Air Con milik syarikat teater The Instant Cafe peroleh pencalonan paling banyak
ANUGERAH Boh Cameronian yang mengiktiraf penggiat seni dari pelbagai bidang kembali buat kali ketujuh bulan depan. Tahun ini, sebanyak 35 kategori dipertandingkan dalam anugerah yang mendapat tajaan pengeluar teh terkemuka Boh Cameronian.
Anugerah yang diperkenalkan sejak 2002 itu memberi pengiktirafan kepada mereka yang bergiat secara profesional dalam bidang tarian, muzik dan teater di depan tabir mahupun mereka yang terbabit di belakang tabir.
Kegemilangan Anugerah Boh Cameronian 2009 membabitkan 90 calon yang terdiri daripada pelakon, pengarah, penulis skrip, penari, pereka tari, penyanyi, penulis lirik, pereka pentas, lampu dan juru mekap yang memberikan persembahan terbaik mereka sepanjang 2008.
Kategori teater berbahasa Melayu menyaksikan Air Con milik produksi syarikat teater The Instant Cafe memperoleh pencalonan terbanyak iaitu lapan pencalonan. Air Con meraih pencalonan bagi kategori Skrip Asal Terbaik nukilan Shanon Shah, Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi pula berkongsi pencalonan bagi kategori Pengarah Terbaik, manakala Amerul Affendi dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Sementara itu, pembikinan semula karya berbahasa Cina daripada George Orwell, Animal Farm yang dipersembahkan oleh produksi teater Pentas Projek meraih enam pencalonan untuk Pengarah Terbaik, Loh Kok Man dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan mantap Moo Siew Keh.
Selain Pengarah Terbaik, Loh turut dicalonkan dalam kategori Rekaan Lampu Terbaik menerusi dua karya iaitu Air Con dan Animal Farm sementara Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi sekali lagi berkongsi pencalonan juga untuk kategori Pengarah Terbaik tetapi bagi karya Hero. Turut mendapat dua pencalonan ialah Melissa Teoh untuk kategori Rekaan Set Terbaik bagi Air Con serta Hero.
Bagi kategori Rekaan Kostum Terbaik, Animal Farm sekali lagi dicalonkan hasil sentuhan Dominique Devorsine yang turut menerima pencalonan untuk kategori sama bagi karya A Christmas Carol. Mark Beau de Silva pula dicalonkan dalam kategori Skrip Asal Terbaik bagi dua karya iaitu Bottom Top dan Oh My God.
Kategori tarian pula menyaksikan Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menerima jumlah terbanyak iaitu sebanyak lapan pencalonan. Jamu 2008, menerima tujuh pencalonan termasuk Penampilan Terbaik daripada Suhaili Ahmad Kamil dan Pereka Tari Terbaik, Umesh Shetty dan Vincent Tan, sementara Huminodun The Nabahu Princess pula meraih dua pencalonan bagi kategori rekaan.
Turut tercalon bagi kategori Pereka Tari Terbaik ialah Judimar Hernandez yang pernah bergelar juri di dalam program realiti So You Think You Can Dance.
Dalam bidang muzik pula, konsert jazz, Let’s Go Mamak mengungguli carta apabila meraih tujuh pencalonan bagi kategori Persembahan Kumpulan Terbaik, Komposisi Asal Terbaik. Sementara peniup saksofon, Julian Chan dan komposer, Ken Hor pula dicalonkan dalam kategori Arahan Muzikal Terbaik.
ategori teater muzikal pula menyaksikan karya Jewel Of Tibet mendapat pencalonan paling banyak iaitu 12 pencalonan daripada 14 kategori secara keseluruhan yang dipertandingkan. Pencalonan yang diraih karya itu ialah bagi kategori Pengarah Terbaik, Lirik Asal Terbaik, Muzik Asal Terbaik, Arahan Muzikal Terbaik dan empat pencalonan untuk kategori pelakon utama dan pembantu terbaik yang dipersembahkan oleh produksi Musical On Stage.
roduksi The Kuala Lumpur Performing Arts Center yang mementaskan Ismail, The Last Days pula mendapat 10 pencalonan juga bagi kategori Pengarah Terbaik, Pereka Tari Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.
Pencalonan dipilih bagi karya yang bermula 1 Januari dan berakhir 31 Disember lalu. Komiti juri terdiri daripada 60 penari, pemuzik dan produksi teater yang berkaliber.
Selain itu Anugerah Boh Cameronian turut memperkenalkan tujuh kategori istimewa antaranya Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Artseefartsee Cross Cultural dan Artis Harapan.
Anugerah Sepanjang Hayat diberikan kepada individu yang menunjukkan minat berterusan dalam bidang seni serta banyak menyumbang kepada kegemilangan industri seni. Manakala Artseefartsee pula memberi pengiktirafan kepada individu yang tidak terbabit dalam seni persembahan secara langsung tetapi memiliki inisiatif bagi membantu perkembangan seni budaya.
Kategori Artis Harapan pula diberikan kepada individu muda yang menampilkan kreativiti dan berterusan memartabatkan seni persembahan. Antara calon yang disenarai pendekkan ialah Suhaili Ahmad Kamil (Jamu 2008) dan Amirul Affendi (Air Con). Anugerah Boh Cameronian bakal berlangsung pada 3 Mei yang dibawakan oleh Hotel Mandarin Oriental.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: