Wednesday, May 6, 2009

22 melangkah ke Hollywood


SITI SARAH, Bob, Raja Farah dan Norhasmidar mewakukili kategori nyanyian.

Kejohanan Dunia Seni Persembahan berlangsung di California mulai 11 Julai

HANYA 22 peserta terbaik daripada 44 peserta melalui lima kategori yang dipertandingkan dalam WorldStars Road to Hollywood (WRTH) bakal menjejakkan kaki mereka ke Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang akan berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat pada 11 hingga 19 Julai ini.

Pertandingan akhir WRTH yang berakhir Ahad lalu di Istana Budaya dan disiarkan secara langsung menerusi TV2, akhirnya menemui yang terbaik untuk mewakili negara dalam kejohanan seni persembahan bertaraf antarabangsa itu.

Daripada jumlah itu, nama seperti Siti Sarah Raissuddin, Yusrizan Usop atau Bob dan Norhasmidar Ahmad antara nama yang sudah berpengalaman dalam apa saja pertandingan nyanyian turut layak ke sana. Tiga nama ini seperti sudah dijangka akan terpilih untuk mewakili kategori nyanyian disamping tidak ketinggalan mempromosikan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Siti Sarah yang membawakan dua lagu iaitu Respect dan Listen yang diberikan masa satu minit bagi setiap lagu cukup terkejut apabila diumumkan layak menyertai WCOPA.

"Akhirnya persediaan saya selama sebulan berlatih di rumah membuahkan hasil. Pada mulanya saya seperti tidak berpuas hati dengan latihan yang mengambil masa selama tujuh jam sehari. Latihan itu masih tidak mencukupi memandangkan seminggu sebelum pertandingan ini saya demam dan terpaksa dimasukkan air ke dalam badan kerana kurang tidur dan kurang rehat yang cukup.

KUMPULAN Tuku Kame mahir dengan alat muzik tradisional Sarawak.

"Namun saya sangat bersyukur kerana rezeki akhirnya berpihak kepada saya. Saya akan meneruskan latihan untuk membuktikan negara pasti pulang dengan membawa kemenangan," katanya yang ditemui sebaik berakhirnya pertandingan WRTH.

Peserta yang memulakan karier dalam program realiti TV, Bob turut tidak menyangka menjadi peserta yang bertuah untuk ke kejohanan seni bertaraf antarabangsa itu.

"Sebaik diumumkan layak ke Hollywood, segala macam perasaan timbul. Selain gembira yang teramat sangat saya juga menjadi bimbang untuk membawa nama negara ke sana.

"Jika tahun sebelum ini, negara tidak pernah pulang dengan tangan kosong selepas menyertai kejohanan seni itu dan kini saya antara peserta yang menjadi taruhan negara untuk membawa seberapa banyak pingat untuk negara.

KUMPULAN tarian Artistana.

"Bagaimanapun sebaik diberi kepercayaan setinggi itu, saya akan berusaha habis habisan untuk memastikan negara tidak pulang dengan tangan kosong dan sokongan serta doa semua masyarakat negara ini sangat diperlukan," katanya.

Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2006, Norhasmidar, cukup menyerlah dengan suara sopranonya menerusi lagu Chanson Bohem dan Almost Like Be Ini Love turut berjaya ke Hollywood.

Selain Norhasmidar, gadis bertubuh kecil namun bersuara lantang, Raja Farah Afzal Raja Ikram antara peserta bagi kategori nyanyian terakhir diumumkan oleh dua pengacara Jehan Miskin dan Vanessa Chong layak bersama 22 peserta yang lain.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie serta Ketua Setiausaha (KSU) KPKK, Datuk Kamarudin Siaraf dan Timbalan KSU KPKK, Datuk Mohamed Mohd Daud.

Selain kategori nyanyian, empat lagi kategori lain yang akan bersaing ke kejohanan peringkat dunia itu seperti peragaan, tarian, alat muzik dan lakonan.

Bagi kategori peragaan empat peserta yang layak daripada lapan yang bertanding ialah Siti Nurizana Iskandar, 23, Dilla Syahirah Abd Latiff, 25, Wilson Tan Siong Ping, 27 dan Ramsheh Singh, 28.

Dua dari kategori alat muzik iaitu Jerry anak Kamit, 35 dan Kumpulan Tuku' Kame' serta masing-masing seorang mewakili kategori tarian iaitu Kumpulan Artistana dan kategori lakonan Putri Mardiana Zainal Abidin, 28.

Ganjaran wang untuk pemenang

KEJOHANAN persembahan dunia atau boleh dianggap sebagai kejohanan persembahan seni olimpik itu bakal disertai peserta negara bersama 61 negara lain, sudah tentu cabaran cukup kuat untuk tahun ini.

Mohamed yang juga ketua delegasi negara ke Hollywood berkata, harapan negara untuk membawa pulang lebih banyak pingat tahun ini cukup menyerlah walaupun peningkatan lebih 20 negara tahun ini.

"Jika tahun lalu hanya 40 negara menyertainya dan kita berjaya membawa pulang sebanyak 27 pingat, namun selepas menyaksikan kualiti peserta tahun ini saya menyangkakan kita mampu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 30 pingat tahun ini.

"Bagi peserta yang berjaya membawa pulang sebarang pingat, pihak kementerian melalui persetujuan jemaah menteri pada 8 Disember tahun lalu akan memberi imbuhan kepada peserta yang berjaya membawa pulang pingat.

"Setiap peserta yang mendapat pingat emas, kita akan memberi imbuhan sebanyak RM3,000, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000)," katanya yang memperuntukkan hampir RM1 juta kos bermula uji bakat hingga segala perbelanjaan ke Hollywood.

WCOPA yang dianggap sebagai kejohanan seni terbesar di dunia itu disertai negara bertujuan memasarkan seni budaya negara ke peringkat antarabangsa.

"Apa yang penting tugas kementerian adalah untuk mempromosikan budaya negara kini disamping mengkomersialkan budaya tempatan agar dikenali dunia.

"Kita memang menyedari sejak negara menyertai kejohanan itu, negara lain mula terasa tercabar dengan bakat peserta kita terutama keunikan budaya yang memperlihatkan misi negara Satu Malaysia itu ada kebenarannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: