Wednesday, May 6, 2009

Diana kahwin dalam taman





DIANA sanggup pejamkan mata terhadap kos majlis perkahwinannya yang tinggi.



DIANA dan Zamarul pernah tidak berjumpa selama dua bulan, namun cinta mereka tetap utuh.






DIANA bakal mengundang kira-kira 1,000 tetamu bagi memeriahkan majlis perkahwinannya nanti.


SETELAH lapan tahun menyulam cinta dan pernah dicabar gelora kontroversi akhirnya pelakon Diana Rafar bakal mengakhiri zaman bujangnya bersama kekasih hati yang juga seorang aktor, Zamarul Hisyam.

Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar hadir ke sesi fotografi yang diaturkan dengan wajah yang cukup berseri serta senyuman yang tidak lekang di bibir. Kata orang seri bakal pengantin.

Apabila diusik, Diana tersipu malu, sambil mengatakan dia juga tidak menyangka akan bergelar isteri kepada Zamarul pada umur 27 tahun.

"Saya sendiri tidak sangka akan berkahwin tahun ini. Sebenarnya kami ada mengikuti kelas motivasi bersama, tidak lama mengikuti kelas itu Zamarul terus kata nak kahwin.

"Mula-mula macam tidak percaya pun ada, tetapi bila sudah sampai seru memang secara automatik rasa nak kahwin," jelasnya dalam tawa.

Bercerita tentang saat dia dilamar Zamarul, Diana hanya mampu tertawa dan mengakui lamaran dibuat secara tiba-tiba pada 2 Februari lalu merupakan kenangan terindahnya.

"Dia guna ayat-ayat yang 'kuat' (power) dan saya terus setuju," ujarnya.

Namun, selama seminggu selepas lamaran itu dibuat, Diana masih lagi berada di awangan kerana tidak percaya dengan keputusan yang dibuat oleh kekasihnya itu.

"Saya macam orang lain selama seminggu, kelakar pula bila ingat balik. Kenapa tidak, ini satu perkara terpenting dan keputusan seumur hidup saya.

"Dalam fikiran saya, betul ke aku nak kahwin, betul ke dia nak jadi suami aku, boleh ke pikul tanggungjawab nanti dan bermacam-macam lagi.

"Selepas ibu dan ahli keluarga yang lain tahu baru saya rasa lega sikit. Mereka tidak terkejut hanya cakap alhamdulillah, akhirnya kahwin juga (ketawa)," tuturnya.

Bagaimanapun, dalam detik gembira, Diana tetap bersedih apabila arwah ayahnya menjadi orang pertama yang diingatinya saat menerima lamaran Zamarul itu.

"Arwah ayah sempat berkenalan dengan Zamarul pada tahun 2005, tetapi dia tidak sempat tengok kami kahwin, itu yang saya sedikit sediht.

"Sebab itu saya rasa sekarang masa yang tepat, umur pun dah semakin tua, selagi ibu ada lagi baik saya kahwin cepat," jelasnya.

Cinta 165

Beralih pula tentang tarikh pernikahannya iaitu pada 16 Mei 2009 di Masjid Shah Alam, ia sebenarnya terselit seribu maknanya yang sengaja dipilih bakal suaminya itu.

Menurutnya, satu membawa maksud ihsan, enam (rukun Iman) dan lima (rukun Islam), malah kebetulan tarikh tersebut jatuh pada hari Sabtu yang sangat bersesuaian untuk diadakan sebuah majlis perkahwinan.

Uniknya, Diana juga bakal menerima hantaran berjumlah RM16,500.

"Saya hanya ikut sahaja, dia (Zamarul) memang nak sangat kahwin tahun ini sebab dia kata tahun ini sangat sesuai untuk melangsungkan perkahwinan.

"Jadi saya menerima dengan hati yang terbuka. Tarikh dan jumlah hantaran bukan sahaja simbolik tetapi mempunyai makna yang cukup besar pada kami berdua," katanya.

Tidak mahu bersanding

Menurut anak bongsu daripada enam beradik ini, dia kalau boleh tidak mahu bersanding, bagaimanapun keputusannya itu ditegah oleh Zamarul.

Alasannya, Diana merupakan anak bongsu dan ini merupakan perkahwinan pertamanya.

"Saya kalau boleh nak buat majlis perkahwinan yang ringkas sahaja, tetapi Zamarul pula tidak mahu, dia kata saya kena sanding juga," ujar pemilik spa D'Lugano ini lagi.

Kedengaran seperti Diana dipaksa Zamarul tetapi sebenarnya itulah yang dikatakan permintaan cinta daripada bakal suami, justeru tidak manis andai Diana menolaknya.

Disebabkan masa yang diperuntukkan tidak banyak, Diana dan ahli keluarganya yang lain telah mula membuat persiapan seminggu selepas dia menerima lamaran.

"Waktu terima lamaran pada bulan Februari, nak kahwin bulan Mei, hanya ada beberapa bulan sahaja, itu yang agak kelam-kabut. Nasib baik, kami hanya mengupah orang untuk melakukan persiapan, jadi jadual kerja kami masih berjalan seperti biasa," ucap Diana.

Memilih untuk melangsungkan majlis resepsi di Bougainvillea Garden, Seksyen 9, Shah Alam, pada pukul 8 malam selepas majlis pernikahan pada sebelah pagi, Diana mengakui banyak perkara yang perlu diambil kira.

Ini kerana, sebelum membuat keputusan untuk mengadakan majlis resepsi, dia terlebih dahulu menerima nasihat rakan dan ahli keluarga yang menggalakkan membuat majlis di tempat tertutup seperti dewan ataupun hotel.

"Maklumlah kali pertama nak kahwin, angan-angan itu tinggi, orang nasihat pun saya degil ikut kepala sendiri, akhirnya baru sedar kos untuk mengadakan majlis di luar lebih tinggi berbanding di tempat tertutup.

"Bayangkan taman yang kosong itu perlu dibangunkan menjadi tempat yang indah bagi sebuah majlis perkahwinan, tetapi demi perkahwinan impian saya tidak kisah.

"Lagipun saya memilih untuk buat di taman kerana lebih bebas dan lebih ramai orang yang boleh datang.

"Saya bukannya nak bermegah atau nak buat besar-besaran, saya hanya buat sederhana mengikut kemampuan kami berdua," ujarnya yang mengundang hampir 1,000 tetamu.

Ditanya apa keistimewaan Zamarul sehingga membuka hati Diana untuk hidup bersamanya.

Diana yang terdiam lalu berkata: "Dia seorang yang sederhana, selamba, romantik, boleh menerima keluarga saya dan seorang yang saya yakin boleh membimbing saya untuk menjadi orang yang lebih baik," ulasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: