"Saya ingin meningkatkan kesedaran terhadap generasi muda. Sebagai artis, saya boleh menggunakan populariti untuk menarik perhatian. Diharap kempen ini berkesan" - Maya Karin

PERJUANGAN melindungi dan memulihara alam sekitar sudah menjadi sebahagian daripada hidup aktres jelita, Maya Karin. Biarpun sibuk dengan kariernya sebagai pelakon dan isteri kepada Muhammad Ali Abdullah, Maya tidak pernah berhenti melaksanakan tanggungjawab sebagai pencinta alam.
Semangat Maya memperjuangkan alam sekitar bukannya gimik untuk dirinya mendapat perhatian. Malah disebabkan keprihatinannya itu, Maya telah dipilih sebagai duta Taman Laut Malaysia tahun lalu.
Tidak terhenti di situ, Maya sentiasa memikirkan tentang pelbagai kempen bagi meningkatkan kesedaran awam. Sempena Hari Bumi pada 22 April lepas, Maya bersama pengurusnya, Azlin Abas telah bertungkus-lumus menjayakan Kempen Anti-plastik.
Disertai oleh tiga buah sekolah rendah negeri Selangor iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Selangor, Subang, Sekolah Rendah Tun Hussein Onn 2, Cheras dan Sekolah Rendah Kebangsaan Taming Jaya, Seri Kembangan, mereka berdua telah memulakan perancangan sejak Januari lalu.
Bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kempen yang dihadiri oleh lebih kurang 1,100 pelajar itu berjaya mengumpul plastik seberat 100 kilogram dalam masa tiga minggu. Kesemua plastik yang dikumpul telah diikat dan dijadikan tiga buah bola besar.
"Dalam masa tiga minggu sahaja dengan bantuan lebih 4,000 pelajar, kami sudah berjaya mengumpul plastik yang boleh merangkumi 7.5 kilometer.
"Bayangkan jika kesemua sekolah rendah di negara kita yang berjumlah 7,644 buah mengumpul plastik dalam masa setahun. Jumlahnya akan mengisi sejauh 120 kilometer," kata Maya semasa memberi ucapan kepada para pelajar yang hadir.
Memulakan aktiviti sekitar 8.30 pagi, ia merupakan kempen anjuran Maya yang pertama. Sudah tiga tahun sebenarnya Maya berhasrat untuk menjayakan kempen sebegini. Cuma tahun ini sahaja Maya sempat membuat perancangan terutama dari segi pemilihan sekolah.
"Kami membuka peluang kepada semua sekolah di Lembah Klang untuk turut serta. Namun, kami tidak mendapat kebenaran dari sekolah di Kuala Lumpur. Sementara, di Selangor pula kami memilih tiga buah sekolah yang memberi respons terpantas.
"Kami berhubung terus dengan pihak guru besar dan begitu gembira kerana mereka memberikan kerjasama," tambahnya yang tampil kasual dengan seluar jean dan kemeja-T.

Kesemua plastik yang dikumpul kemudiannya akan dibawa oleh lori ke pusat kitar semula yang terletak di Rawang. Melihat keberkesanan kempen itu, Maya yang bakal muncul menerusi filem Pisau Cukur bagaimanapun mengakui hakikat mengenai kemungkinan untuk melaksanakan kempen tersebut setiap tahun.
"Kalau hendak lakukan setiap tahun, saya tidak boleh janji tetapi saya akan cuba untuk lakukan dengan lebih kerap. Tapi saya akan memastikan setiap kempen yang dilakukan perlu diisi dengan aktiviti dan bukannya ucapan sahaja. Kita perlu tunjuk kepada orang ramai apa yang boleh dilakukan dan hasilnya.
"Saya ingin meningkatkan kesedaran terhadap generasi muda. Sebagai artis, saya boleh menggunakan populariti untuk menarik perhatian.
"Diharap kempen ini berkesan kerana saya amat serius dan ada terfikir untuk menyampaikan sebuah lagu yang berkonsepkan alam sekitar," ujarnya yang berterima kasih kepada pihak yang bekerjasama dengannya.
Selain isu plastik yang sukar dilupuskan sehingga mengambil masa ribuan tahun, Maya yang baru sahaja dipilih sebagai jurucakap Nescafe turut memberitahu plastik merupakan ancaman kepada hidupan laut. Malah lebih sejuta burung mati akibat pembuangan plastik yang berleluasa.
"Pada masa akan datang, saya ingin meningkatkan kesedaran terhadap mereka yang menjamu sup sirip ikan yu. Mereka sepatutnya tahu bahawa tiada manfaat dengan memakan sirip ikan yu.
"Penggunaan penyepit makanan pakai buang juga sebenarnya tidak menyihatkan alam sekitar. Ia juga perlu dikurangkan," jelasnya yang berada di stadium seawal 7.30 pagi.
Sentiasa memikirkan cara untuk mengurangkan penggunaan plastik terutama semasa membeli-belah, Maya memulakan kempen alam sekitar dengan isu plastik kerana dia sendiri mempunyai pengalaman mengutip plastik semasa kecil.
"Sebagai murid, saya juga pernah menyertai kempen anti-plastik. Maka, saya memilih untuk menjayakan kempen ini bersama murid-murid sekolah. Jika pembaca tidak faham apa yang saya ingin lakukan, sekurang-kurangnya murid-murid yang terlibat faham.
"Murid-murid yang terlibat juga menunjukkan perasaan teruja dan menyambut cabaran untuk mengumpul plastik. Dengan cara ini, ahli keluarga mereka juga terlibat sama dan belajar secara tidak langsung," jelasnya yang sentiasa dikelilingi pelajar semasa berada di sekolah.
Disebabkan kekurangan pendedahan mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar, ramai di antara kita tidak gemar menghantar sampah ke pusat kitar semula atau belajar untuk mengasingkan sampah-sarap. Kata Maya, pengasingan sampah sendiri akan memudahkan kerja kitar semula.

Malah suaminya yang berasal dari Liverpool, England tidak begitu didedahkan dengan isu alam sekitar. Maka, ada kalanya Maya 'memarahi' suaminya itu apabila dia tidak mengasingkan sampah.
"Orang Jerman lebih prihatin terhadap alam sekitar berbanding orang England. Sejak beberapa tahun ini kebelakangan ini sahaja negara England mengenakan peraturan supaya penduduknya mengasingkan sampah.
"Tetapi di Jerman, semua orang tahu mereka perlu mengasingkan sampah. Jadi jika suami saya membuat kesilapan, saya akan marah. Apa gunanya jika saya berusaha untuk menjaga alam sekitar dan dia pula tidak membantu.
"Tapi untuk projek kali ini, dia ada datang membantu di sekolah. Cuma dia tidak hadir hari ini kerana dia tidak begitu menggemari dunia glamor," jelas Maya bakal memulakan projek rakaman album terbarunya bersama Audi Mok.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: