek baru iaitu menubuhkan liga wira-wira.

Sementara itu, Chloe terkejut dan gembira apabila bekas kekasihnya seorang jurugambar Jimmy Olsen (Aaron Ashmore) menyertai The Daily Planet dan kedua-duanya menjalinkan semula perhubungan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: