|
|
DALAM kemeriahan dan perkembangan industri muzik tanah air, khususnya dalam genre nasyid yang dikatakan mempunyai kelompok tersendiri, kumpulan Syifa' semakin selesa dengan perjalanan kerjaya seni mereka. |
Mereka kini dalam siri rangka promosi, Syifa' Tour 2009 (ST09) yang akan berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang, Mei ini.
Album terbaru mereka, Seri Hati, sudahpun dilancarkan November lalu edaran Hijjaz Records Sdn Bhd dibawah naungan RBI Vision Resources.
Syifa' mensasarkan golongan pelajar sekolah serta penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara sebagai satu bentuk hiburan dan riadah kepada mereka, keluarga serta tenaga pengajar di sekolah dan IPT terbabit.
Ini satu cara untuk memperkenalkan Syifa' dalam industri nasyid tanah air selain dapat mengisi aktiviti sekolah serta IPT yang mengambil bahagian.
Ketua kumpulan itu, Rohaizat berkata, sehingga kini, Syifa' sudahpun menjelajah ke Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan yang terbaru di Ma'ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini, Jengka, Pahang dengan sambutan memberangsangkan.
"Sambutan pihak sekolah dan IPT yang di luar jangkaan menaikkan semangat kami untuk meneruskan siri jelajah ini dan ternyata segala usaha serta pengorbanan ini berbaloi.
"Ia kenangan yang manis buat kami yang masih baru dalam industri nasyid ini. Syifa' harus diberi pendedahan dan promosi agar kumpulan ini lebih dikenali peminat nasyid dan tidak bergantung kepada syarikat rakaman semata-mata," katanya.
Bermula 1 Mei ini, Syifa' akan mengadakan persembahan dan promosi di Ma'ahad Muhammadi, Pasir Mas sempena Malam Kebudayaan dan Kesenian Islam, jam 9.00 malam.
Seorang daripada anggota kumpulan Hijjaz, Ariffin, dijadualkan akan mengadakan sesi tazkirah kepada pelajar di sana.
Pada 2 Mei ini pula, Syifa' akan mengadakan persembahan dan promosi di Maktab Pengajian Islam, Kota Bharu pada sebelah pagi dan di Sekolah Menengah Agama Naim Lilbanat, Kota Bharu pada malamnya.
"Selain mengadakan persembahan, Syifa' juga membuat penjualan produk secara langsung kepada peminat dengan harga promosi bagi setiap CD, VCD dan kaset di samping beberapa cenderamata khas untuk dijual kepada peminat.
"Kami juga mengatur beberapa aktiviti sepanjang mereka di sana termasuk bertemu Nur Nik Nurmadihah yang mendapat keputusan 20A dalam SPM dan juga sesi temuramah di stesen radio tempatan di sana," katanya.
Mereka yang berminat untuk berkerjasama dengan Syifa' boleh hubungi Rohaizat di 017-609 0106 atau menerusi emel putra119@syifa.com.my.
Sementara itu kepada mereka yang ingin mengerjakan umrah dengan Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd, boleh hubungi 012-306 2291 atau layari laman web, www.kembara-umrah.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: