Sunday, May 3, 2009

Alyah gigih


DIA mengetuk pintu dunia seni suara tanah air dengan cara yang boleh dianggap terhormat apabila menjuarai pertandingan Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2000.

Namun langkah permulaan itu nyata belum mencukup untuk dia mencipta laluan mudah dalam mengekalkan saingan dan populariti.

Di kalangan peminat seni suara, mungkin ramai bersetuju, sepanjang tempoh 2001 hingga kini, nama Alyah lebih banyak tenggelam berbanding timbul.

Namun, gadis berusia 28 tahun ini yang nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan bukan seorang yang mudah mengalah. Seawal bertapak dalam bidang seni, dia bersedia untuk bekerja keras dan menempuh segala ranjau.

Kata Alyah, selagi ada kemahuan, pasti ada jalan yang terbentang. Mungkin apa yang dilaluinya selama ini punya hikmah tersendiri.

“Alhamdulillah, berkat usaha keras selama ini, single pertama Alyah berjudul Tak Mungkin Kerana Sayang mula diterima pendengar. Sedikit demi sedikit, Alyah juga mula dikenali mereka. Itulah cita-cita Alyah!

“Bukan berlagak atau mahu bergelar bintang besar, tetapi ia menjadi impian Alyah sejak menjejakkan kaki ke dunia seni. Tambah lagi, Alyah mahu dikenali kerana bakat menyanyi. Sebab itu, walau apapun terjadi, Alyah kuatkan semangat untuk terus mencuba.

“Selepas menjuarai Bintang HMI, Alyah bertekad untuk berusaha mengejar cita-cita seni. Alyah minat menyanyi dan ia sentiasa menjadi kekuatan pada diri Alyah untuk tidak mudah mengalah,” katanya.

Selepas menjuarai Bintang HMI, Alyah pernah diikat EMI walaupun hanya untuk tempoh singkat. Kemudian, gadis berasal dari Gelang Patah, Johor Bahru, ini kembali mengasah bakat nyanyiannya apabila menyertai pertandingan One In A Million.

Walaupun niatnya untuk ke peringkat akhir tidak tercapai, Alyah masih tidak berputus asa. Tidak lama selepas itu, dia kembali mewarnai persada seni dengan menyertai kumpulan The Fabulous Cats untuk projek album sulung, Fantastik.



Dek masalah kesihatan, Alyah terpaksa mengundur diri. Harapannya untuk bergelar penyanyi berkecai sama sekali hinggalah dia menerima peluang bergelar artis naungan Wake The Baby Records milik Ajai.



“Sejak lagu Tak Mungkin Kerana Sayang diterima, Alyah mula mendapat tempat dalam dunia seni. Harapan untuk terus ada dalam dunia seni semakin cerah. Insya-Allah, Alyah akan cuba melakukan apa yang terbaik untuk kerjaya ini.

“Malah, penerimaan terhadap lagu itu juga sungguh memberangsangkan. Sepatutnya, single kedua iaitu lagu duet berjudul Ku Pinjam Satu Bintang bersama Naib Juara Akademi Fantasia 6, Riz juga mula dimainkan di radio. Kerana permintaan peminat terhadap single pertama itu, ia terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

“Mungkin tidak lama lagi, lagu duet ini mula dimainkan dan selepas itu baru Alyah memikirkan album kedua pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: