| KARIER seninya bermula sebagai penyanyi tetapi nama Hetty Sarlene Abdul Hamid, 25, lebih menyerlah dalam bidang lakonan apabila menjayakan drama Sembilu Kasih terbitan Skop Production Sdn Bhd. Drama lain yang turut dilakonkan gadis genit itu ialah Ejen 016 dan Empat Diva Sekampung. |
Sejak hampir sedekad membabitkan diri dalam dunia lakonan, Hetty juga berdepan cabaran dan liku kehidupan bergelar anak seni. Malah sejak kebelakangan ini pelakon kelahiran Singapura itu juga dikatakan agak tenggelam dek kemunculan pelakon baru yang tidak kurang hebatnya.
Begitupun, bagi Hetty persaingan itu dilihat dari sudut positif dan menganggap ia sebagai rezeki masing-masing. Malah Hetty ternyata bersyukur kerana masih diberi kepercayaan dan kesempatan untuk tampil di layar kaca mahupun layar perak.
"Biarpun sudah beberapa tahun terbabit dalam lakonan, saya menganggap masih lagi bertatih. Pada saya setiap hari adalah pembelajaran. Makin hari lebih banyak perkara dan benda baru yang saya pelajari. Situasi ini ternyata menjadikan saya lebih matang.
"Selepas berakhirnya kontrak bersama Skop Production penghujung 2007, saya mengambil langkah untuk berehat dan menetap di Singapura. Pada masa sama, saya turut memberi tumpuan kepada kerja bersama beberapa produksi di Singapura," katanya.
Walaupun pernah muncul dengan tiga album iaitu Hetty Sarlene, Tiada Lain dan The Best Of Hetty Sarlene, kerjaya nyanyian Hetty agak suram. Ditambah pula dalam suasana pasaran industri muzik yang sukar diramalkan menyebabkan Hetty beralih tumpuan.
Jauh di sudut hati, Hetty masih merindui bidang yang memperkenalkan namanya sebagai anak seni. Buat masa ini, Hetty menetap di Kuala Lumpur dan tetap pulang ke kampung halamannya jika ada urusan yang perlu diselesaikan.
Hetty juga baru selesai menjalani penggambaran drama Kasih dan Cinta yang dihasilkan menerusi usaha sama produksi Singapura dan Brunei. Di samping menjayakan drama Si Capik terbitan Skop Production yang diarahkan Musa Muhammad. Drama 26 episod itu disiarkan di TV2 setiap Selasa jam 9 malam.
Dalam Si Capik, Hetty membawa watak Mira, gadis lembut dan baik hati. Selain Hetty drama yang mula disiarkan sejak 12 Mei lalu turut dibintangi pelakon terkenal seperti Datuk Aziz Singah, Raja Noor Baizura, Sheera Iskandar, Riz Amin, Fathil Dani, Aznah Hamid, Ery Putra dan Zach X Factor.
Kata Hetty, drama ini mempunyai kelainan tersendiri kerana menampilkan Si Capik atau Reza lakonan Zach X Factor yang memiliki segalanya kecuali kecacatan pada anggota kakinya. Selain mempunyai rupa paras kacak, dia juga bijak dalam pelajaran.
| |
"Dalam drama ini watak saya agak berbeza sedikit. Untuk episod pertama hingga enam, saya dengan watak remaja yang menuntut di kolej manakala selebihnya melalui alam pekerjaan. Penggambaran drama ini sudah 50 peratus siap dan dijangka tamat penggambarannya pada awal Julai ini," katanya.
| |
Siri drama berkenaan ternyata mempunyai kelainan tersendiri kerana watak utama diterajui individu yang tidak sempurna sifat. Ia memaparkan kisah jejaka dikenali sebagai Reza yang sering digelar Si Capik, gara-gara ketidaksempurnaan sifatnya yang mengalami kecacatan sebelah kakinya.
Namun kecacatan tidak menghalang Reza untuk menjalani kehidupan sebagai pelajar kolej yang cemerlang dalam akademik. Sayu melihat kecekalan ayahnya, Malik yang kurang sihat mencari rezeki menguatkan semangat Reza untuk berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasibnya sekeluarga.
Reza bernasib baik kerana memiliki dua teman rapat, Farish dan Mira yang banyak membantunya malah cukup memahami keadaan dirinya.
Semangat cekal Reza menghadapi penghinaan masyarakat terutama pelajar di kolejnya mendapat sokongan penuh Farish dan Mira yang tidak jemu-jemu membelanya. Mira amat bersimpati dan cukup prihatin dalam permasalahan yang dihadapi Reza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: