Sunday, May 3, 2009

Green Day abad ini




EMPAT tahun mereka menyepikan diri setelah mempersembahkan American Idiot, album yang terjual sebanyak 12 juta unit di seluruh dunia. Ramai yang dahagakan energi lagu dan lirik grup ini.

Tahun ini Green Day mempertaruhkan 21st Century Breakdown, dengan sekali lagi memberi hanya yang terbaik dan mengelak klise dalam pergerakan band ini.

Album studio kelapan mereka ini mempunyai tiga bahagian iaitu Heroes and Cons, Charlatans and Saints dan Horseshoes and Handgrenades.

Album yang diedarkan oleh Warner Music ini memberi naratif perjalanan pasangan muda, Christian dan Gloria, menempuhi kehidupan pada abad ini. Billie Joe pernah membayangkan Christian dilakonkan oleh pelakon Robert Pattison manakala Gloria sesuai di tangan Ellen Page.

Buat yang mengikuti Green Day sejak zaman Dookie, album ini membawa pencinta-pencinta band kepada gabungan silam. Butch Vig, ahli kumpulan Garbage, bertindak sebagai penerbit. Untuk album Dookie, dia hanya sempat memberikan sedikit kerja produksinya.

Ketiga-tiga ahli band bergenre punk rock ini, Billie Joe Armstrong, Mikde Dirnt dan Tre Cool sudah mula membuat pascaproduksi sejak awal tahun 2006 dan mempertaruhkan Know Your Enemy sebagai lagu yang bakal memberi impak yang kuat.


KEMUNCULAN Tre Cool, Billie Joe Armstrong dan Mike Dirnt sentiasa ditunggu-tunggu.


Terang dengan lirik dan sikap anti-Amerika, kepercayaan mereka pernah dikritik hebat oleh penggubah lagu terkenal, Brandon Flowers The Killers yang menyatakan dia mempunyai masalah dengan konsep dan kandungan album Green Day.

Semua 17 buah lagunya menyerlahkan perasaan tidak puas hati terhadap perjalanan kehidupan pada abad ini.

Album ini masih berkisarkan peristiwa dan semi-autobiografi protagonis, masih berkisahkan kesatuan dan rempuhan protes. Ia mengkritik agama, perang malah cinta.

Secara muzikalnya, album terbaru ini dikatakan mempunyai semangat band-band terdahulu seperti The Who, Bowie, Queen, The Ramones, Sex Pistols dan Clash.

Ditambah dengan lirik yang menyentuh hal kontradiksi, kerapuhan dan kerinduan terhadap rasa harmoni tiga anak muda ini terhadap negara mereka, Amerika Syarikat.

"Negara kita dan dunia ini adalah hal yang paling teruk pernah saya saksikan. Tetapi ada harapan yang manusia masih simpan.

"Sebenarnya terdapat banyak keraguan dan masa yang ganjil. Itu adalah persembahan album kali ini," akui Billie Joe.


ALBUM 21st Century Breakdown ialah album studio kelapan Green Day.


Album ini juga dikatakan satu refleksi daripada perkara yang telah terjadi selama tiga tahun lalu, lantas ditumpahkan menjadi melodi dengan pernyataan yang kuat.

"Saya bukan menentang agama. Ini adalah cara berdoa bagi orang yang tidak percaya. Saya penuh dengan semangat kerohanian.

"Dan tidak ada hal yang lebih berjiwa selain daripada rock 'n' roll," ungkap vokalis berusia 37 tahun itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: