|
| ASSALAMUALAIKUM. Paknil amat bersyukur kerana masih lagi mampu melakukan kerja pengacaraan yang sudah hampir 19 tahun diceburi. Tidak pernah langsung semasa kecil Paknil bercita-cita untuk menjadi pengacara. Lebih menarik, tiada siapa pun ketika itu yang bercita-cita ingin menjadi pengacara. |
Paknil belajar jurusan ekonomi dan pernah bekerja sebagai pegawai di syarikat perkapalan selama enam tahun sebelum menceburkan diri di bidang penyiaran.
Sememangnya Paknil membuat keputusan yang menggerunkan ketika itu untuk melompat ke bidang yang bukan Paknil mahir.
Lebih menggerunkan, ketika itu Paknil sudah berkeluarga. Seandainya Paknil silap percaturan, mungkin kena bermula dari bawah semula.
Ketika Paknil menyuarakan hasrat untuk beralih bidang, ayah Paknil juga terkejut dan kurang setuju.
Baginya, apa yang Paknil belajar akan dipersiakan. Namun selepas dia lihat Paknil tekad dengan pendirian, ayah akhirnya akur dan memberi sokongan.
Pada 1 Februari 1990, bermulalah era Paknil di bidang penyiaran apabila menyertai Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai wartawan siaran.
Satu pekerjaan dan jurusan yang begitu asing buat Paknil. Paknil dibariskan bersama graduan dari bidang komunikasi massa yang sememangnya lebih arif dengan sektor penerbitan dan penyiaran.
Paknil rasakan diri ini terlalu kecil ketika itu, lebih-lebih lagi apabila terpaksa merangkak dari bawah. Paknil bagai bayi kecil yang mula belajar erti kehidupan.
Namun bernasib baik kerana Paknil ada rakan setugas yang banyak membantu.
Suhaimi Sulaiman, Wan Zaleha Radzi, Nurfarahin Jamsari, Zalina Azman, Bettina Chua, Christine Ling, Mahathir Lokman, Azwan Ali dan ramai lagi yang tidak kedekut ilmu.
Begitu juga dengan pengurusan TV3 ketika itu yang banyak memberi peluang kepada Paknil untuk mencuba pelbagai bidang penerbitan.
Paknil bukan saja didedahkan kepada soal pengacaraan tetapi juga dalam bidang penulisan skrip TV, laporan berita, suntingan video dan bunyi, pengarahan, penerbitan, kawalan pentas, pasca dan prapenerbitan serta banyak lagi.
Begitu juga latihan dan pendedahan. Paknil pernah dihantar sehingga ke Tokyo, Jepun hanya untuk jadi pemerhati kepada penerbitan Peringkat Akhir Asia Bagus.
Bayangkan pemergian Paknil ditanggung TV3 sepenuhnya hanya untuk jadi pemerhati dan tentunya Paknil ambil kesempatan itu untuk melawat stesen TV mereka yang jauh lebih maju daripada negara kita ketika itu.
Banyak yang Paknil pelajari dalam lawatan singkat itu dan apa yang Paknil pelajari itulah yang Paknil kembangkan di sini. Rancangan Melodi yang bertahan sehingga kini merupakan antara rancangan yang lahir daripada pembelajaran Paknil di sana.
Paknil turut menyuntikkan pembaharuan dalam rancangan itu yang masih diguna pakai oleh team Melodi sehingga kini. Begitu juga dengan rancangan lain seperti Teleskop. Ia rancangan bual bicara pertama yang memboloskan diri daripada format konservatif rancangan seumpamanya yang tampak kaku dan rigid.
Rancangan ini juga memenangi Anugerah Rancangan Hiburan TV Terbaik di Anugerah Skrin satu ketika dulu. Apabila rancangan Macam Macam Aznil memenangi Anugerah Rancangan Bual Bicara terbaik baru-baru ini, ia seperti satu kemanisan yang berulang.
Paknil tidak akan lupa antara sifu dan rakan penerbitan yang banyak membimbing dan bekerja keras untuk meletakkan Paknil di kedudukan sekarang. (Azhar Borhan, Nik Ramzi, Frank Tian, Azizah Mohamad, Abang Mokhtar, Asri Zulkifli, Tan Guat Eyu, Shahila, Kelly, KZR, Hanif, Mas Ayu dan ramai lagi).
Namun secara peribadi Paknil rasakan ucapan terima kasih pada mereka saja tidak mencukupi jika apa yang Paknil tuntut dari mereka ini terhenti di sini. Cukup ke dengan hanya ucapan terima kasih dan bersyukur pada Tuhan? Tidak.
Paknil ingin turunkan kehebatan ini (jika ada), kepandaian ini (jika ada), pengalaman dan ilmu ini pada rakan dan adik pengacara yang lain. Itu impian Paknil sejak dulu lagi dan Paknil tidak mahu mereka melalui kesukaran untuk menjadi yang terbaik.
Biar kita mempunyai ramai pengacara yang TERBAIK supaya kerja pengacaraan dilihat sebagai pekerjaan yang diyakini. Biar lebih banyak pengacara berilmu dilahirkan.
Paknil sangat mengidamkan sebuah sekolah penyiaran yang Paknil sendiri melatih generasi baru dalam bidang pengacaraan. Banyak aspek yang boleh Paknil turunkan kepada mereka.
Antaranya, cara-cara pengendalian program daripada genre yang berbeza, termasuk rancangan bual bicara, kanak-kanak, hiburan, kuiz, majalah, berita sehinggalah konsert.
Dalam pada itu teringin sangat Paknil dedahkan pada mereka akan kerja belakang tabir di bidang penerbitan supaya mereka menjadi pengacara yang tidak ‘buta penerbitan’. Mereka kena tahu fungsi bidang lain yang menyokong kerjaya mereka seperti pencahayaan, system bunyi, busana, tata hias, props, set, suntingan, kamera, teknikal dan yang lain.
Pengalaman Paknil yang lalu sememangnya sangat bererti buat Paknil setiap kali berada di depan kamera. Atas kesedaran inilah Paknil ingin adik-adik pengacara lain lebih menghargai kerjaya ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu tugas mereka bukan sekadar berdiri di depan kamera.
Selepas ini, mereka lebih memahami tujuan dan asbab mereka berdiri, duduk dan berjalan ketika melontarkan suara dalam ketinggian dan nada yang berbeda. Paknil lebih gemar jika selepas ini ramai ingin menyertai bidang pengacaraan secara sepenuh masa dan bukan sebagai pekerjaan sampingan.
Lebih menyeronokkan Paknil jika mereka yang ada bukan daripada golongan bidang seni yang lain.
Bukan Paknil tidak menghargai kehadiran mereka, tetapi daripada pemerhatian Paknil, mereka diambil mengacarakan sesebuah rancangan atas dasar populariti mereka di bidang nyanyian, lakonan atau lawak.
Kita akan lebih berbangga jika bakat pengacara itu dicungkil atas landasan kerja pengacaraan. Sama seperti yang berlaku pada Jimmy Shanley, Ally Iskandar, Yasmin Hani, Sazzy Falak, Awal Ashaari dan beberapa pengacara lain.
Paknil juga mahu melihat ada pengacara hidup senang hasil daripada kerjaya mereka sebagaimana pengacara di Barat.
Oprah Winfrey, Jay Leno dan David Letterman antara nama pengacara yang berjaya mengumpul kesenangan hidup hasil daripada melakukan kerja pengacaraan.
Perkara ini tidak mustahil di mana saja, termasuk di negara kita. Malah, pengacara itu turut membuktikan daya tahan mereka dalam pekerjaan.
Mereka mampu bertahan walaupun muncul rancangan dan pengacara baru.
Paknil mahu pengacara kita melihat kerja ini sebagai pekerjaan jangka panjang dan masih akan beraksi walaupun usia melewati mereka.
Kita tidak mahu lagi tanggapan bahawa kerjaya ini hanya untuk penjawat muda kerana ini menampakkan seolah pekerjaan ini tiada masa depan.
Paknil rasa seperti tanggungjawab Paknil pula untuk membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada pengacara baru supaya mereka tidak perlu melalui liku-liku yang pernah Paknil lalui sebelum ini.
Industri penyiaran kita pun semakin berkembang dan tentunya jumlah stesen TV semakin bertambah yang akhirnya menagih jumlah pengacara yang lebih ramai.
Kegawatan ekonomi bukan alasan untuk kita untuk membantutkan usaha untuk memajukan diri kita.
Malah, kalau diikut secara logik, kita seharusnya bekerja keras dua kali ganda daripada biasa.
Insya-Allah, negara kita bakal melihat kejayaan pengacara kita yang bukan sahaja dikenali tetapi diiktiraf di peringkat global.
Ini kenyataan ikhlas daripada Paknil dan bukan atas usul ingin mendabik dada dengan kejayaan yang sudah. Paknil mahu terus mencipta kejayaan bukan untuk diri Paknil tetapi untuk bangsa kita. Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: