|
|
PENERBIT drama atau filem tempatan perlu mempertimbangkan untuk memberikan kelonggaran cuti sehari kepada pelakon dan kru sempena Hari Pekerja (Hari Buruh) yang diraikan 1 Mei saban tahun, sekali gus mengangkat bidang lakonan sebagai kerjaya profesional sama seperti profesion lain. |
Itulah yang diluahkan artis tanah air sempena sambutan Hari Pekerja hari ini. Pelakon Esma Daniel yang sudah terbabit dalam bidang lakonan sejak 15 tahun lalu, berkata, dia sangat berharap perkara itu mendapat perhatian sewajarnya.
"Hari Pekerja sama seperti Hari Seniman Kebangsaan yang diraikan pada 29 Mei setiap tahun cuma Hari Pekerja konteksnya lebih besar.
"Sebenarnya, orang hanya menganggap bidang lakonan sebagai kerjaya sambilan saja 10 tahun lalu apabila turut mempunyai pekerjaan tetap lain untuk menyara kehidupan.
"Kini, ramai pelakon termasuk rakan seperjuangan saya menjadikan lakonan sebagai kerjaya atau berlakon secara sepenuh masa.
"Justeru, saya berpendapat, sudah sampai masanya kerjaya lakonan mendapat pengiktirafan sewajarnya termasuk diberi cuti pada Hari Pekerja pada masa akan datang," katanya.
Esma yang terbabit dengan penggambaran drama Saga Ayahanda arahan Liza Ismail berkata, dia beruntung kerana barisan pelakon serta kru drama terbitan Z & G Production Sdn Bhd itu diberi cuti sehari sempena Hari Pekerja yang diraikan hari ini.
"Saya berharap penerbit drama lain juga mencontohi apa yang dilakukan produksi Z& G Production ini. Maklumlah, saya sudah berkeluarga dan mempunyai lima anak yang memerlukan perhatian daripada ibu bapa.
"Sekurang-kurangnya, saya boleh meluangkan masa bersama anak pada masa cuti sehari ini, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya.
Bagi Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan yang juga ibu tunggal kepada tiga anak, dia tidak pernah bercuti pada Hari Pekerja yang diraikan saban tahun.
"Setiap kali kita meraikan Hari Pekerja, saya sering terikat dengan jadual penggambaran drama. Contohnya, Hari Pekerja tahun ini saya terbabit dengan projek telefilem.
"Saya juga tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar kerana sepanjang terbabit dalam bidang lakonan, saya melihat industri seni tanah air memang memandang sepi sambutan Hari Pekerja.
"Apapun, ia terpulang pada individu itu sendiri kerana sebagai pelakon, kerjaya kami tidak terikat pada waktu pejabat dan kalau nak bercuti pun saya akan memohon cuti selepas penggambaran drama selesai.
"Sesibuk manapun bekerja, saya tetap pastikan ada hari untuk bersama anak terutama pada hujung minggu," katanya.
Sementara itu, pelakon Eira Syazira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi berkata, dia juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri Embun Mutiara pada Hari Pekerja yang diraikan di seluruh negara hari ini.
"Saya tidak salahkan penerbit kerana meneruskan penggambaran drama itu pada Hari Pekerja kerana mereka perlu mengejar masa untuk menyiapkan drama ini seperti dijadualkan.
"Sebagai wanita yang masih bujang, saya tidak berhadapan masalah untuk bekerja pada Hari Pekerja kerana keluarga cukup memahami dengan profesion saya sebagai pelakon sepenuh masa.
"Cuti umum bagi saya hanyalah pada hari raya atau sambutan Maulidur Rasul kerana penerbit drama memberi kelonggaran untuk kami bercuti pada hari istimewa itu.
"Jika ingin bercuti panjang, selalunya saya akan memohon cuti seminggu selepas selesai sesuatu penggambaran drama sebelum terbabit dengan projek drama lain pula," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: