Monday, May 11, 2009

Dengarnya... Rezeki anak Nadia Mustafa


BERTUAH betul anak-anak pelakon Nadia Mustafa, kecil-kecil lagi rezeki dah datang bergolek. Baru-baru ini penerbit terkenal David Teo singgah di pejabat Cik Normah. Kebetulan pula Cik Normah berada di meja rakan yang jauh daripada tempat Cik Normah. Tetapi sempat juga Cik Normah pasang telinga perbualan David dengan rakan-rakan hiburan yang lain.

Cik Normah dengar cerita, drama bersiri yang meletup-letup di Astro, Mentua vs Menantu bakal menemui penonton untuk musim ketiga. Dalam cerita itu Erra berkahwin dengan Aqasha dan sedang mengandung. Khabarnya pada musim ketiga nanti Erra akan muncul sebagai ibu seperti realiti hidupnya sekarang.

Bagi membawakan watak anak Erra, David akan mengambil anak kandung Nadia, Qaliff Izham dan juga anak angkat pelakon itu, Mia Kaisara untuk tampil dalam drama itu. Wah kecil-kecil lagi dah bergelar pelakon, kalau sudah besar nanti mesti boleh bergelar pelakon terbaik maklumlah sejak kecil dah mesra kamera.

Kalau boleh penerbit sensasi itu mahu mengambil anak kandung Erra, Engku Aleesya untuk berlakon dalam drama berkenaan tetapi Cik Normah tak rasa Erra bersetuju. Sebab kalau tak silap Cik Normah, Erra dan suaminya Engku Emran tak mahu cahaya mata kesayangan mereka terbabit dalam dunia seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: