KEADAAN pasaran muzik yang tidak begitu memberangsangkan nampaknya tidak menjadi penghalang kepada syarikat rakaman untuk terus menghasilkan album malah ada yang berani menggilap bakat baru untuk diketengahkan.
Salah satu daripadanya adalah syarikat Gading2u Sdn Bhd, yang begitu berani mengetengahkan bakat baru yang bukan dicungkil bakatnya daripada mana-mana program realiti.
Penyanyi baru yang menjadi taruhan syarikat Gading2u ialah Zawazi atau nama sebenarnya Mohamed Noor Zawazi Mohamed Yusof bekas penuntut Universiti Al Azhar.
Bakat jejaka berusia 29 tahun itu dihidu penerbit albumnya Rosli Ahmad yang tertarik mendengar kebolehannya mengalunkan lagu ketika penyanyi itu berkhidmat di bawahnya.
“Saya mengenali Zawazi sejak 2002, ketika itu saya menghasilkan lagu untuk penyanyi lain tetapi sebagai percubaan saya minta dia nyanyikan terlebih dulu.
“Dari situ saya mula mengesan bakat yang dimilikinya. Dia juga boleh menyanyi pelbagai genre. Mengetahui minatnya dalam dunia nyanyian, saya kemudian dengan seikhlas hati menghasilkan lagu untuknya supaya bakat Zawazi boleh diketengahkan.
“Kami sedar ramai yang bertanya kenapa dalam keadaan kegawatan ekonomi, kami begitu berani menghasilkan album dan memperkenalkan penyanyi baru yang langsung tidak pernah dikenali sebelum ini. Tujuan kami buat lagu bukannya untuk meraih keuntungan semata-mata tetapi kami buat semua ini kerana minat, ” katanya pada majlis pelancaran album pertama penyanyi itu berjudul Zawazi Seadanya.
Album yang berkonsepkan pop komersial itu memuatkan sebanyak lima lagu iaitu Di Setiap Nafasku yang menjadi single pertamanya, Segala Hanya, Teman... Terima Kasih, Lidah Yang Tergigit dan Zapin Rindu Cinta.
Pada majlis pelancaran album sulungnya itu, Zawazi mengambil kesempatan menghiburkan penonton dengan ke semua lagu daripada albumnya.
“Saya menyedari persaingan dalam dunia nyanyian ini terlalu sengit. Namun didorong minat yang mendalam terhadap dunia nyanyian, saya nekad untuk serius dalam bidang ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: