|
| RAMAI pula yang memperkatakan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam arahan Syamsul Yusof. Apabila ramai bercakap bermakna filem ini popular. |
Tapi yang tidak sedapnya apabila orang memperkatakan sudut negatif filem ini, bukannya pujian baik dari garapan mahu pun jalan cerita.
Mereka yang mendakwa penonton berpendidikan tinggi meluahkan rasa tidak puas hati dengan apa yang dipaparkan filem itu kepada pengusaha panggung. Mereka mendakwa, filem itu menggambarkan masyarakat Melayu begitu teruk dan busuk seperti haruan makan anak, anak bunuh bapa, aktiviti lumba haram dan bohsia.
Tidak dinafikan perkara itu berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu kini, tetapi apabila ia dipaparkan di layar lebar dengan mendedahkan kepincangan hingga dianggap memalukan bagi sesetengah pihak yang tidak mengamalkan budaya itu. Luahan mereka ini dipaparkan dalam ruangan Soseh-Soseh, Khamis lalu.
Dalam Harian Metro Rabu lalu, polis sendiri bingung kerana kes tangkapan membabitkan golongan remaja Mat Rempit akhir-akhir ini meningkat beberapa kali ganda berbanding bulan sebelumnya dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada aksi liar dipaparkan filem Bohsia yang sedang ditayangkan di pawagam dan juga bersiri Impak Maksima Vs Remp-it arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzari yang disiarkan di televisyen.
Ahmad Idham juga pernah menghasilkan filem Remp-It yang mendapat sambutan dan kisah ini juga menarik perhatian Farid Kamil untuk filem sulung arahannya, Remp-it V3.
Saya tidak menolak hakikat apa yang dipaparkan di depan mata sedikit sebanyak menarik minat penonton terutama remaja untuk mencuba. Mungkin tiada bukti untuk kaitkan tayangan filem dan drama dengan peningkatan kes tangkapan, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil ada hubung kaitnya sama ada secara langsung dan tidak langsung.
Ahli akademik, Profesor Dr Sidek Baba berharap penggiat filem dan drama lebih peka terhadap jalan cerita dipaparkan supaya tidak mendatangkan impak negatif kepada masyarakat khususnya remaja kerana mereka sememangnya mudah terpengaruh dan meminta karyawan filem hasilkan cerita yang memberi kesan baik.
Apabila mendengar luahan banyak pihak mengenai Bohsia, saya teringat e-mel diterima selepas tulisan saya mengenai filem Talentime arahan Yasmin Ahmad pada 6 April lalu.
Sebenarnya ramai menyokong apabila saya katakan Yasmin cuba memasukkan elemen menyongsangkan nilai kemelayuan dan amalan tradisi masyarakat Melayu Islam menerusi Talentime. Ada juga sebaliknya seperti pengirim e-mel itu meminta saya memberi ruang dan peluang seadilnya untuk Talentime.
Katanya, dia tidak mengatakan Talentime terlalu bagus atau terbaik, tetapi percaya ia karya yang baik untuk ditonton berbanding kebanjiran 'filem sampah' dalam industri sekarang yang memaparkan hubungan ranjang dan separuh bogel pelakonnya.
Pengirim e-mel itu juga meminta kebimbangan saya sewajarnya ditujukan kepada pelbagai filem yang membudayakan filem mereka dengan aksi lebih keji daripada apa yang dipaparkan dalam Talentime.
Katanya, masyarakat kita lebih rela memejamkan mata dan memekakkan telinga daripada dikejutkan dengan realiti hari ini. Kita seharusnya bimbang dengan kisah ibu bapa yang langsung tidak peduli mengenai solat anak, kisah remaja lebih rela bermalam di hotel berdua-duaan berbanding tidur di rumah bersama keluarga.
Rasanya, saya tidak pernah mengangkat 'karya sampah' yang paparkan hubungan ranjang dan separuh bogel pelakonnya. Tapi apabila menonton Talentime, saya melihat 'sesuatu' dalam kisah dipaparkan.
Saya tidak menonton Bohsia dan tidak dapat melihat sisi hitam yang dipaparkan. Bagi saya, paparan gejala sosial dalam filem sesuatu agak subjektif. Contohnya filem Maut arahan Bade Azmi paparkan budaya black metal, tetapi penonton tidak pula meluahkan kebimbangan ia menjadi ikutan dan mencetuskan minat remaja.
Apa yang saya lihat, pengarahnya cuba berdakwah menerusi filem ini berbanding filem lain yang juga paparkan kisah rempit, bohsia dan black metal untuk hiburan serta tarikan penonton. Malah filem Maut dianggap terlalu berat oleh sesetengah penonton kerana ia sarat dengan pengajaran kerana penonton ke panggung untuk berhibur.
Filem popular seperti Ayat-Ayat Cinta juga tidak mendapat sambutan walaupun paparkan jalan cerita yang baik dan mendapat pujian.
Yasmin ada mengatakan, penonton tidak perlu saratkan fikiran dengan perkara terlalu rumit apabila menonton filemnya sebaliknya duduk, relaks dan nikmati apa yang dipaparkan di layar. Bak kata Nora Danish dalam drama bersiri Puteri, 'Kita enjoy!'.
Apapun, kita ini makhluk Tuhan yang diberi akal fikiran dan bijak membezakan mana baik mana dan yang buruk. Seharusnya kita memilih jalan hidup yang baik dan diredai kerana hidup kita bukan untuk 'enjoy' saja tapi perlu ada matlamat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: