|
| SITUASI pertama: Kemasukan album dan lagu Indonesia ke pasaran Malaysia bukan perkara baru. Siapa yang membawa mereka masuk, sudah tentunya syarikat yang berdaftar ‘sendirian berhad’ sehingga mewujudkan lambakan di sini. |
Sebelum ini Rossa, Krisdayanti, Ungu, Peterpan, Sheila On 7, Letto, Nidji dan Padi (antaranya) dan kebelakangan ini pula nama Anggun, Rio Febrian, Irwansyah, Delon, Ello, Kotak dan ST12 meneruskan kesinambungan itu yang menampakkan label turut bertindak sebagai pengedar produk seberang ke sini.
Situasi kedua: Penutupan syarikat rakaman antarabangsa, EMI Music Sdn Bhd tahun lalu memberi tamparan hebat kepada industri muzik tanah air. Pembubaran mengejut Maestro Talent Sdn Bhd yang mengurus bintang Akademi Fantasia (AF) pula menambah kegusaran terhadap nasib industri rakaman negara.
Apa sebenarnya punca mereka gulung tikar? Apakah kegawatan ekonomi menyebabkan Maestro ditutup hingga lebih 50 artis muda yang diuruskannya ibarat hilang bumbung untuk berteduh?
Jika dilihat secara kasar, penutupan syarikat rakaman dan pengurusan artis ini mungkin disebabkan penjualan album tempatan yang makin nazak serta persembahan berbayar yang bertambah lesu sejak akhir-akhir ini.
Ia ditambah pula kecanggihan teknologi kini yang membolehkan peminat memuat turun lagu kegemaran secara percuma.
Dalam menghadapi kemelut ini, label perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memasarkan produk melalui penjualan lagu secara digital, termasuk nada dering, menerbitkan album mini dan kompilasi serta pelbagai usaha lain yang boleh menjana keuntungan pada tempoh sukar ini.
Tidak terkecuali pihak yang bertindak mengedarkan album terbitan luar demi sebuah ‘survival’. Langkah ini diambil kerana album terbitan asing, terutama Indonesia, mampu meraih lebih keuntungan kerana permintaan terhadap karya mereka lebih tinggi.
Bagaimanapun bagi syarikat rakaman antarabangsa, Warner Music Sdn Bhd, pihaknya masih aktif menerbitkan album tempatan dan mengurus persembahan artis naungannya. Warner Music menafikan mereka kini banyak mengedar album luar berbanding menerbitkan album tempatan.
Pengurus A&R Warner Music, Mokhtaza Ahmad, berkata syarikatnya kini sibuk mengendalikan proses pembikinan album beberapa artis naungannya seperti Ahli Fiqir, Jinbara dan Wana (MyStarz LG).
“Itu satu dosa untuk terus menghukum kami kononnya kurang menerbitkan album artis tempatan. Kami baru saja melancarkan album baru Jamal Abdillah dan kini sibuk mengumpul lagu untuk album baru artis lain.
“Malah, album baru Dia Fadila juga baru diedarkan akhir tahun lalu dan syarikat giat mempromosi album itu,” katanya mengenai album yang turut mempromosi album baru Irwansyah, Soliter.
Menurut Mokhtaza, untuk album terbitan luar negara, setakat ini pihaknya hanya mengedar album kumpulan baru Indonesia, Alexa serta mengadakan ‘mini showcase’ untuk memperkenalkan mereka di sini.
“Ini semua dilakukan kerana menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mempromosi artis naungan Warner Music Indonesia,” katanya yang pernah membawa kumpulan Slam dan Ukays mencipta sejarah di republik itu.
Syarikat rakaman yang pernah menjadi bumbung kepada Datuk Siti Nurhaliza, Suria Records Sdn Bhd (SRC) juga dilihat aktif membawa artis dari seberang seperti Ungu, Rossa dan Peterpan.
Pengurus Promosi SRC, Mohd Bahanordin Deraman (Bad), berkata banyak faktor perlu diperhalusi, termasuk soal permintaan masyarakat dan peranan media yang seolah-olah tidak membantu mempromosi album artis tempatan.
“Salah tanggapan jika kami dikatakan kami tidak cuba mempromosi atau menolak semua bakat tempatan untuk bertapak. Sebenarnya, pelbagai strategi kami usahakan bagi memastikan setiap produk tempatan berjaya di pasaran.
“Namun maklum balas daripada pihak radio dan media cetak seakan-akan enggan bekerjasama dan membantu memberi publisiti kepada mereka,” katanya.
Bad merujuk kepada artis naungan SRC, Indah Ruhaila dan Natasha yang tidak mendapat perhatian media, malah lagu mereka tidak pernah diputarkan di radio.
“Kami kategorikan dua artis ini sebagai gagal dalam rangka promosi kerana lagu mereka tidak diputarkan di radio, malah tiada publisiti diberikan pihak media cetak dan elektronik.
“Kami terkilan kerana mereka berbakat besar namun masih gagal meraih perhatian media. Bagaimana kami hendak membangunkan produk tempatan andai semua pihak tidak menjalankan peranan sepatutnya,” katanya.
Selain itu, Mokhtaza dan Bad masing-masing mempertahankan matlamat syarikat rakaman sama seperti perniagaan lain yang berteraskan keuntungan.
Mereka menyatakan, selepas segala usaha tidak memberi kesan positif, alternatif lain perlu dicari supaya syarikat terus kukuh.
Bagi mengawasi pengurusan syarikat rakaman, mujur Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) setiap tahun menilai kemajuan, termasuk untung rugi sesebuah syarikat rakaman. Mekanisme ini menjadi titik tolak kepada pembangunan perniagaan syarikat rakaman.
RIM tidak terkecuali dalam memberi ulasan berkaitan isu ini melalui Timbalan Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, yang menyatakan selera pembeli kini lebih cenderung untuk membeli album kompilasi dan format ‘single’ di dalam bentuk digital.
Malah, katanya, tidak dinafikan dengan kurangnya minat pembeli untuk membeli album berbentuk fizikal (CD dan kaset), syarikat rakaman harus mengubah model perniagaan mengikut peredaran masa untuk memastikan peranan label tetap relevan di dalam industri muzik semasa.
“Perubahan ini juga memberi kesan positif bagi kelahiran artis indie yang kebanyakannya memerlukan kemahiran syarikat rakaman untuk mengedar dan memasarkan album mereka. Mereka juga menerbitkan album tanpa dipengaruhi oleh eksekutif syarikat rakaman — ada yang berjaya, ada yang tidak.
“RIM juga berharap dengan statistik peningkatan penjualan dan selera pembeli untuk lagu tempatan akan meningkatkan lagi minat ahli kami untuk terus melabur, sekali gus membangunkan industri muzik tempatan,” katanya.
Kesimpulannya, syarikat rakaman di Malaysia masih memartabatkan industri muzik tanah air melalui pelbagai aktiviti dan promosi artis tempatan biarpun kekangan bukan calang-calang.
Memupuk minat masyarakat atau mengubah citarasa mereka untuk meminati karya tempatan perlu diusahakan bersama, bukan hanya pandai menuding jari.
Situasi ketiga: Anugerah Industri Muzik diteruskan buat kali ke-16 bagi memartabatkan industri muzik tempatan dengan kemuncaknya di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: