"KEBANYAKAN drama yang disiarkan adalah mengenai orang kenamaan dan jarang sekali memaparkan cerita berbentuk kemanusiaan yang mempunyai kepentingan sejagat manusia." Itulah kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang disiarkan oleh kebanyakan akhbar Isnin lalu.
Teguran seperti itu bukanlah perkara baru. Media, penonton dan masyarakat umumnya sering menyuarakan teguran seperti itu. Dalam hubungan orang Melayu, memang tidak dinafikan ada drama mengangkat imej orang Melayu dengan sewajarnya. Ia menunjukkan ada ramai orang Melayu berjaya dalam dunia perniagaan.
Orang Melayu juga dipaparkan sebagai satu bangsa yang boleh dipercayai atau diharap dalam memegang kerjaya profesional seperti peguam, jurutera, Pengurus Besar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan sebagainya.
Orang Melayu sebenarnya mampu memiliki banglo besar yang dilengkapi dengan kolam renang dan mempunyai deretan kereta berharga mahal. Memang tidak salah. Baguslah.
Tetapi di sebalik semua itu, dipaparkan juga sesuatu yang negatif dan konflik rekaan yang begitu klise, meleret-leret dengan tokok tambah yang akhirnya memalukan orang Melayu sendiri. Dalam kebanyakan drama kita, orang Melayu yang kaya mestilah bergelar Tan Sri, Datuk, Tuan, Puan Sri dan Datin. Realitinya banyak orang kaya Melayu yang tidak membawa sebarang gelaran pun tetapi mereka tetap berjaya sebagai seorang usahawan dan memegang jawatan profesional di firma besar dan multinasional.
Kita jarang melihat drama atau telefilem yang mengangkat orang Melayu membantu bangsanya sendiri dengan ikhlas. Atau, orang Melayu yang berjaya tetapi bersederhana dalam kehidupan sehari-hari dan paling penting mereka tidak pernah mengabaikan agama sebagai tanda kesyukuran. Ia sebenarnya perlu dilihat sebagai nilai kerohanian secara tidak langsung kepada orang Melayu.
Kita juga tidak pernah melihat bagaimana golongan kaya seperti yang dipaparkan dalam drama TV atau mungkin filem, turut terbabit secara aktif dalam aktiviti sosial, kemasyarakatan dan kebajikan. Apa yang dipaparkan ialah mereka sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan dan menyelesaikan pertelingkahan keluarga dan syarikat. Kalau ada kelapangan pula, dipaparkan mereka ini suka lepak di pusat hiburan, mabuk, kaki perempuan, rasuah dan penipu.
Namun, saranan Dr Rais supaya TV siar drama yang mencerminkan wajah Malaysia memerlukan kesungguhan dan rasa tanggungjawab daripada semua pihak. Ia tidak boleh dibebankan kepada pengkarya saja seperti penerbit, pengarah dan penulis skrip. Ini kerana apa yang disiarkan di kaca TV adalah berdasarkan apa yang diminta oleh pihak stesen TV juga.
Konsep wajah Malaysia dalam filem dan drama masih subjektif atau kabur dan terus diperdebatkan. Ia belum ada noktahnya. Apakah erti wajah Malaysia itu bermakna mesti menampilkan kaum lain dalam setiap drama? Apakah kalau ia drama berbahasa Melayu, Cina, Tamil, malahan Iban atau Kadazan, Murut, Bajau dan sebagainya masih tidak dianggap sebagai drama berwajah Malaysia?
Bagi kita selagi sesuatu karya itu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, separuh atau beberapa bahagian saja, itulah drama atau filem berwajah Malaysia. Apa lagi yang boleh membezakan sesuatu itu drama atau filem Malaysia dengan drama Cina, Tamil, Sepanyol, Indonesia kalau tidak menerusi bahasanya iaitu bahasa Melayu.
Apabila kita menonton filem berbahasa Cina, seperti Mandarin atau Kantonis, tidak pernah pun terfikir soal wajah Cina Hong Kong, Cina di China, Cina Taiwan atau Cina Singapura. Begitu juga apabila menonton filem atau drama berbahasa Korea, kita tidak pula rasa keliru apakah itu dari Korea atau Jepun kerana bunyi dan sebutannya yang hampir sama. Apatah lagi drama telenovela bahasa Sepanyol, tidak pun kita terfikir itu terbitan negara Sepanyol di Eropah atau negara yang bertutur bahasa Sepanyol di Amerika Selatan.
Wajah Malaysia bagi kita tidak pula semestinya menggabungkan orang Melayu, India dan Cina serta kaum lain sebagai pemain atau pelakonnya. Ia mungkin ada wajah atau ciri-ciri Malaysia kalau sesebuah drama itu mengetengahkan isu dan tema berbentuk nasional, kebaikan, sosial dan pengucapan pelakonnya.
Latar masa, latar belakang tempat, latar sosial dan gambaran penduduk, seni bina yang ada di negara ini, tempat ibadat, aktiviti kebudayaan dan kesenian yang pelbagai apabila diselitkan dalam drama kita, ia sudah memadai memberikan citra Malaysia.
Namun begitu, sekiranya karyawan kita boleh mewujudkan watak pelbagai kaum dalam karya mereka, ia mungkin memberi kelebihan. Konsep wajah Malaysia dalam filem atau drama juga tidak perlu dipaparkan dengan cara ‘menunjuk-nunjuk’ kerana ia boleh dianggap sebagai satu retorik sehingga menghadirkan rasa bosan kepada penonton. Ini kerana bagi penonton, mereka tahu dan faham pentingnya perpaduan, jadi, tidak perlulah ada drama atau filem yang seolah-olah hendak mengajar mereka bagaimana untuk bergaul dengan kaum-kaum lain.
Biarlah ia dipaparkan secara spontan tetapi meninggalkan kesan tersendiri kepada penonton. Itu yang penting tetapi sukar untuk dilakukan. Bagaimanapun, drama atau program TV bertemakan nasional atau keMalaysiaan ini memerlukan sokongan pihak pengurusan stesen TV juga. Kalau penerbit atau pengkarya ada idea untuk menghasilkan drama atau program berwajah Malaysia, tetapi pihak stesen TV kurang berminat hendak membeli atau menyiarkannya, ia tidak membawa sebarang makna juga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: