Wednesday, May 6, 2009

Anak emak


ARIL dan Izwan Pilus pastikan gaya rambut sesuai.

Izwan Pilus tidak pernah serik membina nama sedang adiknya Aril baru saja mencipta populariti

MEREKA dilahirkan daripada acuan yang sama tetapi tarikan personaliti memang jauh berbeza. Namun akui kedua-duanya, mereka memang anak emak. Bagaimanapun yang muda lebih agresif berbanding abang yang agak gementar apabila membuat persembahan di pentas.

Dua profil lelaki Melayu bernama Khairil Izwan Pilus dan Khairil Azam Pilus yang dimaksudkan ini adalah anak kebanggaan sepasang suami isteri bernama Pilus Mohd Jani dan Normah Abdullah.

Si abang terkenal dengan nama komersial Izwan Pilus dan mula menongkah liga seni sejak 2004 selepas menyertai pertandingan realiti Bintang RTM. Itu pun secara kebetulan kerana mulanya menemani kawan menghadiri uji bakat, alih-alih dia pula yang melekat. Si adik yang menggunakan nama komersial Aril pula baru saja mencipta populariti selepas menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Akui mereka, gaya yang ingin ditonjolkan lebih kurang sama. Malah dengan selamba mengakui sering berkongsi pakaian dan ada kala 'mencuri' pakaian masing-masing tatkala di rumah. Perhatikan juga, dua beradik ini cukup ralit memastikan gaya rambut yang sesuai. Kesempatan ini juga digunakan adik untuk membetulkan persepsi bahawa dia lebih terarah bergaya ala Jepun berbanding Korea yang diperkatakan.

Paling penting dunia nyanyian bagai sudah menjadi darah daging mereka. Sedang abang yang berusia 30 tahun rancak mengorak langkah termasuk mengacarakan pertandingan yang mula menaikkan label namanya, si adik pula mengundang kejutan apabila tersingkir pada konsert minggu ketujuh. Malah, adik yang berusia 24 tahun ini turut dilabel sebagai 'poyo' (perasan bagus).



"Mungkin apa yang orang nampak peribadi dan tingkah laku Aril di dalam diari hanya bersifat subjektif. Tak semua yang dipaparkan di dalam diari menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku. Aril hanya menjadi diri sendiri dan Aril tak dapat halang orang daripada terus berkata 'poyo'.

"Tak kenal maka tak cinta dan jangan hanya menilai daripada luaran. Kenal dulu siapa Aril sebelum membuat tafsiran itu ini. Tapi sebagai manusia biasa, Aril sedar bukan senang nak puaskan hati dan perasaan orang lain," celahnya di awal bicara.

Entah di mana silapnya, Aril yang diramal sebagai peserta kegemaran untuk melangkah ke pentas akhir AF7, akhirnya akur kala diumum menoktahkan perjuangannya di situ. Pintasnya biarpun agak klise, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk terus mara ke peringkat akhir.

Namun kini peluang Aril dan juga peserta AF7 yang sudah tersingkir masih terbentang luas untuk menjejakkan kaki apabila AF Masuk diwujudkan kembali pada musim ini. Hal ini diumumkan sendiri Datin Seri Tiara Jacquelina sewaktu konsert minggu kelapan baru-baru ini. Keputusan sama ada Aril akan berjaya diserap masuk kembali atau tidak akan ditentukan sepanjang minggu ini.


"Kalau sudah namanya AF pasti elemen kejutan itu akan ada. Aril sudah bersedia untuk apa juga kemungkinan yang bakal berlaku termasuklah reda apabila disingkirkan. Aril juga tidak menyangka AF Masuk diguna pakai pada musim ini. Aril tidak menaruh harapan yang tinggi dan tak pernah langsung terfikir AF Masuk dipraktikkan kembali.

"Satu bonus kalau Aril terpilih untuk meneruskan perjuangan di AF7. Lagi pun persaingan 10 peserta yang sudah tersingkir begitu sengit dan ia terpulang kepada pengundi untuk menentukan AF Masuk diputuskan sendiri oleh pihak Astro dan Pengetua, lalu soal wajar atau tak ia diwujudkan bukan di dalam bidang kuasa Aril. Aril hanya mengikut dan menurut saja," kata Aril lewat pertemuan sulungnya menghadiri fotografi bersama Hip di sisi kekanda tercinta.

Aril tenang nikmati populariti

BIARPUN baru beberapa minggu tersingkir, Aril kini sudah mula berasakan kesibukan mengikuti jadual yang perlu dipenuhi di bawah kontrak Astro Entertainment Sdn Bhd yang belum dipastikan lagi tempohnya. Rancak memenuhi rencana fotografi dan temu bual yang diatur, Aril kini sedang menikmati populariti indah yang pernah singgah di dalam hidup abangnya.

Katanya yang petah berbicara seperti Izwan, dia menghadapi dengan penuh ketenangan kerana situasi yang dilaluinya kini bukanlah perkara asing. Kalau mahu disingkap kembali, Aril pernah menyertai Gang Starz musim pertama bersama kumpulannya, 1st Edition.

Bagaimanapun hayat kumpulan itu tidak bertahan lama, lantas Aril membentuk kumpulan baru yang memperjuangkan genre rock sejak setahun setengah yang lalu. Selain dirinya, kumpulan itu dianggotai Mohd Rizal, Gigi dan Shiz Fairuz. Malah Aril juga pernah mengacarakan program Tren-D di RTM.

"Tak Aril nafikan impak AF7 sangat besar terhadap kemunculan solo berbanding ketika berkumpulan menyertai Gang Starz. Pertama kali menyertai uji bakat AF tahun ini, Aril hanya sekadar suka-suka dan mahu membuktikan bakat yang ada. Alhamdulillah rezeki menyebelahi Aril untuk masuk AF7 cuma tidak dapat bertahan lama.

"Aril ada sedikit pengalaman berdepan dengan dunia realiti hiburan sebelum ini dan Aril tak terlalu mengalami kejutan budaya. Cuma Aril kena betulkan persepsi sesetengah orang terhadap Aril. Sejujurnya Aril nak buktikan di dunia realiti apa yang Aril boleh tonjolkan.

"Seboleh-bolehnya Aril mahu terus menjadi ikon versatil seperti apa yang fakulti (AF7) mahukan. Siapa tahu mungkin Aril boleh jadi produk Astro yang mampu dibanggakan. AF7 umpama landasan terbaik untuk Aril kembangkan bakat diri dan kumpulan Sky," katanya yang masih bercuti tanpa gaji sebagai pereka grafik di Jentayu Emas demi menyahut seruan AF7.

Kata Aril, seiring dengan pengalaman abangnya yang lebih dulu makan garam, maka Izwan hadir menjadi tulang belakang, sumber rujukan dan tenaga sokongan. Izwan yang cukup terkenal dengan lagu Kembali Senyum dan Indah Lelapku ini mengakui ada potensi pada Aril kerana tahu adiknya bekerja keras untuk terus memastikan limpahan bakat yang ada tidak dipersiakan.

"Walaupun begitu, saya tidak mahu dia berhenti kerja sebagai pereka grafik kerana selain dunia nyanyian, dia turut mempunyai prospek yang baik dalam bidang kerja itu. Saya tahu dia begitu cintakan persembahan pentas hingga sanggup menubuhkan kumpulan malah memberanikan diri menyertai AF7.

"Saya selalu ingatkan dia untuk berfikir panjang sama ada mahu terus berada dalam bidang seni kerana tersalah percaturan natijah yang bakal datang belum tentu mampu membuatkan kita tersenyum. Bukan mudah bersaing kerana keputusan yang dibuat ini membabitkan masa depan kita," katanya yang pernah berhasrat untuk berkolaborasi dengan adiknya.

Pastinya sebagai abang, Izwan tahu adiknya tidak 'sepoyo' yang disangka kerana kata Izwan, adiknya masih seperti dulu yang pernah dikenalinya. Ungkap Izwan lagi, dia gembira kerana adiknya mampu mencipta nama sendiri tanpa menumpang populariti sesiapa termasuk dirinya.

"Dia berjaya bukan atas usaha orang lain dan persepsi bahawa dia adik saya tidak menjadi pengukur kerana lama-kelamaan orang di luar sana bercakap mengenainya tanpa dibayangi saya. Daripada situ, kita boleh menilai sama ada dia berbakat atau sebaliknya. Sama ada dia berdaya saing atau tidak.

"Sebagai abang, saya pastinya bimbang dengan apa yang bakal dilaluinya. Namun, setiap langkah yang bakal dihayun dengan niat yang baik, pasti saya sokong penuh padu," kata Izwan yang bakal muncul dengan single terbaru berentak retro fusion berjudul Bukan Percuma.

Lagu ciptaan Tony Spider dan lirik nukilan M Nasir itu khabarnya bakal menerjah ruang seni sekitar bulan ini. Pada masa yang sama, penyanyi dan pengacara lulusan Universiti Utara Malaysia ini sedang merangka pembikinan album kedua di bawah Metro Muzik.

Kata Izwan, ikutkan terma kontraknya bakal tamat Jun ini, namun khabarnya ia bakal disambung mengikut pilihan yang disediakan.

INFO: Aril

  • Nama penuh: Khairil Azam Pilus
  • Nama komersial: Aril
  • Umur: 24 tahun
  • Tarikh lahir: 5 November 1985
  • Asal: Kuala Lumpur
  • Adik beradik: anak ketiga daripada empat beradik
  • Laman sesawang: www.aril-lovers.com
  • Myspace: www.myspace.com/arilfc
  • Pengalaman: Pernah menyertai Gang Starz musim pertama dan bekas pelajar AF7 termasuk mengacarakan program Tren-D.


INFO: Izwan Pilus
  • Nama sebenar Kharil Izwan Pilus. Beliau lahir daripada Bintang RTM pada 2004.

  • Pernah disenarai sebagai Finalis Anugerah Berita Harian 2005 dan Finalis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-14.

  • Selain menyanyi, Izwan turut bergelar pengacara untuk program Bintang RTM 2005 dan 2007, Santai@1, Hitz 1, Katakan.

  • Izwan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Utara Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: