Sunday, May 3, 2009

Harapan Awanband


AWANBAND dianggotai oleh (dari kiri) Faris, Ijan, Ully, Boboi dan Hassan.


SATU hal yang perlu dititikberatkan bagi perkenalan awal grup ini adalah ejaan dan suku kata nama band mereka.

Untuk satu pernyataan penegasan terhadap nama band, huruf besar digunakan sepenuhnya untuk AWANBAND dengan kedua-dua perkataan 'awan' dan 'band' disatukan. Ia mungkin metafora bagi kehadiran mereka yang tidak dapat dipisahkan daripada muzik.

AWANBAND terbentuk secara tiba-tiba pada tahun 2007. Si gitaris, Boboi yang sering melukis corak, poster dan kerja-kerja seninya berasaskan awan telah menarik minat rakan-rakannya lantas mencetuskan nama band ini.

Bergabung atas dasar yang sama iaitu kecintaan bermuzik tetapi mempunyai landasan yang berbeza, AWANBAND kini dianggotai oleh lima jejaka yang mempunyai pengaruh muzik yang berbeza-beza.

Selain Boboi, anggota kumpulan ini ialah Ully (gitaris), Hassan (bass), Ijan (pemain drum) dan Faris (vokalis).

Ada suntikan jazz, rock, pop, R&B malah klasikal dalam cita rasa mereka. Dengan ramuan yang pelbagai itu, mereka adunkan ke dalam satu jenis muzik yang menyerlahkan muzik mereka sendiri. Sedikit jazz dimasukkan di sana sini termasuk untuk lagu irama rock.

"Kami mahu orang mengenali muzik kami yang pelbagai dan bersifat universal. Kami tidak terikat dengan satu genre sahaja. Yang penting kami mahu memartabatkan bahasa Melayu dan menaikkan muzik Malaysia.

"Kami mahu orang dengar lagu-lagu kami. Mahu orang buka mata tentang kewujudan kami," kata mereka yang kini sudah keluar dengan lagu Melayang dan Belenggu.

Band ini serius bermuzik sejak bertemu dengan si vokalis, Faris.

"Sukar juga perjalanan kami. Band macam kami pernah hanya dibayar sekitar RM50 untuk satu persembahan. Tapi itulah titik peluh kami.

"Mendengar orang bertepuk tangan, menjeritkan nama band dan mengikut kami menyanyi merupakan satu penghargaan besar."

Proses membikin lagu dilakukan bersama. Mereka menjalani proses jamming sama ada di Studio Ideal atau di rumah Boboi. Memberi peluang kepada setiap anggota untuk memberi idea, mereka akan sama-sama melakukan proses pembikinan lagu hingga berpuas hati.

"Kami sedang dalam proses merakam album mini kami yang mengandungi lima buah lagu. Untuk lagu Belenggu kami masukkan sedikit unsur tradisional gamelan yang dibantu oleh AG Coco," ujar Boboi.

Mereka turut merencana untuk mengeluarkan baju sendiri dan berharap peminat seni tanah air akan menyokong perjuangan mereka.

"Kami berharap agar jangan dibezakan yang mana muzik bebas atau arus perdana. Yang paling penting adalah sokongan kepada muzik tempatan.

"Jangan ada budaya pilih kasih atau budaya boikot-memboikot. Muzik menyatukan semua dan rakyat Malaysia harus bersiap sedia dengan kemunculan muzik baru tempatan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: