Wednesday, May 6, 2009

Bongkar rahsia kehidupan dalam konsert


JAMAL bersama (dari kiri) Mokhtaza dan Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Bisnes Red Box, Desmond Chinmenunjukkan albumTak Hilang Cinta pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Jamal Abdillah muncul di Istana Budaya selama lima hari mulai 5 Ogos

SUKAR sebenarnya untuk menebak perasaan dan jiwa seorang seniman bernama Jamal Abdillah. Seperti lagu nyanyiannya, Seniman Menangis, begitulah juga yang dialami penyanyi kelahiran Perak Darul Ridzuan ini. Antara inti pati lagu itu berkisar kepada kehidupan seorang seniman yang zahirnya cukup ceria dan sering menghiburkan, namun hati sendiri menangis dan kecewa tak siapa yang tahu dan ambil peduli

Sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, kesedihan, kesunyian dan kekecewaan bagaikan sinonim dengan kehidupan peribadi Jamal sendiri. Kisah hidupnya yang penuh panca warna itulah yang akan dirangkumkan Jamal apabila dia bakal muncul dalam sebuah konsert khas, Kembara Seni (Seniman) Jamal Abdillah yang akan diadakan di pentas berprestij, Istana Budaya mulai 5 hingga 9 Ogos depan.

Jelas Jamal, selain nyanyian, konsert khas besar-besar-besaran berkonsepkan muzikal itu nanti juga akan menampilkan sketsa yang mampu mengembalikan nostalgia dia bersama insan yang cukup rapat dengannya.

“Sebelum saya menyanyikan sesebuah lagu itu, ada segmen sketsa yang akan menceritakan kisah di sebalik lagu itu. Sebagai contoh, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa perjalanan kerjaya saya sebenarnya bermula menerusi pertandingan Bintang RTM pada tahun 1979. Ketika itu saya sering menyanyikan lagu Alleycats.

“Mungkin dalam persembahan saya nanti akan saya selitkan adegan saya dan David Arumugam dan juga aksi lakonan semula saya ketika mula-mula menyertai pertandingan itu.

Jamal Abdillah

“Selain itu, saya juga akan menampilkan sketsa saya dengan komposer terkenal, Datuk Ahmad Nawab iaitu orang yang bertanggungjawab menaikkan nama saya sehingga ke hari ini. Tentu ada yang tidak tahu saya pernah berselisih faham dengan dia sebelum ini dan itulah yang ingin saya paparkan dalam persembahan saya nanti,” ujar Jamal ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Tak Hilang Cinta, di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Artist & Repertoire Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad.

Pendek kata menurut Jamal, konsert ini akan mengundang mereka yang pernah terbabit dengannya sepanjang lebih 30 tahun bergelar artis.

“Saya sudah pun maklumkan kepada mereka yang terbabit dan setakat ini ada yang sudah memberikan persetujuan mereka.

“Lebih istimewa, konsert ini juga akan menayangkan klip video temu bual bersama tokoh terkenal seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga personaliti lain yang akan memberi pandangannya mengenai saya,” katanya yang akan memulakan latihan untuk konsert ini pada 27 Julai depan.

Mengulas lanjut perkara itu, Jamal berkata temu bual bersama VIP itu penting kerana dia difahamkan kebanyakan VIP membesar dengan lagu nyanyiannya.

“Masa saya mula menyanyi sekitar 1979, kebanyakan mereka masih lagi menuntut di kolej dan universiti luar negara. Malah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah juga tahu mengenai lagu Seroja yang saya nyanyikan ketika membuat persembahan di depannya sebelum ini.

“Justeru, tidak hairanlah andai ada juga VIP yang berminat untuk menaja album saya sebelum ini kerana mereka adalah peminat saya,” ujar Jamal yang cukup ramah petang itu.

Jamal lebih rela membujang

BARANGKALI sudah tertulis di Luh Mahfuz bahawa perkahwinan Jamal pasti tidak akan mampu bertahan lama. Tiga kali mendirikan rumah tangga, semua perkahwinan yang dibina itu berakhir dengan perceraian. Akur dengan ketentuan Tuhan, Jamal ketika diajukan soal jodoh berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang difikirkannya buat masa ini.

“Kalau dulu saya memang mencari tetapi kali ini biarlah saya fokus pada diri saya sendiri terlebih dulu serta kerjaya. Apa yang saya pelajari, kalau saya sudah boleh jaga diri sendiri, barulah saya boleh jaga orang lain. Kasihan pula pada orang lain jika saya berterusan seperti ini.

“Bagaimanapun, kalau jodoh itu hadir, saya takkan mampu untuk menolaknya kerana semua itu adalah takdir Tuhan dan sebagai hamba-Nya, saya kena reda,” ujar si pelantun Kekasih Awal dan Akhir ini.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Latiff. Bagaimanapun perkahwinan berdasarkan pilihan keluarga itu terlerai setelah lapan tahun hidup bersama. Perkahwinan keduanya bersama Nor Aina Yusuff juga tidak bertahan lama dan hasil perkongsian hidup bersama Aina atau Intan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Osama Yamani yang kini berusia lapan tahun.

Manakala perkahwinan ketiganya bersama Fatimatuzahrah Samad yang dinikahi pada Disember 2005 juga berantakan dan berakhir dengan perceraian dua tahun selepas itu. Perkahwinan itu dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ahmad Zaki Yamani.

Ditanya apakah dia bersedia untuk rujuk kembali bersama bekas isterinya itu, Jamal menyerahkan perkara itu kepada takdir untuk menentukannya.

Beralih kepada topik album Tak Hilang Cinta, album ke -20 bersama syarikat rakaman Warner Music, Jamal berkata album yang diterbitkan hasil kerjasama Shah, Eddie Marzuki dan Adnan Abu Hassan ini dibuat semata-mata untuk mencari peminat baru.

“Untuk mencari peminat baru dalam generasi ini, saya kena berani membuat pembaharuan terutama dari segi muzik. Ada di antara genre muzik dalam album ini belum pernah saya terokai dan kelainan seperti ini cukup mengujakan saya.

“Dalam album ini saya juga berkolaborasi dengan komposer muda yang meningkat naik, Rohunaim. Dia cipta tiga lagu iaitu Tak Hilang Cinta Di Dunia, Ku Sejiwamu dan Waktu Kerinduan,” ujarnya mengenai album yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan itu.

Album Tak Hilang Cinta ini juga turut menyaksikan kehebatan Jamal mencipta tiga buah lagu berjudul Di Mana

Akhirnya, Keindahan Mimpi dan Akulah Kekasihmu (ciptaan Jamal/Ad Samad).

Mengulas buah tangan sulungnya itu, Jamal berkata dia sudah lama mencipta lagu cuma tidak begitu aktif.

“Mungkin sebelum ini saya sering mengambil sikap sambil lewa.Tapi selepas saya menyedari yang saya juga mempunyai bakat, jadi saya teruskan usaha dan terhasillah lagu ini,”jelas penyanyi bervokal mantap ini.

Pada majlis itu, sempat juga Jamal menghiburkan tetamu yang hadir dengan nyanyian secara live.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: